08 November 2016

TIPS SEJARAH S.P.M. 2016

Salam sukses.

Pelajar setia KAViNAA-SHARSHIDA dan peserta Seminar Pasti 'A' S.P.M. 2016 diminta kaji semua soalan yang telah diberikan dalam seminar. Soalan ramalan berdasarkan NOTA SEMINAR PASTI 'A' S.P.M. 2016. Namun, berikut disertakan beberapa tajuk penting berserta dengan rangka jawapan untuk rujukan kilat.








PESANAN KEPADA PELAJAR
Pelajar diminta supaya tidak mengelirukan diri dengan banyak ramalan yang sedang diviralkan melalui laman-laman sosial. Sila tumpukan tajuk-tajuk penting yang disertakan.

Selamat Maju Jaya
YANG MAHA KUASA AKAN SENTIASA BERSAMA ANDA!

07 November 2016

தமிழ்க் கணிப்புக் கேள்விகள் S.P.M. 2016

வணக்கம். கீழ்க்கண்ட தலைப்புகள் மாணவர்களின் விரைவு மீள்பார்வைக்காக வழங்கப்பட்டுள்ளன.

தாள் 1
1. உரையாடல்
2. நிகழ்வறிக்கை

தலைப்புகள்
1. சமூக வலைத்தளங்கள்
2. ஆரோக்கிய வாழ்க்கை முறை
3. அந்நிய தொழிலாளர்கள்
4. விளையாட்டு/சுற்றுலா துறை
5. துரித/திடீர் உணவு
6. மனித நேயம்

தாள் 2

மொழியணி:
1. இரட்டைக் கிளவி
2. பழமொழி
3. நளனது நல்லாட்சி
4. கற்புத் தெய்வம்

இலக்கணம்:
1. போலி
2. எச்சம்
3. குன்றிய/குன்றாவினை
4. வாக்கிய வகை 

வெற்றி பெற வாழ்த்துகள்
எல்லாம் வல்ல இறைவன் என்றும் தங்களை ஆசிர்வதிப்பாராக!

TIPS B.I. S.P.M. 2016

Salam sukses.

Syabas dan tahniah kepada semua pelajar setia KAViNAA-SHARSHIDA dan peserta SEMINAR PASTI 'A' S.P.M. 2016 yang telah menjawab kertas peperiksaan bahasa Melayu dengan yakin. Banyak soalan ramalan yang KENA TEPAT 100%. Berikut disertakan TIPS B.I. S.P.M. 2016 dan diharap agar dapat membantu anda. Namun, ditegaskan lagi bahawa soalan ramalan berdasarkan Set Ramalan/Nota Seminar. Berikut adalah untuk rujukan kilat.

TYPES OF ESSAYS

1. Report ***
2. Informal Letter ***
3. Article
4. Speech

SUGGESTED TITLES

1. An excellent students criteria
2. Advantages/Disadvantages of ICT (such as mobile set, social networks...) ***
3. Prevention of pollution/Haze/Dangerous diseases
4. Effects of fast food
5. The ways to reduce stress/Obesity ***
6. Importance of saving/Reading literature component

SELAMAT MAJU JAYA
YANG MAHA KUASA AKAN SENTIASA BERSAMA ANDA!

04 November 2016

TIPS B.M. S.P.M. 2016

Salam sukses.

Semua pelajar setia KAViNAA diminta supaya memberikan fokus dan kaji semua soalan ramalan dalam NOTA SEMINAR PASTI 'A' S.P.M.  2016. SOALAN RAMALAN BERDASARKAN NOTA SEMINAR. Namun, pelajar digalakkan untuk membuat revisi kilat berdasarkan tajuk-tajuk contoh berikut:

1. Kebaikan amalan berjimat-cermat/bersukan/membaca
2. Kepentingan memartabatkan bahasa Melayu/memperkukuh bahasa Inggeris/kewajaran
    mewajibkan lulus  Sejarah
3. Kesan penggunaan aplikasi jaringan sosial
4. Peranan remaja dalam pembangunan negara
5. Peranan ibu bapa dalam pembangunan modal insan/remaja berkualiti/membudayakan
    amalan membaca***
6. Peranan pelbagai pihak dalam memerangi penyakit berbahaya/memupuk semangat
    kejiranan/perpaduan***
7. Kerjasama antara negara dalam membanteras aktiviti pemerdagangan manusia/ jenayah
    siber*** 

PESANAN KEPADA PELAJAR

Pelajar diminta supaya tidak mengelirukan diri dengan variasi soalan. SILA JAWAB SETIAP SOALAN DENGAN MENGGUNAKAN TEKNIK KAViNAA. SEGALANYA MUDAH & SUKSES PASTI MENJADI MILIK ANDA.


