06 May 2012

FOKUS BM PMR:Peperiksaan Pertengahan Tahun 2012


FOKUS BM SPM : Peperiksaan Pertengahan Tahun 2012




KARANGAN MANTAP S.P.M. 1 - FOKUS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
PEMBUANGAN BAYI

            Pembuangan bayi biasanya melibatkan golongan remaja yang bertindak terburu-buru ketika mengambil tindakan. Kemelut yang semakin serius ini bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyiru lagi apabila akhbar-akhbar perdana negara sering memaparkan kejadian ini dalam akhbar mereka dengan begitu meluas tanpa segan-silu. Hal ini bukan sahaja menyusahkan pelbagai pihak malah imej negara kita akan tercalar. Jadi, sebelum mencari jalan penyelesaiannya, kita perlulah mengenal pasti sebab musabab yang menjadi akar umbinya sebelum kemelut ini menjadi barah kerana kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.

            Kemelut ini berlaku lantaran kurangnya didikan agama dalam kalangan remaja kita. Kekurangan ini mungkin akibat kekurangan didikan dan perhatian ibu bapa serta impak kemodenan yang melanda negara kita. Remaja kita tidak mempunyai pegangan agama yang tebal dan mudah dipengaruhi oleh desakan seksual mereka itu. Tanpa didikan agama yang teguh, mereka tidak dapat membezakan sesuatu perbuatan mereka itu betul atau salah dan tidak dapat membezakan antara hak dengan batil. Hal ini dapat dilihat apabila remaja perempuan mudah terlibat dalam kancah perzinaan sedangkan berzina itu haram di sisi agama. Kesannya, banyak anak luar nikah yang lahir dan akhirnya bayi yang tidak berdosa itu dibuang demi menutup malu perbuatan remaja yang goyah imannya. Jadi, didikan agama yang kurang mantap menyebabkan masalah ini kian meruncinng.

            Selain itu, isu ini turut berleluasa kerana institusi kekeluargaan itu sendiri sudah runtuh. Sudah menjadi kebiasaan kini sesebuah keluarga itu tidak mempunyai ayah atau ibu untuk mendidik. Ketiadaan ini menyebabkan tanggungjawab mendidik anak tidak menjadi satu keperluan yang harus dipenuhi dengan baik. Menurut kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat bahawa 50 peratus masalah sosial remaja berpunca daripada keluarga yang porak peranda. Ibu atau bapa yang tunggal sering sibuk mencari tuntutan nafkah untuk menyara kehidupan keluarganya. Lantaran itu, mereka telah mengabaikan tanggungjawab hakiki mereka dalam mendidik dan memantau setiap perlakuan anak mereka. Pengabaian ini akhirnya mengundang padah apabila anak mereka terlibat dalam perbuatan yang sumbang. Sesungguhnya, keadaan inilah yang menyebabkan masalah pembuangan bayi menjadi-jadi.

            Sikap masyarakat yang terlalu suka menghukum turut menjadi penyebab pembuangan bayi ini berlaku. Kita suka menganggap bahawa wanita yang mengandung tanpa suami ini sebagai melakukan kesalahan tanpa menimbang keadaan yang menjurus kemelut itu berlaku. Mungkin ada antara mereka yang mengandung disebabkan tindakan manusia yang durjana sehingga sanggup merogol gadis yang tidak berdosa. Dalam hal ini, wajarkah remaja itu dipersalahkan oleh perbuatan manusia yang tidak berhati perut itu? Sememangnya kita harus bersimpati terhadap mereka tetapi keadaan menjadi lebih rumit apabila terdapat segelintir daripada ahli masyarakat kita yang lebih suka menunding jari kepada sesetengah remaja tanpa meneliti punca yang menjadi permasalahan ini. Malangnya, masih terdapat pemikiran masyarakat yang kolot lalu menyebabkan remaja tidak mempunyai tempat untuk mengadu masalah mereka sehingga sanggup membiarkan anak mereka berada di tempat yang tidak sepatutnya daripada dipandang jijik oleh masyarakat. Tegasnya, sikap masyarakat seumpama ini merupakan pemangkin gejala ini.

