03 October 2011

TIP B.M. P.M.R. YANG TERKINI DENGAN KARANGAN CONTOH

Tajuk-tajuk Karangan:
1. Kepentingan Disiplin / Disiplin Teras Kejayaan / Masalah Disiplin / Gejala Sosial / 
    Keruntuhan Akhlak (Fokus Gejala Sosial:Buli/Ponteng/Pembuangan/Penderaan bayi)                                                                                                                              *****

2. Peranan Ibu Bapa Membentuk Anak / Menangani Masalah Sosial        *****

3. Pelajar Cemerlang / Modal Insan / Peranan Generasi Muda Membangunkan Negara

4. Kepentingan Sungai / Kepentingan Perpustakaan

5. Pencemaran Alam / Kemusnahan Hutan / Kepentingan Menjaga Bangunan Bersejarah / 
    Terjejas *****

Format Karangan:
- Rencana / Ucapan / Ceramah / Syarahan / Dialog

Aspek-aspek Penting Kajian Novel
1. Watak dan Perwatakan
2. Latar Masyarakat
3. Peristiwa Contoh

RAMALAN / KARANGAN CONTOH 1 (Disiplin Asas Kejayaan)

Anda dikehendaki menulis sebuah rencana yang bertajuk 'Disiplin Asas Kejayaan' yang akan dimasukkan dalam majalah sekolah. Tulis rencana tersebut selengkapnya.


Disiplin Asas Kejayaan
oleh: Kavinaa Poovizhi

Pada era globalisasi ini, pencapaian yang cemerlang dan seimbang dalam bidang akademik serta kokurikulum oleh anak anak merupakan harapan ibu bapa sebagai langkah untuk menjamin masa depan anak-anak yang cerah. Hal ini menyebabkan ramai anak yang mengalami tekanan kerana ingin memuaskan kehendak ibu bapa mereka.Oleh itu, remaja yang terlibat dalam masalah disiplin ibarat cendawan tumbuh selepas hujan .Hal ini menyebabkan remaja mencari jalan untuk menghilangkan stress. Contohnya, membuli, merokok dan berlumba haram. Akhirnya, masalah disiplin pelajar menjadi lebih serius dan mereka terjebak ke dalam kancah kebinasaan. Oleh itu , pelajar harus belajar untuk menjadi disiplin kerana disiplin asas kejayaan.

Sebagaimana yang kita tahu, seseorang yang mempunyai disiplin diri dapat membina jati diri. Remaja sekarang mempunyai jati diri yang lemah. Hal ini disebabkan oleh pengaruh media massa dan pengaruh kawan yang kuat. Kesannya, remaja tidak berminat dalam pelajaran kerana terlalu berminat dalam pelajaran dan menumpukkan perhatian dan masa kepada media massa atau kawan. Sekolah harus mengadakan kelas intensif untuk membantu pelajar yang lemah dan membaiki kelemahan pelajar. Dengan itu, pencapaian akademik pelajar akan meningkat . Apabila pemikiran pelajar menjadi matang, jati diri pelajar akan turut meningkat .

Selain itu , sikap disiplin dalam seseorang dapat meningkatkan kesedaran remaja dalam pelbagai perkara. Remaja kini tidak menyedari kepentingan akademik dan suka hidup dalam mimpi. Mereka suka melepak ,merokok dan hidup dalam alam fantasi mereka. Akhirnya, mereka lupa daratan dan hilang arah tuju. Oleh itu, para guru disiplin sekolah harus sentiasa tegas dalam mengatasi masalah disiplin pelajar dan menguatkuasakan peraturan sekolah sebelum nasi menjadi bubur. Sebuah sekolah yang berada dalam keadaan yang erkawal akan dapat melahirkan tempat yang kondusif kepada pelajar-pelajar.

Seterusnya, disiplin yang ada pada seseorang remaja dapat menetapkan masa depan seorang remaja. Remaja alaf baharu ini mudah hilang arah tujuan kerna mereka tiada motivasi diri. Contohnya, mereka tidak membuat jadual belajar dan mereka malas untuk berusaha. Oleh itu, guru sekolah harus mendidik murid untuk menjadi disiplin. Dengan teknik pembelajaran yang disiplin. remaja dapat mengetahui perkara yang sedang dibuatnya dengan jelas dan tahu mencari cara untuk memajukan diri mereka. Dengan itu, remaja akan menghargai masa dan mereka akan sentiasa melakukan aktiviti yang berfaedah.