SELAMAT MAJU JAYA
YANG MAHA KUASA AKAN SENTIASA BERSAMA ANDA!


03 November 2016

Karangan SPM 2016 Target 5: KEBAIKAN TMK KEPADA MASYARAKAT DAN NEGARA

Zaman beralih musim berubah, fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling canggih. Di Malaysia, teknologi maklumat dan komunikasi merupakan agenda baharu yang begitu diberi­kan perhatian.  Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah yang serius untuk menerapkan budaya ICT kepada masyara­kat. Berbagai-bagai kempen dijalankan untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang pentingnya teknologi maklumat. Sejumlah peruntukan yang besar telah dilaburkan untuk tujuan itu. Berda­sarkan usaha dan iltizam kerajaan yang tinggi itu, ternyatalah bahawa bidang ICT mempunyai manfaat yang sangat besar kepada masyarakat dan negara ini.
 
Teknologi maklumat dan komunikasi mampu menjadikan masyarakat negara ini sebagai sebuah masyarakat yang sentiasa peka dengan perkembangan dan pergolakan dunia. Melalui kemajuan dalam bidang penyebaran maklumat, masyarakat negara ini tidak ketinggalan untuk mengikuti perkembangan di dalam dan di luar negara. Maklumat yang disalurkan amat pantas. Hanya dengan memiliki sebuah komputer peribadi yang disambung dengan perkhidmatan Internet, masyarakat boleh mendapatkan maklumat dari selur­uh dunia. Mereka hanya perlu menggerakkan tetikus untuk mendapatkan maklumat terkini dalam sesuatu bidang. Contohnya masyarakat Malaysia boleh mengikuti pergolakan politik di Timur Tengah melalui skrin komputer mereka. Dengan ini, masyarakat Malaysia tidak akan keciciran maklumat dalam menelusuri arus perdana yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini. Gelaran katak di bawah tempurung tidak akan dilabel pada setiap rakyat Malaysia. Oleh itu penguasaan teknologi maklumat mampu menjadi masyarakat Malaysia sebagai masyarakat berinformasi.
 
Selain itu, dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi dapat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok bandingnya? Jelaslah bahawa kemajuan ICT dapat merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain walaupun berada di benua yang berbeza. Kejauhan tidak lagi menjadi penghalang untuk menjadikan hubungan semakin akrab bagai isi dengan kuku.
 
Jika kita tinjau kebaikan ICT kepada negara pula, kehadiran teknologi maklumat dan telekomunikasi merupakan anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Kewujudan ICT dapat membantu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P). Sistem pendidikan di sekolah dapat dimajukan oleh ICT sekali gus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar mendapatkan maklumat dari seluruh dunia melalui Internet untuk melakukan kerja atau projek-projek di sekolah. Pelajar akan belajar mengikut kemampuan mereka serta melahirkan generasi yang celik komputer. Pendidikan di sekolah atau di institusi lebih bercirikan pendidikan jarak jauh. Peluang pendidikan menjadi lebih luas, selain menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik IT tidak disekat oleh faktor kelas dan usia. Hal ini melahirkan lebih ramai cendekiawan. Fakta ini nyata terbukti apabila ada kanak-kanak yang baru berusia setahun jagung sudah boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik daripada pelajar yang sudah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelajaran di sekolah rendah ataupun pelajaran sekolah menengah dapat dipelajari melalui modul pemelajaran yang disediakan dalam cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-ROM) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Izharlah bahawa kemajuan ICT mampu menjadi pemudah cara dan menjadi tarikan dalam memajukan sistem pendidikan di negara kita.
 
Selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi penyumbang penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. Kes jenayah yang semakin berleluasa di negara Malaysia dapat diatasi dengan bantuan ICT. Televisyen atau kamera litar tertutup (CCTV) banyak digunakan dan ditempatkan di kawasan-kawasan seperti bank, kasino, lapangan terbang, pangkalan terbang, dan pasar-pasar raya. Sistem CCTV ini ialah penggunaan kamera video untuk menghantar isyarat ke tempat-tempat tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak dihantar secara terbuka. Hal ini berbeza sekali dengan televisyen. CCTV ini digunakan untuk mengawas keselamatan sesuatu tempat yang tertentu sahaja. Di samping itu, kegiatan jenayah yang berlaku dapat dikesan dan seterusnya memberkas penjenayah yang terbabit. Dengan bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak yang bernama Nurin Jazlin berjaya ditemui. Kes penculikan kanak-kanak yang penuh tragis tersebut pernah menggegarkan seluruh masyarakat Malaysia.  Kejadian ini tentu sekali kes jenayah yang sangat kejam. Walaupun mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan yang menyayatkan hati namun dengan adanya kamera video dapat merakamkan lokasi beg yang mengandungi mayat kanak-kanak tersebut. Dengan kemajuan bidang ICT, keselamatan negara dapat dipelihara dan secara implisitnya, kehidupan rakyat juga tidak akan terancam. Tugas anggota keselamatan negara juga akan menjadi lebih mudah. Pendek kata, keamanan dan keselamatan dapat dijaga melalui kemajuan bidang ICT di negara kita.
 
Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat dan telekomunikasi juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan bidang ICT secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates, insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.
 
Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa ICT memainkan peranan yang penting kepada masyarakat dan negara. Kita tidak harus ketinggalan untuk menguasai kemahiran ICT kerana bidang ini akan terus berkembang dari semasa ke semasa dengan pantas. Sistem hidup manusia masa depan akan lebih bergantung kepada kemajuan dalam bidang ini. Malah pada masa ini pun, kebergantungan manusia terhadap teknologi maklumat sememangnya tidak dapat dinafikan. Oleh itu, sebagai rakyat Malay­sia, kita perlu menyokong usaha ini di samping menyediakan diri untuk mempelajari pengetahuan baharu berkaitan ICT agar kita tidak dianggap seperti katak di bawah tempurung. Namun begitu, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan ICT. Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada unsur negatif yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju dan berinformasi tercapai bagi memudahkan negara merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020.

