Remaja
zaman ini mengalami pelbagai cabaran yang menjadi penentu dalam hala tuju
kehidupan mereka tersebut. Cabaran yang berlaku itu apabila gagal diatasi akan
menjejaskan kehidupan remaja lalu terjebak dalam pelbagai gejala sosial yang
melanda negara seperti dadah, mat rempit, dan juga jenayah. Berita yang
disiarkan menerusi media massa telah membuktikan bahawa banyak remaja gagal
meneruskan cabaran hidup kerana tidak memiliki beberapa kemahiran penting dalam
kehidupan zaman globalisasi itu. Jadi, apakah kemahiran-kemahiran yang harus
dimiliki oleh remaja dalam usaha mereka mengatasi dugaan kehidupan zaman moden
ini?
Kemahiran
yang paling berguna untuk memudahkan remaja mengharungi cabaran kehidupan zaman
ini ialah mereka mahir berkomunikasi dengan orang lain. Remaja yang bijak akan
menggunakan pelbagai kaedah komunikasi yang bersesuaian dengan individu yang
sedang bersemuka dengan mereka itu. Golongan remaja ini juga mestilah mahir dalam
menilai reaksi seseorang apabila diri mereka menerangkan sesuatu perkara lalu
membuat perubahan yang difikirkan bersesuaian pula dengan reaksi tersebut.
Akibatnya, remaja yang memiliki kemahiran berkomunikasi akan berupaya untuk
meluahkan perasaan dan minat serta matlamat mereka dengan lebih tersusun serta
jelas kepada orang lain pada bila-bila masa.
Selain
itu, kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah turut penting dimiliki oleh
remaja kerana kehidupan zaman ini menekankan aspek berdikari yang tinggi.
Kemelut yang melanda kehidupan remaja amat berbeza daripada masalah yang
berlaku pada era ibu bapa mereka lalu memerlukan satu cara penyelesaian yang
tidak sama untuk menangani masalah itu. Kaedah penyelesaian itu mestilah
bersesuaian dengan peribadi remaja kerana mereka yang akan menanggung segala
akibat yang timbul daripada sesuatu penyelesaian masalah itu. Jelaslah, remaja
yang memiliki kemahiran menyelesaikan masalah ini mampu mengatasi semua cabaran
yang menimpa mereka baik di sekolah, di tempat kerja, dan di rumah itu.
Tambahan
pula, remaja yang mampu meneruskan cabaran kehidupan yang penuh gelora ini
mestilah mempunyai kemahiran insaniah. Peribadi yang baik, sopan, berbudi
bahasa, dan memiliki pegangan keagamaan bersama-sama nilai kemanusiaan sejagat
akan menjamin remaja itu hidup bahagia dalam kehidupan era digital ini. Remaja
yang memiliki kemahiran ini akan berupaya bergaul dalam kalangan masyarakat
yang semakin melupakan erti kemanusiaan yang sejati tersebut. Sesungguhnya,
remaja yang memiliki ciri insaniah yang sebenar akan menjadi peneraju yang
mencetuskan kewujudan masyarakat yang berhati mulia dalam meneruskan saki-baki
kehidupan mereka tersebut.
Kemahiran
yang seterusnya melibatkan penguasaan remaja dalam teknologi maklumat dan
komunikasi yang begitu menarik lagi canggih. Golongan muda telah menggunakan
teknologi ini sebagai sumber bahan berita atau informasi yang penting dalam
kehidupan mereka walaupun ada unsur penipuan yang menjejaskan kredibiliti
remaja pula. Remaja yang mahir dalam teknologi ini akan menapis atau memeriksa
bahan yang diterima menerusi teknologi komunikasi sebegini sebelum melakukan
sebarang tindakan susulan yang boleh menghalang kemudaratan melanda diri
sendiri. Maka, remaja yang tinggi kemahiran dalam teknologi komunikasi ini akan
terhindar daripada perkara-perkara yang boleh menjejaskan maruah diri dan
keluarga mereka pada masa hadapan itu.
Akhir
sekali, remaja yang bakal meneruskan kehidupan dengan bahagia ialah remaja yang
mempunyai kemahiran khusus dalam arah kendiri atau interpersonal. Kemahlran
arah kendiri merujuk kebolehan remaja untuk memotivasikan diri sendiri dalam
usaha mencapai matlamat dalam kehidupan mereka pada masa hadapan tersebut.
Remaja sebegini akan mampu bangkit semula apabila hidup mereka dipenuhi dengan
pelbagai cabaran yang membawa rasa kesedihan, kekecewaan dan kegagalan yang
berulang kali itu. Sebenarnya, remaja yang ada kemahiran arah kendiri akan
melihat kegagalan atau kesedihan sebagai satu proses kehidupan yang harus
diharungi dalam kehidupan manusia sebenar.
Kesimpulannya, remaja
yang hidup pada zaman dunia tanpa sempadan ini haruslah memiliki semua
kemahiran yang dihuraikan tadi. Kegagalan untuk memiliki kemahiran tadi akan
menjadikan kehidupan remaja begitu sukar untuk diteruskan kerana cabaran yang
berlaku tidak memilih bulu lalu menjejaskan kualiti kehidupan remaja.
Masyarakat pula hendaklah membantu remaja memiliki kemahiran ini dengan
mendidik mereka atau membiarkan mereka menyelesaikan sesuatu cabaran mengikut
selera mereka sendiri pula. Peribahasa katak di bawah tempurung perlulah
dihindarkan daripada pemikiran remaja kerana dunia moden ini sudah menjadi
semakin kecil lalu segala yang berlaku akan memberi kesan kepada remaja yang
tidak bersedia untuk berubah sikap.
No comments:
Post a Comment