23 August 2014

FOKUS BM PT3: Peperiksaan Percubaan 2014_Jawapan Contoh Kajian Novel

Salam sukses.



Sila kaji semua aspek novel yang dibincang dalam sidang tutorial terutamanya tajuk-tajuk dalam Set Eksklusif Fokus B.M. P.T.3. (Set 1-Set 3). Disertakan jawapan contoh bagi beberapa aspek kajian novel. Sila jadikan sebagai panduan dan pelajar tidak digalakkan untuk menghafal.

PANDUAN MENJAWAB SOALAN KAJIAN NOVEL

- Pastikan anda menyebut novel yang dikaji dalam pendahuluan.
- Tulis dalam 4 perenggan iaitu pendahuluan, isi 1, isi 2 dan isi 3.
- Setiap perenggan isi ada 2 ayat iaitu ayat pertama dinyatakan isi manakala ayat kedua dinyatakan contoh. 
- Dalam ayat contoh MESTI dinyatakan nama watak/latar dalam novel yang dikaji.

1. Huraikan persoalan dalam novel 6:20

Novel yang saya kaji ialah 6:20 karya Siti Jasmina Ibrahim. Terdapat beberapa persoalan dalam novel.

Antara persoalan dalam novel ini ialah kasih sayang ibu bapa terhadap anak- anaknya. Contohnya, Ibu Sukma berasa sangat bimbang apabila Sukma ingin berjumpa dengan tetamu-tetamu misteri di hadapan rumahnya pada jam 6:20 kerana baginya tindakan Sukma akan membawa bahaya kepada dirinya.

Persoalan yang seterusnya ialah tanggungjawab seorang sahabat. Contohnya, Jerry sanggup membantu Sukma dengan memberitahu segala maklumat kelab WX2 walaupun Jerry tahu bahawa nyawanya terancam.

Persoalan yang berikutnya ialah ketaatan terhadap perintah Tuhan. Contohnya, Tuan Haji Syaqir dan Sukma tidak lupa menunaikan solat walaupun mereka sibuk dengan urusan masing-masing.

Persoalan yang lain ialah remaja yang mudah terpengaruh. Contohnya, Iskandar, Jerry dan Reny menyertai kumpulan WX2 yang memperjuangkan kebebasan mutlak akibat dipengaruhi pemikiran barat.


 2. Huraikan perwatakan watak utama dalam novel 6:20
Novel yang saya kaji ialah 6:20 karya Siti Jasmina Ibrahim. Watak utama dalam novel ini ialah Sukma.

Antara perwatakan Sukma ialah seorang yang bersimpati terhadap orang lain Contohnya, Sukma berasa simpati kepada wanita tua yang berada di luar pagar rumahnya.

Perwatakan yang seterusnya ialah seorang yang taat kepada perintah ibu. Contohnya, Sukma menurut perintah ibunya yang melarangnya daripada berjumpa dengan tetamu-tetamu misteri yang berada di luar rumahnya.

Perwatakan yang berikutnya ialah seorang yang merendah diri. Contohnya, Sukma memohon maaf kepada ibunya setelah dia berlaku kasar terhadap ibunya.

Perwatakan yang lain ialah seorang yang taat kepada perintah Tuhan. Contohnya, walaupun sibuk dengan urusan harian, Sukma tetap menunaikan solat setiap waktu.

3.Huraikan latar masa dalam novel 6:20
Novel yang saya kaji ialah 6:20 karya Siti Jasmina Ibrahim. Terdapat beberapa latar masa dalam novel ini.

Antar latar masa dalam novel ini ialah pukul 6:20 pagi. Contohnya, pada waktu ini Sukma melihat seorang wanita tua, kanak-kanak dan seorang pemuda yang tidak dikenali di hadapan rumahnya.

Latar masa yang seterusnya ialah waktu petang. Contohnya, Aim mengejutkan Sukma daripada tidur kerana hari sudah petang.

Latar masa yang seterusnya ialah waktu senja. Contohnya, Sukma masih berjalan mundar- mandir di selatan kelab apabula senja hampir berlabuh.

Latar yang berikutnya ialah waktu malam. Contohnya, ibu menghadiri Majlis Makan Malam Bollywood.

4. Huraikan latar tempat dalam novel 6:20
Novel yang saya kaji ialah 6:20 karya Siti Jasmina Ibrahim. Terdapat beberapa latar tempat dalam novel ini.

Antara latar tempat dalam novel ini ialah banglo Taman Megah. Contohnya, di sini rumah kediaman Tuan Haji Syaqir bersama-sama keluarganya.

Latar tempat yang seterusnya ialah di Dewan Kuliah. Contohnya, di sini Profesor Darul sedang menyampaikan pengajaran kepada pelajar-pelajarnya.
Latar tempat yang berikutnya ialah rumah Ehsan. Contohnya, Sukma dan ayahnya menziarahi Ehsan yang baru menjalani pembedahan jantung di rumahnya.

Latar tempat yang lain ialah Kafe Flora. Contohnya, Kumpulan Waris Cinta mengadakan persembahan tarian tradisi dari Sarawak yang diketuai oleh Erman di tempat ini.

Latar tempat yang lain ialah Kelab WX2. Contohnya Sukma berada di Kelab WX2 untuk melihat keadaan sebenar kelab tersebut.

5.Huraikan latar masyarakat dalam novel 6:20
Novel yang saya kaji ialah 6:20 karya Siti Jasmina Ibrahim. Terdapat beberapa latar masyarakat dalam novel ini.