Karangan SPM 2016 Target 4: KERJASAMA ANTARA NEGARA MEMBANTERAS AKTIVITI PEMERDAGANGAN MANUSIA

Pemerdagangan manusia merupakan kegiatan jenayah yang melibatkan pemerolehan atau pengekalan tenaga kerja dan perkhidmatan seseorang melalui paksaan atau kerelaan. Kegiatan ini termasuklah perbuatan merekrut, mengangkut, memindahkan, melindungi, menyediakan atau menerima seseorang. Jenayah pemerdagangan manusia menjadi semakin serius dan ini menjadi isu global. Hal ini demikian kerana bukan sahaja Malaysia yang dipilih sebagai destinasi malah negara-negara jiran juga dipilih sebagai destinasi untuk melakukan kegiatan pemerdagangan manusia. Oleh itu, Malaysia dan negra jiran harus mengambil tindakan untuk menangani kegiatan jenayah ini.
Antara aspek kerjasama antara Malaysia dengan negara-negara jiran untuk menangani masalah ini adalah mengetatkan kawalan sempadan. Sempadan merupakan perjalanan sindiket untuk memasuki ke sebuah negara demi melakukan pemerdagangan manusia. Oleh sebab itu, Malaysia dan negara-negara jiran harus mengetatkan kawalan di sempadan dengan menambahkan bilangan pegawai yang meronda. Apabila kawalan di sempadan telah diketatkan, sindiket tidak dapat memasuki ke sebuah negara dengan mudah. Dngan ini, pegawai imigresen di sempadan negara masing-masing boleh menangkap sindiket yang mencurigakan. Contohnya, pegawai imigresen di sempadan negara boleh menjalankan pemeriksaan yang teliti terhadap kemasukan orang asing. Jelaslah, Malaysia dan negara jiran perlu mengetatkan kawalan sempadan untuk mengatasi kegiatan jenayah ini.
Selain itu, aspek kerjasama yang lain antara Malaysia dengan negara-negara jiran adalah saling menukar menukar maklumat penjenayah yang sering disenaraikan dalam senarai hitam dan senarai orang kehilangan. Tindakan ini adalah untuk saling memahami pergerakan penjenayah dan mengenal pasti orang yang hilang. Dengan adanya maklumat semasa, ini telah memudahkan kerja pegawai kastam dan polis untuk menangkap sindiket serta mengenal pasti orang yang hilang. Ini bukan sahaja dapat menghalang lebih banyak pemerdagangan manusia berlaku, namun juga dapat mencari orang yang hilang. Contohnya, Malaysia dan negara jiran boleh saling bertukar maklumat penjenayah supaya negara lain boleh membantu untuk memberkas sindiket tersebut. Intihanya, penukaran maklumat perlu dilakukan agar kegiatan pemerdagangan manusia dapat diatasi.
Untuk meningkatkan ekonomi di negara-negara masing, penambahan pelaburan asing juga boleh dijadikan sebagai satu aspek kerjasama antara Malaysia dengan negara-negara jiran untuk meningkatkan ekonomi negara. Jika kita ingin meningkatkan peluang pekerjaan di negara, kita harus meningkatkan ekonomi negara. Pihak kerajaan boleh menambahkan tapak perindustrian untuk menarik minat peabur asing. Apabila negara kita boleh mendapat pelaburan daripada pelabur asing, pengaliran wang asing dapat membantu untuk meningkatkan ekonomi negara. Contohnya, projek pelaburan yang menarik minat pelabur untuk meneruskan pelaburan akan memberi modal yang cukup untuk meningkatkan ekonomi negara. Jelaslah, peningkatan pelaburan asing dapat meningkatkan ekonomi negara.
Di samping itu, peningkatan peluang pekerjaan dengan cara yang sah merupakan salah satu aspek kerjasama Malaysia dan negara-negara jiran. Salah satu punca yang menyebabkan kegiatan pemerdagangan manusia berlaku ialah peluang pekerjaan yang rendah di negara asal. Rakyat yang tidak dapat pekerjaan di negara asal akan mencari peluang pekerjaan di negara lain dan ini menjadi umpan sindiket untuk memerangkap rakyat. Pihak kerajaan boleh membekalkan kerja di tapak perindustrian dan pembinaan untuk rakyat asing untuk memenuhi keperluan tenaga buruh. Contohnya, pihak kerajaan boleh memberikan pekerjaan dalam sektor industri untuk mengekalkan pengeluaran yang sepatutnya. Oleh itu, pihak kerajaan di negara masing-masing perlu menyediakan saluran yang betul dan sah supaya rakyat tidak akan terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia.
Seterusnya, aspek kerjasama antara Malaysia dengan negara-negara jiran adalah membekalkan tenaga buruh dengan cara yang sah. Apabila negara dalam proses pembangunan, banyak tenaga buruh diperlukan dalam bidang penanaman, pembinaan dan perkhidmatan. Untuk membekalkan tenaga buruh dengan cara yang sah, pihak kerajaan harus memberi permit kepada buruh asing. Apabila buruh asing diberi permit untuk bekerja di negara kita, sindiket tidak mempunyai peluang untuk memperdayakan rakyat dengan cara yang haram. Contohnya, pihak kerajaan boleh mengadakan Program 6P untuk memberi permit kepada buruh asing dan Akta Antipemerdagangan Orang 2007 untuk menjaga kebajikan buruh asing. Intihanya, Malaysia dan negara jiran perlu mengupah buruh dengan cara yang sah supaya sindiket tidak mempunyai peluang untuk melakukan kegiatan pemerdagangan manusia.