            Arus kemodenan terutama melalui media massa telah menyemarakkan masalah ini. Program dari Barat yang mengaitkan kebebasan dalam pergaulan telah menyebabkan remaja mudah terpengaruh. Kehidupan moden sering dikaitkan dengan hubungan seksual yang bebas. Remaja yang baru berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang sering dikuasai oleh perasaan ingin mencuba pasti akan meniru aksi-aksi atau adegan-adegan panas yang terdapat dalam filem Barat bagi memuaskan nafsu mereka. Mereka tidak lagi berasa takut ketika melakukan perkara yang terkutuk itu asalkan nafsu berahi mereka dapat dipenuhi. Lantaran itu, masalah ini terus menerus menjadi sesuatu yang lumrah dan menjadi darah daging dalam hidup mereka. Sebagai akibatnya, lahirlah anak luar nikah dan masalah pembuangan bayi semakin sukar dikawal lantaran ingin menutup rasa aib atas perbuatan ibu bapa yang masih remaja itu.

            Sebelum kudis menjadi tokak, kemelut remaja ini haruslah diatasi segera. Kita tidak seharusnya mendopang dagu tetapi pelbagai pendekatan yang proaktif perlulah diambil demi menangani masalah ini kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Satu daripada langkah yang perlu dilaksanakan ialah semua lapisan masyarakat hendaklah diberi pendidikan keibubapaan melalui pelbagai program. Pendidikan ini bertujuan memberikan buah fikiran mengenai perkahwinan yang sah kepada rakyat. Melalui cara ini, orang ramai akan menjadi lebih berhati-hati supaya tidak melakukan perbuatan sumbang. Perkara ini harus ditekankan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya para remaja. Sebagai contohnya, program pendidikan keibubapaan perlu diadakan untuk mendidik remaja tentang perkara yang perlu diamalkan dalam kehidupan berkeluarga. Tegasnya, orang ramai perlu diberi kesedaran tentang kesan buruk aktiviti pembuangan bayi.

            Selain itu, pihak berkenaan hendaklah mengadakan ceramah atau kempen pada peringkat sekolah mahupun peringkat taman-taman perumahan. Melalui program tersebut, masyarakat dapat diberi kesedaran tentang keburukan pergaulan bebas. Seperti yang kita ketahui, kes pembuangan bayi berpunca daripada pergaulan bebas yang dianggap sebagai suatu perkara biasa bagi warga urban kini. Kita seharusnya mengelakkan diri daripada unsur negatif tersebut supaya tidak menjadi seperti sudah terhantuk baru nak tengadah. Sebagai contohnya, kempen kesedaran ini perlu dilakukan secara besar-besaran melalui iklan, risalah dan lain-lain. Kempen murni ini haruslah dilakukan secara berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Sesungguhnya, usaha dinamik dan secara konsisten ini diperlukan untuk membimbing rakyat supaya sentiasa berada di landasan yang betul dalam kehidupan.

            Langkah yang seterusnya ialah pihak kebajikan masyarakat perlu menyediakan perkhidmatan kaunseling. Khidmat nasihat hendaklah diberikan kepada mangsa rogol dan individu yang mengandung tanpa nikah. Hal ini disebabkan mangsa mengalami ketidakstabilan emosi dan mungkin akan cuba mencederakan diri sendiri. Sebagai contohnya, mangsa rogol sanggup membunuh diri kerana tidak dapat menerima kenyataan sebenar. Penubuhan Rumah Sri Puteri oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat memberikan perlindungan dan khidmat nasihat kepada mereka yang telah terlanjur ini. Oleh hal yang demikian, pusat kaunseling perlu diperbanyak di seluruh negara untuk membantu mangsa-mangsa tersebut daripada terus melakukan perkara yang terkutuk.

            Di samping itu, pesalah yang disabitkan kesalahan berzina atau kes rogol perlu dikenakan hukuman yang berat. Perogol atau orang yang mencabul kehormatan wanita merupakan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Mereka perlu dijatuhi hukuman yang berat sebagai peringatan kepada orang lain. Hal ini menyebabkan wanita-wanita ini kehilangan harga diri dan terpaksa menanggung malu sepanjang hayatnya. Perkara tersebut juga akan menconteng arang ke muka ahli keluarga mangsa. Oleh sebab itu, undang-undang negara perlu dikuatkuasakan supaya perogol atau mereka yang berzina berasa serik atau takut untuk melakukan perkara tersebut yang salah di sisi agama. Sebagai contohnya, hukuman bagi kesalahan berzina dan merogol adalah seperti penjara dan hukuman sebat. Hal ini dapat mengurangkan jenayah pembuangan bayi yang tidak berdosa itu di negara kita.