Sementara itu, sikap disiplin yang ada pada seseorang dapat meningkatkan imej diri. Pada masa ini, masalah remaja seperti berpakaian selekeh dan berambut panjang sudah menjadi perkara yang umum. Budaya Punk dan Barat dipraktikkan dalam kehidupan mereka. Contohnya, mereka mewarnakan rambut dan berseluar ketat. Pepatah Melayu pernah mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungya, ibu bapa harus menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan menjadi suri telada kepada anak sejak kecil kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sebagaimana yang kita tahu , anak-anak yang dididik dengan baik dari rumah sentiasa mempunyai sikap disiplin dan perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka tidak menconteng arang di muka ibu bapa.

Di samping itu, disiplin merupakan kunci kejayaan diri. Anak muda pada masa ini antikokurikulum dan antipeperiksaan kerana mereka tidak dapat mencari keseronokan yang mereka kira seronok. Misalnya, mereka ponteng sekolah semasa dikehendaki untuk menghadiri aktiviti kokurikulum dan hanya hadir pada hari peperiksaan sahaja. Pengetua sekolah haruslah memberikan nasihat dan teguran untuk menyedarkan remaja bahawa pentingnya kokurikulum dan akademik dalam dunia ini. Pengetua juga harus member kata-kata yang dapat memotivasikan pelajar supaya pelajar lebih yakin akan diri sendiri. Pelajar haruslah menunjukkan muhasabah disiplin diri yang tinggi dan harus memperbaik sikap yang buruk kerana buang yang keruh , ambil yang jernih.

Tuntasnya, masalah disiplin pelajar dapat dikawal tetapi memerlukan usaha yang pragmatik dan kerjasama bagai aur dengan tebing oleh semua pihak. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sering mengingatkan kita bahawa remaja zaman ini merupakan bakal pemimpin negara pada masa depan kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, remaja harus diasuh untuk menjadi pemimpim negara yang berketerampilan dan berwibawa. Kesimpulannya, sikap disiplin merupakan penentu kejayaan untuk memastikan masa depan negara cerah dan sejahtera. Saya yakin bahawa remaja ialah aset negara dan mereka akan menerajui dan mendukung cita-cita negara pada masa depan dengan sikap disiplin yang utuh dalam diri mereka.
-Kredit kepada Cikgu Tan
 
RAMALAN / KARANGAN CONTOH 2 (Langkah Mengatasi Masalah Sosial)

Masyarakat mempunyai peranan penting menangani pelbagai gejala negatif dalam kalangan masyarakat. Berikan pendapat anda. 
Marcapada, pelbagai gejala negatif kerap terjadi dalam kalangan masyarakat di negara kita. Perkara yang menimbulkan kemusykilan kepada kita adalah mengapakah perkara ini semakin kerap terjadi? Apakah faktor yang menyebabkan masyarakat negara kita yang dahulunya terkenal dengan nilai berbudi bahasa dan bersopan santun berubah sebaliknya? Segala persoalan yang timbul dalam benak fikiran kita seolah-olah tiada jawapannya. Apakah langkah yang perlu diambil oleh masyarakat bagi menangani gejala negatif yang berlaku dalam kelompok mereka ini?
 
Antara langkah untuk mengatasi pelbagai gejala negatif dalam masyarakat pada hari ini adalah dengan melalui keprihatinan masyarakat setempat terhadap perkara ini.Hal ini berlaku demikian kerana sikap sebegini akan menyebabkan mereka yang mahu melakukan gejala negatif ini akan berasa takut untuk melakukannya di kawasan tempat tinggal mereka.Lantaran itu, gejala-gejala negatif seperti berlumba motor secara haram, vandalisme, melepak dan sebagainya akan dapat dikawal.Tamsilnya, program Rukun Tetangga yang dilaksanakan oleh komuniti setempat akan dapat mengurangkan gejala ini daripada terus berlaku. Oleh itu, sikap cakna masyarakat setempat amat penting dalam menangani isu ini.
 
Di samping itu, masyarakat setempat boleh mengadakan program bermanfaat khusus untuk golongan remaja dan belia di kawasan tempat tinggal mereka. Hal ini berlaku demikian kerana dengan mengadakan aktiviti seperti ini akan dapat mengisi masa senggang yang ada dengan kegiatan yang berfaedah untuk mereka.Dengan ini, mereka akan tiada masa untuk membuat perkara-perkara yang negatif. Tamsilnya, aktiviti seperti pertandingan ‘futsal’ pada hujung minggu akan dapat memenuhi masa senggang mereka di samping menyihatkan tubuh badan. Lantaran itu, terbuktilah bahawa aktiviti-aktiviti berfaedah akan dapat mengalihkan perhatian golongan ini daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat.
 
