Zaman beralih musim berubah, fasa demi fasa perubahan
dunia telah berlaku. Dari zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke
zaman industri dan zaman atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan
zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui oleh manusia
telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai
input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan, penemuan bidang ICT telah
berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih kompetitif. Teknologi
ICT telah mewajarkan manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam
bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling canggih. Di Malaysia,
teknologi maklumat dan komunikasi merupakan agenda baharu yang begitu diberikan
perhatian. Kerajaan telah mengambil
pelbagai langkah yang serius untuk menerapkan budaya ICT kepada masyarakat.
Berbagai-bagai kempen dijalankan untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang
pentingnya teknologi maklumat. Sejumlah peruntukan yang besar telah dilaburkan
untuk tujuan itu. Berdasarkan usaha dan iltizam kerajaan yang tinggi itu,
ternyatalah bahawa bidang ICT mempunyai manfaat yang sangat besar kepada
masyarakat dan negara ini.
Teknologi maklumat dan komunikasi mampu menjadikan
masyarakat negara ini sebagai sebuah masyarakat yang sentiasa peka dengan
perkembangan dan pergolakan dunia. Melalui kemajuan dalam bidang penyebaran
maklumat, masyarakat negara ini tidak ketinggalan untuk mengikuti perkembangan
di dalam dan di luar negara. Maklumat yang disalurkan amat pantas. Hanya dengan
memiliki sebuah komputer peribadi yang disambung dengan perkhidmatan Internet,
masyarakat boleh mendapatkan maklumat dari seluruh dunia. Mereka hanya perlu
menggerakkan tetikus untuk mendapatkan maklumat terkini dalam sesuatu bidang.
Contohnya masyarakat Malaysia boleh mengikuti pergolakan politik di Timur
Tengah melalui skrin komputer mereka. Dengan ini, masyarakat Malaysia tidak
akan keciciran maklumat dalam menelusuri arus perdana yang pantas bergerak
bagai belut diketil ekor ini. Gelaran katak di bawah tempurung tidak akan
dilabel pada setiap rakyat Malaysia. Oleh itu penguasaan teknologi maklumat
mampu menjadi masyarakat Malaysia sebagai masyarakat berinformasi.
Selain itu, dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi
maklumat dan komunikasi dapat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar
negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli
keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima
dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan
pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat keputusan yang rasional
dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah
malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas
daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya
pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat
persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara
dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok
bandingnya? Jelaslah bahawa kemajuan ICT dapat merapatkan hubungan silaturahim
antara satu sama lain walaupun berada di benua yang berbeza. Kejauhan tidak
lagi menjadi penghalang untuk menjadikan hubungan semakin akrab bagai isi
dengan kuku.
Jika kita tinjau kebaikan ICT kepada negara pula,
kehadiran teknologi maklumat dan telekomunikasi merupakan anugerah istimewa
kepada dunia pendidikan. Kewujudan ICT
dapat membantu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P). Sistem pendidikan di sekolah dapat
dimajukan oleh ICT sekali gus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar mendapatkan
maklumat dari seluruh dunia melalui Internet untuk melakukan kerja atau
projek-projek di sekolah. Pelajar akan belajar mengikut kemampuan mereka serta
melahirkan generasi yang celik komputer. Pendidikan di sekolah atau di
institusi lebih bercirikan pendidikan jarak jauh. Peluang pendidikan menjadi
lebih luas, selain menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik IT tidak disekat
oleh faktor kelas dan usia. Hal ini melahirkan lebih ramai cendekiawan. Fakta
ini nyata terbukti apabila ada kanak-kanak yang baru berusia setahun jagung
sudah boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik daripada pelajar
yang sudah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelajaran di sekolah
rendah ataupun pelajaran sekolah menengah dapat dipelajari melalui modul
pemelajaran yang disediakan dalam cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-ROM)
yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Izharlah
bahawa kemajuan ICT mampu menjadi pemudah cara dan menjadi tarikan dalam
memajukan sistem pendidikan di negara kita.
Selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi
penyumbang penting dalam menjaga
keamanan dan keselamatan negara. Kes jenayah yang semakin berleluasa di
negara Malaysia dapat diatasi dengan bantuan ICT. Televisyen atau kamera litar
tertutup (CCTV) banyak digunakan dan ditempatkan di kawasan-kawasan seperti
bank, kasino, lapangan terbang, pangkalan terbang, dan pasar-pasar raya. Sistem
CCTV ini ialah penggunaan kamera video untuk menghantar isyarat ke
tempat-tempat tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak dihantar secara terbuka.
Hal ini berbeza sekali dengan televisyen. CCTV ini digunakan untuk mengawas
keselamatan sesuatu tempat yang tertentu sahaja. Di samping itu, kegiatan
jenayah yang berlaku dapat dikesan dan seterusnya memberkas penjenayah yang terbabit.
Dengan bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak yang bernama Nurin Jazlin berjaya
ditemui. Kes penculikan kanak-kanak yang penuh tragis tersebut pernah
menggegarkan seluruh masyarakat Malaysia. Kejadian ini tentu sekali kes
jenayah yang sangat kejam. Walaupun mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam
keadaan yang menyayatkan hati namun dengan adanya kamera video dapat merakamkan
lokasi beg yang mengandungi mayat kanak-kanak tersebut. Dengan kemajuan bidang
ICT, keselamatan negara dapat dipelihara dan secara implisitnya, kehidupan
rakyat juga tidak akan terancam. Tugas anggota keselamatan negara juga akan
menjadi lebih mudah. Pendek kata, keamanan dan keselamatan dapat dijaga melalui
kemajuan bidang ICT di negara kita.
Di samping itu, kemajuan
teknologi maklumat dan telekomunikasi juga meningkatkan kualiti dan
produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan bidang ICT secara langsung
atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat
dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum.
Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat
melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita
tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai
ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi
tumpuan kepada pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika
Bill Gates, insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih
dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750
kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara
yang paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu,
terbuktilah bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri
sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.
Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa
ICT memainkan peranan yang penting kepada masyarakat dan negara. Kita tidak
harus ketinggalan untuk menguasai kemahiran ICT kerana bidang ini akan terus
berkembang dari semasa ke semasa dengan pantas. Sistem hidup manusia masa depan
akan lebih bergantung kepada kemajuan dalam bidang ini. Malah pada masa ini
pun, kebergantungan manusia terhadap teknologi maklumat sememangnya tidak dapat
dinafikan. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menyokong usaha ini
di samping menyediakan diri untuk mempelajari pengetahuan baharu berkaitan ICT
agar kita tidak dianggap seperti katak di bawah tempurung. Namun begitu,
sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan ICT.
Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengambil langkah
sederap untuk memastikan tiada unsur negatif yang berlaku seiring dengan
ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil
yang jernih dan membuangkan yang keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan
masyarakat yang maju dan berinformasi tercapai bagi memudahkan negara
merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020.
No comments:
Post a Comment