Konklusinya, kegiatan pemerdagangan manusia memang satu jenayah yang harus dibanteras bersama-sama oleh Malaysia dengan negara-negara jiran. Inilah salah satu punca yang menyebabkan kehilangan kanak-kanak dan hal ini telah membimbangkan para ibu bapa. Oleh itu, semua pihak harus bekerjasama untuk membanteras kegiatan jenayah ini agar keselamatan dan keamanan rakyat dapat dijamin.

Karangan SPM 2016 Target 3: PERANAN IBU BAPA DALAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Dalam era globalisasi tanpa limitasi ini, negara Malaysia kini sedang pesat membangun dari sehari ke sehari. Persoalannya, apakah faktor yang mendorong pembangunan ini? Sebenarnya, pembangunan negara adalah sejajar dengan pembangunan modal insan kelas pertama yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi. Modal insan ini lahir daripada generasi muda kita yang berwawasan tinggi. Generasi yang berwawasan memiliki sikap-sikap positif seperti dinamik, proaktif, beriltizam dan berdaya saing. Tetapi apakah pula rahsia pembentukan generasi berwawasan yang mendukung pembangunan modal insan di negara ini? Dalam hal ini, keluarga memainkan peranan dan tanggungjawab yang sangat penting untuk dipikul demi merealisasikan hasrat negara untuk melahirkan lebih ramai modal insan yang cemerlang dalam pelbagai aspek.
 
Generasi hari ini merupakan pemimpin masa hadapan. Mereka mesti menyediakan diri dengan ciri-ciri kepimpinan dan memantapkan ilmu serta kemahiran. Di sini jugalah keluarga khususnya ibu bapa memainkan peranan untuk memimpin tangan dan membantu anak mereka dalam mengharungi kehidupan dengan cara yang paling efektif sekali. Hal ini demikian kerana keluarga merupakan pihak yang paling dekat dengan anak-anak. Ibu bapa seharusnya menunjukkan teladan yang baik terhadap anak-anak kerana segala perbuatan dan tingkah laku ibu bapa pasti akan diikut oleh anak-anak mereka. ‘Di mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi’ merupakan peribahasa yang relevan dengan isu ini. Sudah menjadi lumrah hidup manusia, anak-anak sememangnya akan akan memperhatikan dan meniru gerak tari ibu bapanya. Jika sumbang gerak tari ibu bapanya maka sumbanglah juga gerak tari mereka. Justeru, ibu bapa perlu bersikap optimistik tidak kira dalam apa-apa keadaan demi memastikan anak-anak sentiasa berada di landasan yang betul dan seterusnya melahirkan anak yang sentiasa bersikap positif.
 
Selain itu, ibu bapa turut memainkan peranan untuk mewujudkan suasana yang harmoni dalam keluarga. Hal ini demikian kerana suasana yang harmoni dapat mengelakkan anak-anak daripada terlibat dengan gejala negatif. Apabila suasana ini dapat diwujudkan ikatan silaturahim antara keluarga akan lebih utuh. Hal ini seterusnya dapat mengelakkan gangguan emosi dalam kalangan anak-anak dan seterusnya membendung anak-anak daripada tergelincir dari landasan yang benar. Setiap hari di dada akhbar kita dapat melihat bahawasanya remaja kini kebanyakannya terlibat dengan masalah sosial yang menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Justeru, ibu bapa dan keluarga harus membimbing dan memantau anak-anak supaya tidak terjebak ke dalam sesawang negatif dan menghancurkan usaha untuk membina modal insan.
 
