29 October 2015

FOKUS B.M. S.P.M. 2015: Kajian Novel (Zon Utara)

FOKUS SOALAN: BINAAT PLOT


Soalan Contoh:

Klimaks merupakan unsur utama dalam plot sesebuah cerita. Daripada novel yang
telah anda baca, jelaskan persitiwa yang menjadi klimaks dalam novel tersebut.

Jawapan Berdasarkan Novel Azfa Hanani
 
Plot terdiri daripada empat unsur utama. Salah satu unsur plot yang penting ialah klimaks. Pada peringkat ini, perkembangan plot sesebuah cerita memuncak. Ceritanya digambarkan dengan peristiwa pertentangan antara dua watak atau antara watak dengan dirinya sendiri.
Peristiwa yang menjadi klimaks dalam novel Azfa Hanani bermula apabila Azfa Hanani menerima hadiah berupa bog duit dank ad pengenalan Tengku Murni daripada Ekran. Azfa Hanani kemudiannya mencari dan berjumpa dengan Ekran di sekolah. Dia meminta penjelasan daripada Ekran tentang beg duit dan kad pengenalan Tengku Murni itu. Daripada penjelasan Ekran, Azfa Hahani mendapat tahu bahawa hubungan Tengku Murni dengan Ekran telah dihalang oleh Tengku Muzaffar.

Setelah pulang ke rumah, Azfa Hanani mengkaji kandungan dan tulisan yang terpadam dalam diari tulisan Tengku Murni. Dengan menggunakan lilin yang dicairkan Azfa Hanani telah dapat mengesahkan bahawa Tengku Muzaffar yang menghalang perhubungan Tengku Murni dengan Ekran. Dia terus pergi ke bilik Tengku Muzaffar dan terus memarahi Tengku Muzaffar tentang perkara itu. Pertengkaran telah berlaku antara Azfa Hanani dengan Tengku Muzaffar. Tengku Muzaffar menjelaskan bahawa dia bertindak begitu kerana Ekran seorang budak miskin. Azfa Hanani tidak berpuas hati kerana hubungannya dengan Ekran juga dihalang oleh Tengku Muzaffar. Dia menyatakan bahawa Tengku Muzaffar tidak patut menghalang hubungannya dengan Ekran kerana dia juga merupakan seorang miskin seperti Ekran.

Pertengkaran itu didengar oleh Datin Maziah. Tengku Muzaffar dan Azfa Hanani terkejut apabila Datin Maziah tiba-tiba tercegat di mupa pintu biliknya. Rahsia penyamaran Azfa Hanani terbongkar. Datin Maziah amat marah lalu menampar Azfa Hanani. Datin Maziah telah menghalau Azfa Hanani keluar dari rumah pada malam itu juga. Azfa Hanani kemudiannya telah dihantar oleh Tengku Muzaffar ke rumah Tengku Ellina sebelum pulang ke kampung.

FOKUS SOALAN: PENGAJARAN


Soalan Contoh:

(a) Pembaca novel akan mendapat banyak pengajaran berguna yang boleh dijadikan
panduan hidup. Jelaskan tiga pengajaran utama yang dapat anda petik daripada novel
yang telah anda kaji.

(b) Novel yang telah anda baca mengandungi banyak peristiwa menarik. Nyatakan tiga
peristiwa menarik dalam novel tersebut.

Jawapan Berdasarkan Novel Azfa Hanani

Jawapan bagi Soalan (a)

Novel ini mengandungi beberapa pengajaran penting yang dapat dijadikan panduan dalam kehidupan seharian pembaca. Antara pengajaran yang awal yang dapat dikesan dalam novel Azfa Hanani ialah kita hendaklah mengaku dan bertanggungjawab terhadap kesalahan yang telah kita lakukan. Contohnya Azfa Hanani mengaku bahawa dialah yang mencuri beberapa buah buku rujukan di perpustakkan sekolah. Sewaktu dalam perjalanan ke bilik pengetua sekolah, dia telah bersedia untuk menerima apa-apa hikuman yang akan ditetapkan kepadanya. Begitu juga dengan Fuziana dan Syafikah. Mereka mengaku bersalah dan meminta maaf daripada Azfa Hanani kerana dihasut oleh Laini untuk memusuhi dan bersikap kasar terhadap Azfa Hanani. Datuk Tengku Makmur juga mengaku bahawa dialah yang menyebabkan kemalangan dan kematian ibu bapa Azfa Hanani dan berasa bertanggungjawab untuk menjaga Azfa Hanani.