Seterusnya, penganjuran kempen kesedaran secara bersepadu oleh agensi-agensi kerajaan juga boleh membantu menangani isu ini. Hal ini berlaku demikian kerana golongan yang melakukan gejala negatif ini mungkin tidak menyedari kesan negatif atas perlakuan mereka selama ini.Sehubungan dengan ini, mereka mungkin akan menyesali salah laku masa lalu mereka. Tamsilnya, pihak berkuasa boleh memberi penerangan tentang hukuman-hukuman yang bakal diterima oleh mereka yang melakukan perbuatan yang negatif ini.Benarlah bahawa melalui kempen yang bersepadu pelbagai gejala negatif akan dapat dikurangkan dalam kalangan masyarakat.
 
Konklusinya, jelaslah bahawa pelbagai gejala negatif dalam kalangan masyarakat dapat diatasi sekiranya langkah dan kaedah yang betul dilaksanakan. Oleh itu, setiap anggota masyarakat perlulah memainkan peranan masing-masing dalam membanteras gejala yang tidak sihat ini. Dengan ini, segala masalah yang dihadapi oleh komuniti setempat akan dapat diatasi dengan cara yang lebih berkesan. Sesungguhnya benarlah kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. 

RAMALAN / KARANGAN CONTOH 3 (Peranan Ibu Bapa)

“Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya”.
Jelaskan pendapat anda tentang ungkapan di atas.

Anak merupakan kurniaan Ilahi yang paling berharga. Kehadiran setiap anak dalam keluarga lazimnya mewarnai kehidupan berumah tangga kerana cahaya mata merupakan harapan ibu bapa yang utama. Walau bagaimanapun, ibu bapa harus sedar bahawa anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang harus mencorakkannya. Ungkapan ini memainkan peranan yang penting dalam menjalankan tanggungjawab keibubapaan. Oleh sebab itu, ibu bapa haruslah memikul tanggungjawab untuk membina generasi baharu yang lebih berkualiti sebagai pemimpin masa depan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
 
Ibu bapa mestilah menjaga anak-anak mereka dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Hal ini dikatakan penting kerana kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa mampu menyedarkan anak-anak tentang betapa pentingnya institusi kekeluargaan demi membina masyarakat yang berkualiti. Mengikut kajian yang dijalankan, lebih 60 peratus anak muda yang terlibat dalam gejala sosial terdiri daripada golongan yang kehausan kasih sayang ibu bapa. Oleh sebab itu, anak-anak harus disayangi dan dijaga dengan baik supaya mereka mudah berasa bersalah dan akan berfikir demi ibu bapa sebelum melakukan perbuatan yang buruk yang mampu menconteng arang di muka ibu bapa.
 
Selain itu, ibu bapa turut memainkan peranan penting untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan yang berkualiti dapat menjamin masa depan anak-anak. Pada kebiasaannya, ibu bapa mula menghantar anak-anak ke tadika sejak umur mereka tiga tahun lagi. Ibu bapa sedar bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki apabila masuk ke menara gading, anak-anak dapat menjaga ibu bapa dan menjamin masa depan mereka. Oleh itu, ibu bapa haruslah mementingkan pelajaran anak-anak mereka.
 
Lain daripada itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting sebagai suri teladan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana bapa borek anak rintik. Ibu bapa haruslah menunjukkan sikap yang bermoral di hadapan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa tidak wajar berbahasa kesat mahupun merokok di hadapan anak mereka. Secara tidak langsung, anak-anak akan terdidik untuk mendisiplinkan diri kerana datang daripada keluarga yang baik dan yang mementingkan disiplin kerana kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.
 
Para ibu bapa juga harus sedar bahawa mereka perlu menjadi tempat anak-anak bergantung hidup. Oleh sebab itu, ibu bapa harus bekerja keras memberikan kehidupan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Sebagai contoh, segala keperluan dan kelengkapan belajar haruslah disediakan oleh ibu bapa. Dengan berbuat demikian, ibu bapa sudah pun memenuhi komitmen mereka sebagai pendorong dan penggalak anak-anak mereka untuk menimba ilmu. Saya yakin bahawa anak-anak akan berusaha untuk berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum demi tidak menghampakan ibu bapa mereka sekali gus tidak menjadi seperti kacang lupakan kulitnya.
 