Peribahasa Melayu ada mengatakan, ‘kepapaan menajamkan akal manusia, kekayaan menumpulkan akal manusia’. Peribahasa ini memberi maksud yang sangat jelas bahawa ibu bapa tidak harus melimpahkan kemewahan terhadap anak-anak kerana kemewahan dan kekayaan akan menyebabkan anak-anak lalai dalam menjalani kehidupan. Sebaliknya anak-anak lebih suka berfoya-foya dan mengabaikan tanggungjawab utama mereka iaitu menuntut dan menimba ilmu. Sememangnya, ibu bapa harus bijak menguruskan kewangan anak-anak mereka dan mendidik mereka bagi mengelakkan mereka tergolong dalam golongan yang lalai dan rugi.Di samping itu, ibu bapa harus mengikuti perkembangan pembelajaran anak-anak dan sentiasa memberi sokongan kepada mereka. Dalam hidup ini, setiap manusia yang memperoleh kejayaan pasti pernah menemui kegagalan pada suatu ketika dahulu. Dalam hal ini, jika anak-anak gagal dalam sesuatu perkara misalnya peperiksaan, ibu bapa tidak seharusnya menghukum mereka sebaliknya memberi dorongan dan menasihati mereka. ‘Pengalaman ialah ibu segala kejayaan’ merupakan peribahasa Jepun yang sangat sesuai dengan isu ini. Sebaik-baiknya kegagalan yang pernah dihadapi itu dijadikan pengalaman dan sejarah yang tidak boleh diulang kembali. Jelaslah di sini bahawa, dorongan dan sokongan ibu bapa dapat mendidik anak-anak untuk mengawal emosi mereka dan seterusnya membentuk modal insan yang cemerlang dari aspek emosinya.
 
Seterusnya, didikan agama merupakan aspek yang paling penting bagi membentuk generasi yang bersih dari segi rohani dan jasmani. Dalam hal ini juga ibu bapa ialah pihak yang bertanggungjawab untuk menerapkan nilai-nilai agama dalam diri anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana dengan pengetahuan agama yang menebal dalam diri, anak-anak dapat membezakan perkara yang benar dan batil. Anak-anak juga lebih terdorong untuk melakukan kebaikan dan secara tidak langsung dapat menyuntik semangat mereka untuk berusaha dengan gigih demi mencapai matlamat. Perkara ini juga dapat membina disiplin diri anak-anak dan melicinkan usaha untuk menambah bilangan modal insan dalam negara kita.
 
Natijahnya, ibu bapa dan keluarga memainkan peranan yang begitu penting dalam pembentukan modal insan dalam kalangan anak-anak mereka. Bahawasanya, gabungan nilai-nilai murni, ilmu pengetahuan dan kemahiran serta disiplin diri yang tinggi boleh melahirkan generasi berwawasan yang menjadi akar kepada pembangunan modal insan kelas pertama yang cemerlang dari aspek fizikal, mental dan emosi. Dalam hal ini, ruyung perlulah dipecahkan untuk menikmati sagunya. Oleh itu, ibu bapa tidak boleh berputus asa berusaha untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna dalam masyarakat, bangsa dan agama serta membatu merealisasikan satu agenda penting negara iaitu melahirkan generasi berwawasan yang menjadi penggerak kemajuan negara.

Karangan SPM 2016 Target 2: KEMAHIRAN YANG PERLU DIKUASAI REMAJA MENGHADAPI CABARAN HIDUP

Remaja zaman ini mengalami pelbagai cabaran yang menjadi penentu dalam hala tuju kehidupan mereka tersebut. Cabaran yang berlaku itu apabila gagal diatasi akan menjejaskan kehidupan remaja lalu terjebak dalam pelbagai gejala sosial yang melanda negara seperti dadah, mat rempit, dan juga jenayah. Berita yang disiarkan menerusi media massa telah membuktikan bahawa banyak remaja gagal meneruskan cabaran hidup kerana tidak memiliki beberapa kemahiran penting dalam kehidupan zaman globalisasi itu. Jadi, apakah kemahiran-kemahiran yang harus dimiliki oleh remaja dalam usaha mereka mengatasi dugaan kehidupan zaman moden ini?
 
Kemahiran yang paling berguna untuk memudahkan remaja mengharungi cabaran kehidupan zaman ini ialah mereka mahir berkomunikasi dengan orang lain. Remaja yang bijak akan menggunakan pelbagai kaedah komunikasi yang bersesuaian dengan individu yang sedang bersemuka dengan mereka itu. Golongan remaja ini juga mestilah mahir dalam menilai reaksi seseorang apabila diri mereka menerangkan sesuatu perkara lalu membuat perubahan yang difikirkan bersesuaian pula dengan reaksi tersebut. Akibatnya, remaja yang memiliki kemahiran berkomunikasi akan berupaya untuk meluahkan perasaan dan minat serta matlamat mereka dengan lebih tersusun serta jelas kepada orang lain pada bila-bila masa.
 