Antara latar masyarakat dalam novel ini ialah masyarakat pelajar universiti. Contohnya, Sukma, Teja, Rafiq, Jerry dan Alvin merupakan penuntut dalam jurusan Sains dan falsafah di institusi pengajian tinggi awam.

Latar masyarakat yang seterusnya ialah masyarakat yang mengambil berat terhadap golongan muda. Contohnya, Puan Delia ibu kepada Sukma menyamar sebagai salah seorang ahli kumpulan WX2 dengan menjadi pemerhati dalam kumpulan tersebut untuk mengetahui pergerakan kumpulan tersebut.

Latar masyarakat yang berikutnya ialah masyarakat yang beriman kepada Tuhan. Contohnya Tuan Haji Syaqir menunaikan solat Asar selepas pulang dari kerja.

Latar masyarakat yang selanjutnya ialah masyarakat yang berdikari. Contohnya, Nenek Aim bekerja di pasar malam dan pasar basah setiap hari, berjual buah untuk menyara kehidupan.

Latar masyarakat yang lain ialah masyarakat yang mudah terpengaruh oleh golongan pemikiran Barat. Contohnya, Iskandar, Jerry dan Reny yang menyertai kumpulan WX2 yang memperjuangkan kebebasan mutlak akibat dipengaruhi pemikiran Barat.

6. Huraikan nilai murni dalam novel 6:20
Novel yang saya kaji ialah 6:20 karya Siti Jasmina Ibrahim. Terdapat beberapa nilai murni dalam novel ini.

Antara nilai murni dalam novel ini ialah nilai kasih sayang. Contohnya, Ibu Sukma menghadiahkan Sukma sebuah buku kerana risau tentang diri Sukma yang dikatakan mengalami tekanan perasaan.

Nilai yang seterusnya ialah nilai prihatin. Contohnya, Tuan Haji Syaqir berjaya mengumpulkan dana bagi membiayai pembedahan jantung dan rawatan kulit Ehsan.
Nilai yang berikutnya ialah nilai setiakawan. Contohnya, Sukma dan Rafiq sanggup menghadapi bahaya untuk menyelamatkan rakan baik mereka iaitu Jerry dan Iskandar daripada terus dipengaruhi dengan pemikiran barat.

Nilai yang lain ialah nilai tanggungjawab. Contohnya, Sukma masih lagi sempat mengikuti kuliah dan mengadakan perbincangan kumpulan walaupun dia dibelenggu dengan pelbagai persoalan tetamu misteri.

7.Huraikan pengajaran dalam novel 6:20
Novel yang saya kaji ialah 6:20 karya Siti Jasmina Ibrahim. Terdapat beberapa pengajaran dalam novel ini.

Antara pengajaran dalam novel ini ialah kita tidak harus mudah terpengaruh oleh anasir luar. Contohnya, Sukma dan Rafiq mampu menangkis pengaruh pemikiran barat meskipun rakan-rakannya sendiri telah terlibat dengan kumpulan WX2.

Pengajaran yang seterusnya ialah kita hendaklah mempunyai sikap setiakawan. Contohnya, Sukma dan Rafiq sanggup menghadapi bahaya untuk menyelamatkan rakan baik mereka iaitu Jerry dan Iskandar daripada terus dipengaruhi dengan pemikiran barat.

Pengajaran yang berikutnya ialah kita hendaklah mempunyai semangat patriotik terhadap tanah air sendiri. Contohnya, Rafiq masih kekal dengan budaya dan cara hidup Melayu meskipun dia dibesarkan di luar negara.

Pengajaran yang lain ialah kita mestilah bertanggungjawab melaksanakan amanah. Contohnya, Tuan Haji Syaqir bertanggungjawab melaksanakan tugasnya sebagai pengerusi jawatankuasa di kampungnya.

Pengajaran yang lain ialah kita hendaklah menunaikan kewajipan sebagai umat Islam. Contohnya, Haji Syaqir dan Sukma tidak culas menunaikan tanggungjawab mereka sebagai umat Islam.

8.Berikan tiga contoh peristiwa menarik bagi nilai kegigihan dalam novel 6:20
Novel yang saya kaji ialah Novel 6:20, karya Siti Jasmina Ibrahim. Bagi novel 6:20 ini, walaupun penulis telah mengutarakan pelbagai nilai namun nilai yang ditetapkan oleh soalan ialah kegigihan.

Antara contoh peristiwa dalam novel yang menunjukkan nilai tersebut ialah kegigihan Tuan Haji Syaqir, iaitu bapa kepada Nur Sukma mengumpulkan dana bagi membiayai pembedahan jantung dan rawatan kulit kanak-kanak yang bernama Ehsan.

Peristiwa kedua yang menunjukkan nilai tersebut ialah kegigihan Nur Sukma dan Rafiq untuk menyelamatkan rakan mereka iaitu Jerry dan Iskandar daripada terus dipengaruhi oleh pemikiran negatif dari Barat. Mereka terpaksa menghadapi bahaya ketika berbuat demikian.
Peristiwa ketiga yang menunjukkan nilai kegigihan ialah peristiwa Nenek dan Aim gigih menghadapi dugaan menyara hidup mereka berdua dengan menjual buah manggis selepas kematian ayah Aim dan ibunya pula telah menghilangkan diri.
NOTA: 
Tajuk-tajuk yang diberikan bukannya SOALAN RAMALAN. Pelajar diminta supaya mengkaji semua tajuk yang telah dibincang dalam sidang tutorial. Namun, berikanlah tumpuan penting bagi tajuk-tajuk di atas.


Selamat Maju Jaya... YANG MAHAKUASA AKAN SENTIASA BERSAMA ANDA!

No comments:

Post a Comment