            Seterusnya, pendidikan agama dan moral harus dititikberatkan oleh ibu bapa untuk menyedarkan anak-anak tentang dosa dan balasan yang akan diterima. Ibu bapa hendaklah menitikberatkan pendidikan agama dan moral kepada anak-anak dan proses ini hendaklah diteruskan walaupun seseorang itu telah meningkat umur dewasa. Pendidikan agama dan moral amatlah penting dan perlulah disemaikan dalam sanubari rakyat. Albert Einstein pernah berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta dan ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Hal ini menunjukkan peri pentingnya didikan agama dan moral dalam kehidupan kita supaya kehidupan tidak menjadi terumbang-ambing seperti kapal tanpa nakhoda. Sebagai contohnya, anak-anak perlu diberi didikan agama sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya dengan menyuruh anak-anak tidak mengabaikan solat kerana bersolat itu dapat mencegah daripada melakukan kemungkaran. Cara ini adalah efektif untuk mewujudkan masyarakat yang bebas daripada kes pembuangan bayi.

            Kesimpulannya, masalah pembuangan bayi ini yang diesebabkan oleh banyak faktor mempunyai pendekatan yang tersendiri untuk diatasi jika dikaji secara telus. Pelbagai pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menyelesaikan dan mengurangkan kes pembuangan bayi yang berlaku di negara kita. Masalah tersebut akan menular dan menjadi duri dalam daging jika tidak ditangani segera ketika negara sedang berusaha untuk mencapai wawasan 2020. Kerjasama daripada semua pihak adalah amat penting untuk membendung masalah ini kerana ke bukit sama-sama didaki, ke lurah sama-sama dituruni. Melalui usaha ini, hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan terbilang dari segi lahiriah dan rohaniah dapat direalisasikan.


KARANGAN MANTAP S.P.M. 2 - FOKUS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

PERANAN REMAJA DALAM MEMBANGUNKAN NEGARA

Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan, namun remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara sarjana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.” Presiden Soekarno pernah mengungkap, Berikan saya 10 orang belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.” Ternyatalah di sini bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Oleh itu, setiap remaja perlu memainkan peranan mereka dengan penuh tanggungjawab untuk merencanakan pembangunan negara.

     Peranan signifikan remaja ialah mereka perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dari aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan remaja yang berkualiti demi kepentingan negara. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Remaja juga tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tegasnya, tanpa remaja yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut. 
    
Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin pembangunan negara jika remaja kita tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang ingin membangunkan negaea perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baharu yang penuh dengan kompetitif, remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja kita harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan rakyat sihat, negara maju. Jadi, remaja yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat melaksanakan pembangunan negara.

     Selain itu, remaja juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Remaja kita harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja menjadi modal insan kelas pertama yang berakhlak mulia dan berjati diri unggul. Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang-orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja berkepemimpinan harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan negara yang maju sama ada secara luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti.

     Seperkara lagi, remaja juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu pembangunan negara yang gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi remaja. Pendek kata, pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif.

     Akhir sekali, remaja juga dapat memainkan peranan mereka untuk membangunkan negara dengan memiliki sikap keterbukaan. Hal ini kerana apabila golongan ini mempunyai sifat sedemikian, mereka lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain. Dalam nada yang serupa, remaja seumpama ini dapat memberi kesan kepada negara kita. Mereka dapat menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Mereka akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Mereka sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur untuk mencapai misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni, satu bangsa satu bahasa dan satu negara. Maka, sifat keterbukaan remaja sudah pasti dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negaranya dengan penuh komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya.

   Intihanya, semua remaja mempunyai tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjana pembangunan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia.

KARANGAN MANTAP S.P.M. 3 - FOKUS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN 
PERANAN IBU BAPA MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG

        Pada alaf baharu ini, ibu bapa diberikan peranan yang penting kepada masyarakat dan negara. Media cetak mahupun media elektronik sering menyiarkan obligasi yang wajib dipikul oleh ibu bapa. Dalam kalangan ibu bapa dalam masyarakat hari ini selalu diberi perhatian oleh orang ramai terutamanya kerajaan dalam hal yang bersangkut-paut dengan pembentukan masyarakat penyayang. Mantan Perdana Menteri Malaysia ke-5 iaitu Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi memberitahu bahawa membentuk masyarakat penyayang amat penting sekali. Masyarakat penyayang merupakan masyarakat yang anggotanya mengamalkan sikap yang sayang-menyayangi, hormat-menghormati, bantu-membantu, dan nilai murni yang lain. Masyarakat seperti ini menjadi impian negara kita untuk merealisasikan Wawasan 2020.  Oleh itu, terdapat pelbagai langkah-langkah pragmatik yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk membentuk masyarakat penyayang.