Selain itu, kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah turut penting dimiliki oleh remaja kerana kehidupan zaman ini menekankan aspek berdikari yang tinggi. Kemelut yang melanda kehidupan remaja amat berbeza daripada masalah yang berlaku pada era ibu bapa mereka lalu memerlukan satu cara penyelesaian yang tidak sama untuk menangani masalah itu. Kaedah penyelesaian itu mestilah bersesuaian dengan peribadi remaja kerana mereka yang akan menanggung segala akibat yang timbul daripada sesuatu penyelesaian masalah itu. Jelaslah, remaja yang memiliki kemahiran menyelesaikan masalah ini mampu mengatasi semua cabaran yang menimpa mereka baik di sekolah, di tempat kerja, dan di rumah itu.
Tambahan pula, remaja yang mampu meneruskan cabaran kehidupan yang penuh gelora ini mestilah mempunyai kemahiran insaniah. Peribadi yang baik, sopan, berbudi bahasa, dan memiliki pegangan keagamaan bersama-sama nilai kemanusiaan sejagat akan menjamin remaja itu hidup bahagia dalam kehidupan era digital ini. Remaja yang memiliki kemahiran ini akan berupaya bergaul dalam kalangan masyarakat yang semakin melupakan erti kemanusiaan yang sejati tersebut. Sesungguhnya, remaja yang memiliki ciri insaniah yang sebenar akan menjadi peneraju yang mencetuskan kewujudan masyarakat yang berhati mulia dalam meneruskan saki-baki kehidupan mereka tersebut.
 
Kemahiran yang seterusnya melibatkan penguasaan remaja dalam teknologi maklumat dan komunikasi yang begitu menarik lagi canggih. Golongan muda telah menggunakan teknologi ini sebagai sumber bahan berita atau informasi yang penting dalam kehidupan mereka walaupun ada unsur penipuan yang menjejaskan kredibiliti remaja pula. Remaja yang mahir dalam teknologi ini akan menapis atau memeriksa bahan yang diterima menerusi teknologi komunikasi sebegini sebelum melakukan sebarang tindakan susulan yang boleh menghalang kemudaratan melanda diri sendiri. Maka, remaja yang tinggi kemahiran dalam teknologi komunikasi ini akan terhindar daripada perkara-perkara yang boleh menjejaskan maruah diri dan keluarga mereka pada masa hadapan itu.
 
Akhir sekali, remaja yang bakal meneruskan kehidupan dengan bahagia ialah remaja yang mempunyai kemahiran khusus dalam arah kendiri atau interpersonal. Kemahlran arah kendiri merujuk kebolehan remaja untuk memotivasikan diri sendiri dalam usaha mencapai matlamat dalam kehidupan mereka pada masa hadapan tersebut. Remaja sebegini akan mampu bangkit semula apabila hidup mereka dipenuhi dengan pelbagai cabaran yang membawa rasa kesedihan, kekecewaan dan kegagalan yang berulang kali itu. Sebenarnya, remaja yang ada kemahiran arah kendiri akan melihat kegagalan atau kesedihan sebagai satu proses kehidupan yang harus diharungi dalam kehidupan manusia sebenar.
 
Kesimpulannya, remaja yang hidup pada zaman dunia tanpa sempadan ini haruslah memiliki semua kemahiran yang dihuraikan tadi. Kegagalan untuk memiliki kemahiran tadi akan menjadikan kehidupan remaja begitu sukar untuk diteruskan kerana cabaran yang berlaku tidak memilih bulu lalu menjejaskan kualiti kehidupan remaja. Masyarakat pula hendaklah membantu remaja memiliki kemahiran ini dengan mendidik mereka atau membiarkan mereka menyelesaikan sesuatu cabaran mengikut selera mereka sendiri pula. Peribahasa katak di bawah tempurung perlulah dihindarkan daripada pemikiran remaja kerana dunia moden ini sudah menjadi semakin kecil lalu segala yang berlaku akan memberi kesan kepada remaja yang tidak bersedia untuk berubah sikap.