Ilmu agama merupakan salah satu ajaran yang perlu disalurkan oleh ibu bapa ke dalam sanubari anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana pegangan agama yang kuat dalam diri seseorang anak akan memperteguh keimanan mereka untuk menghadapi dugaan hidup. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah memberikan didikan agama dan moral kepada anak-anak mereka supaya anak-anak tahu membezakan yang mana batu, yang mana permata. Secara tidak langsung, mereka tidak akan menjerumuskan diri dalam kancah jenayah kerana sedar bahawa manusia punya asa, Tuhan punya kuasa. Dengan ini, masalah sosial dan jenayah dalam masyarakat kita akan berkurangan kerana ibu bapa telah menjadi pembimbing dan menunjukkan jalan hidup yang betul kepada anak-anak.
 
Konklusinya, ibu bapa haruslah memerhatikan gerak-geri anak mereka sejak kecil lagi. Saya yakin bahawa tiada seorang pun ibu bapa yang mahu melihat anak mereka tergelincir daripada landasan hidup yang betul. Oleh sebab itu, para ibu bapa haruslah digalakkan menyertai bengkel keibubapaan dan kursus yang berkaitan dengan tanggungjawab ibu bapa mencorak anak-anak menjadi modal insan yang mulia demi masa depan anak-anak mereka. Dengan perkataan lain, segala tindakan ibu bapa terhadap anak mereka bakal memberikan impak yang besar dalam kehidupan anak mereka. Demikianlah kebenaran ungkapan anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya.

RAMALAN / KARANGAN CONTOH 4 (Pencemaran Alam)


Alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita.Bincangkan langkah-langkah yang patut kita lakukan untuk menjaga kebersihan alam sekitar. 
Belakangan ini, pembangunan tanpa limitasi kini merupakan perubahan kian pesat berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah dikecap hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang lepas tangan ini. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata supaya dapat mengejar kemajuan? Apakah peranan kita sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Justeru, alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita dan langkah-langkah yang proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.
 
Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah kebersihan alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini berlaku demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran. Hal ini jelas akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Sebagai contoh, penggunaan racun serangga dan pendingin hawa membawa kesan yang paling ketara dan serius kepada alam sekitar perlulah dihadkan penggunaannya. Oleh itu, penggunaan bahan ini perlu dikawal oleh kerajaan dan pihak swasta supaya dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahkan oleh Tuhan.
 
Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas berkaitan aspek penjagaan kebersihan persekitaran. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Sehubungan dengan ini, pelepasan asap kilang dan pembuang sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka dapatlah dikawal. Tamsilnya, denda yang maksimum atau hukuman sebatan patut dikenakan ke atas pekilang yang tegar supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Justeru,sikap pengilang yang bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing akan dapat dibanteras dengan lebih efektif.
 
Dalam pada itu, program kitar semula yang diuar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Dengan ini, kawasan persekitaran tidak akan dibanjiri dengan bahan buangan yang akan mencemarkan alam sekitar.Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu. Melalui cara ini, sumber manusia dan negara dapat menjimatkan kos mereka sekali gus dapat memelihara kebersihan alam sekitar.
 
Secara tuntas, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan sewajarnya untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar. Kita tidak sepatutnya berpeluk tubuh meletakkan masalah ini di atas bahu kerajaan dengan sewenang-wenangnya. Kerjasama bagai aur dengan tebing yang erat antara rakyat Malaysia dengan kerajaan tentunya akan lebih bermakna. Hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang sinonim dengan slogan negara “Negara Bersih, Rakyat Sihat”.

CATATAN
Beberapa karangan contoh bagi tajuk-tajuk yang paling panas telah disertakan. Tetapi, para pelajar tidak digalakkan untuk menghafal karangan-karangan contoh ini. Jadikannya sebagai contoh sahaja. Pelajar diminta kaji semua tajuk di atas dan tajuk-tajuk seminar. Jika ada pertanyaan sila hubungi Tutor B.M. Anda : Cikgu G.N.Rajan dalam talian 012-535 7782 / 013-414 5858. SEMOGA BERJAYA. YANG MAHAKUASA AKAN SENTIASA BERSAMA ANDA.

No comments:

Post a Comment