Pengajaran lain yang diungkapkan oleh pengarang ialah seseorang pelajar hendaklah belajar dengan tekun sabar demi kejayaan pada masa hadapan. Contoh kepada pengajaran ini ialah watak Azfa Hanani yang tekun serta gigih belajar demi mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang doktor. Walaupun tidak ada wang untuk membeli buku-buku rujukan, dia telah mengambil jalan sendiri dengan mencuri pinjam buku-buku rujukan dari perpustakaan untuk dibaca. Dia berjanji akan memulangkan buku-buku berkenaan setelah selesai membacanya. Demikian juga dengan Ekran yang gigih belajar untuk mencapai cita-cita sebagai akauntan. Malah dia melakukan latihan praktikal dengan membuka gerai dan menjual burger. Dengan cara itu dia percaya akan lebih memahami tentang ilmu perakaunan.

Selain itu, seseorang yang kaya dan berada janganlah bersikap sombong sehingga boleh menjatuh maruah orang lain. Contohnya Tengku Muzaffar mengeluarkan kata-kata yang menghina Azfa Hanani tanpa mengetahui niat dan perasaan sebenar Azfa Hanani. Datuk Tengku Makmur juga bersikap sombong kepada Azfa Hanani dengan memerikan upah kepada Azfa Hanani kerana menyamar sebagai Tengku Murni sedangkan Azfa Hanani tidak berniat untuk menerima upah atas apa yang dilakukannya. Tengku Muzaffar juga bersikap sombong kepada Ekran dengan menghalang perhubungan Ekran dengan Tengku Murni kerana menganggap Ekran anak orang miskin dan tidak ada masa depan.

Jawapan bagi Soalan (b)

Sesebuah cerita dalam novel mengandungi banyak rentetan peristiwa. Terdapat beberapa peristiwa tertentu yang menarik bagi pembaca novel tersebut. Antara peristiwa menarik bagi saya dalam novel Azfa Hanani ialah peristiwa perbualan telefon antara Azfa Hanani dengan pak long. Azfa Hanani dapat tahu bahawa Zuraini sudah boleh berjalan. Mereka akan pulang pada hari itu. Azfa Hanani mahu ke lapangan terbang untuk menemui mereka namun ditegah oleh Syafinaz. Azfa Hanani ke kelas Bahasa Inggeris. Sepulang ke rumah dia terkejut melihat pak long dan Zuraini ada di rumah tersebut. Dia berbual panjang dengan Zuraini. Di sudut lain pak longnya dan Datuk Tengku Makmur berbual panjang dengan pak longnya. Pada hari itu juga Datuk Tengku Makmur membahasakan dirinya ‘papa’ kepada Azfa Hanani. Peristiwa itu menarik bagi saya kerana ia menunjukkan Azfa Hanani telah diterima oleh Datuk Tengku Makmur.

Peristiwa kedua yang menarik bagi saya ialah peristiwa yang berlaku di perpustakaan Sekolah Menengah Taman Sari. Fuziana dan Syafikah menawarkan peranan pengacara Malam Bakat Sumbangsih kepada Azfa Hanani. Mereka memujuk Azfa Hanani supaya menerima tawaran itu kerana ia memberi peluang kepada Azfa Hanani untuk menjadi glamour. Azfa Hanani menolak tawaran itu kerana menyedari bahawa slot itu sepatutnya dikendali kan oleh pelajar tingkatan lima Sastera II. Selain daripada itu Azfa Hanani dapat membaca bahawa mereka tidak ikhlas. Mereka marah kepada Azfa Hanani. Peristiwa itu menarik bagi saya kerana menggambarkan nilai ketegasan dalam diri Azfa Hanani.

Manakala peristiwa ketiga yang menarik bagi saya dalam novel ini ialah peristiwa Azfa Hanani bergaduh dengan Tengku Muzaffar. Azfa Hanani telah mengetahui bahawa Tengku Muzaffar yang menghalang perhubungan Tengku Murni dengan Ekran. Azfa Hanani tidak berpuas hati kerana hubungannya dengan Ekran juga dihalang oleh Tengku Muzaffar. Pertengkaran telah berlaku antara Azfa Hanani dengan Tengku Muzaffar. Azfa Hanani tidak mahu Tengku Muzaffar menghalang hubungannya dengan Ekran kerana mereka sama-sama anak orang miskin. Pertengkaran itu diketahui oleh Datin Maziah menyebabkan rahsia penyamaran Azfa Hanani terbongkar. Datin Maziah amat marah lalu menampar Azfa Hanani dan menghalau Azfa Hanani keluar dari rumah pada malam itu juga. Peristiwa itu menarik bagi saya kerana peristiwa yang sentiasa difikirkan oleh Azfa Hanani tentang penyamarannya telah berlaku.

SELAMAT MENGULANG KAJI. 
YANG MAHA KUASA AKAN SENTIASA BERSAMA ANDA!

No comments:

Post a Comment