Karangan SPM 2016 Target 1: PERANAN REMAJA DALAM PEMBANGUNAN NEGARA

Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan, namun remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti generasi muda di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara sarjana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya pada hari ini.” Mantan Presiden Indonesia, Soekarno pernah mengungkap,  “Jika diberikan aku seratus orang tua, nescaya aku mampu menterbalikkan perahu yang tertangkup tetapi, jika aku diberikan sepuluh orang muda, nescaya aku dapat mengegarkan dunia”. Bait-bait susunan retorik yang penuh puitis ini telah menjadi satu menifestasi dalam usaha membangunkan golongan belia dan generasi muda. Ternyatalah di sini bahawa remaja mahupun golongan belia yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Oleh itu, saya perlu memainkan peranan saya dengan penuh tanggungjawab untuk merencanakan pembangunan negara.
 
Peranan saya yang signifikan ialah saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dari aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan yang pemimpin negara yang berkualiti demi menjamin masa hadapan negar yang cerah terutamanya dalam aspek pembangunan negara. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, saya perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Saya juga tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa binasa.  Seorang tokoh cendekiawan Islam pernah berkata bahawa petanda runtuhnya sesuatu bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa tersebut amat  mencintai hiburan Tegasnya, tanpa remaja dan golongan yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut. 
 
Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin pembangunan negara jika generasi muda kita seperti saya tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental yang seimbang. Generasi muda yang ingin membangunkan negara perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baharu yang penuh dengan kompetitif, muda-mudi negara perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan generasi muda di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, saya patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja mahupun golongan belia harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan rakyat sihat, negara maju. Jadi, muda-mudi negara yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat melaksanakan pembangunan negara.
 
Selain itu, saya juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Golongan muda harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, saya haruslah mengamalkan segala suruhan agama dan meninggalkan semua larangan agama. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Saya mestilah sentiasa mendekatkan diri kepada Tuhan dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang mungkar seperti menagih dadah, berzina dan mencuri.  Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, golongan muda juga harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang-orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Dalam konteks ini, saya dapat membantu pembangunan negara dengan memastikan negara bebas daripada ancamana masalah sosial. Dengan kata lain, golongan remaja dan belia negara harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan negara yang maju sama ada secara luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti.
 
Seperkara lagi, saya juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu pembangunan negara yang gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, golongan remaja dan belia kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi remaja. Pendek kata, pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif.
 
Akhir sekali, saya juga dapat memainkan peranan saya untuk membangunkan negara dengan memiliki sikap keterbukaan. Hal ini kerana apabila kita mempunyai sifat sedemikian, kita lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain. Dalam nada yang serupa, kita dapat memberi kesan kepada negara kita. Kita dapat menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Kitalah yang akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Sebagai contohnya, saya mestilah sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur untuk mencapai misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni, satu bangsa satu bahasa dan satu negara. Hal ini bermakna saya perlu mengamalkan perpaduan sama ada di sekolah atau di tempat-tempat lain. Dengan ini, keharmonian negara dapat dipelihara dan pembangunan negara dapat dijalankan dengan lancar dalam suasana negara yang aman harmoni. Maka, sifat keterbukaan golongan muda yang belum keras ubun-ubunnya sudah pasti dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negaranya dengan penuh komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya.
 
Secara intihanya, semua remaja dan belia negara termasuklah saya mempunyai tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjanakan pembangunan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Pemusa-pemudi negara merupakan tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja dan belia yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika mereka tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, generasi yang merupakan aset negara ini perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia.

01 November 2016

KELAS EKSPRES SEJARAH S.P.M. 2016

Salam sukses. Pelajar setia KAViNAA-SHARSHIDA & semua peserta Seminar Pasti 'A' S.P.M. 2016 diminta mengikuti jadual Kelas Ekspres SEJARAH S.P.M. ini. Sila bawa Soalan Ramalan/Nota Seminar Pasti 'A' S.P.M. 2016.


Selamat maju jaya.
Yang MAHA KUASA akan sentiasa bersama ANDA!