          Peranan ibu bapa yang paling signifikan ialah ibu bapa perlu memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Ibu bapa seyogianya membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Namun begitu, terdapat kalangan ibu bapa yang mengabaikan anak-anak mereka. Hal ini kerana ibu bapa tersebut lebih mementingkan kemewahan hidaup dan kekayaan. Oleh itu, ibu bapa seharusnya lebih banyak meluangkan masa dengan anak-anak mereka pada alaf globalisasi ini. Kasih sayang ibu bapa dapat dilihat melalui kesanggupan ibu bapa meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Pada masa itu, ibu bapa harus berkongsi masalah anak-anak dan menjadi pendengar setia kepada setiap luahan hati anak-anak. Contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka semasa cuti sekolah untuk mengeratkan hubungan dan mengurangan tekanan anak-anak dalam aspek pembelajaran serta ibu bapa. Dengan ini, bibit-bibit kasih sayang akan mekar dalam jiwa anak-anak. Jadi, impian ibu bapa atau negara untuk membentuk masyarakat penyayang akan tercapai jua.

          Selain itu, ibu bapa sewajarnya memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak semenjak kecil lagi bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Akan tetapi, ibu bapa kini terlalu mengagung-agungkan kemodenan sehingga mengabaikan tanggungjawab hakiki mereka dalam mencurahkan  didikan agama kepada nanak-anak. Hal ini berlaku kerana mereka beranggapan bahawa didikan agama tidak penting dalam arus kemajuan teknologi satelit masa kini. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya menerapkan didikan agama kepada anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap agama amat mementingkan hubungan baik dengan Pencipta, sesama manusia dan alam sekitar. Hai ini akan tercapai dengan adanya nilai kasih sayang dalam kehidupan. Misalnya, mereka perlu menggalakkan anak-anak mengikuti kelas agama supaya anak-anak akan menjadi insan yang penyayang. Di samping itu, mereka seharusnya memberikan pengajaran yang baik kepada anak-anak mereka ketika anak-anak itu masih dalam buaian lagi. Jelaslah, hasrat ibu bapa dalam melahirkan generasi yang penyayang akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti melalui didikan agama yang teguh.

         Seperkara lagi itu, ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Namun demikian, terdapat kalangan ibu bapa yang berperangai buruk seperti menjadi pendera, perogol dan sebagainya. Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi entiti mithali kepada anak-anak yang masih belum keras ubun-ubunnya sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa perlu menunjukkan sikap yang penyayang kepada anak-anak sejak kecil lagi seperti sering membawa anak-anak menziarahi orang tua di kampung. Lama-kelamaan generasi muda akan mengikut tabiat yang positif ini dan masyarakat penyayang akan dilahirkan. Ringkasnya, peranan ibu bapa amatlah besar dalam melahirkan masyarakat yang penyayang pada alaf globalisasi ini.

          Jika kita tinjau dari perspektif yang berbeza pula, ibu bapa juga harus menjaga keharmonian rumah tangganya. Hal ini dikatakan demikian kerana kerharmonian rumah tangga dapat mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia dan hidup dengan penuh limpahan kasih sayang. Ikatan kasih sayang yang teguh daripada ibu bapa sudah pasti dalam membentuk jiwa anak-anak dengan nilai kasih sayang dan sekali gus mereka akan mencontohi sikap penyayang ibu bapa mereka kerana kepimpinan melalui teladan. Ibu bapa seyogianya memastikan hubungan kekeluargaan sesama ahli keluarga erat bagi melahirkan keluarga yang penyayang. Hal ini dapat dipraktikkan dengan mengelakkan sebarang pergaduhan dan pertengkaran di hadapan anak-anak yang masih belum keras ubun-ubunnya dan sentiasa menghormati pasangan hidup masing-masing. Dengan adanya sikap toleransi dan hormat-menghormati ditambah lagi dengan kasih sayang maka impian kita untuk melahirkan masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan. 

          Bukan itu sahaja, ibu bapa juga haruslah melibatkan anak-anak dalam aktiviti masyarakat. Ibu bapa seyogianya mendekatkan anak-anak mereka dengan masyarakat setempat bagi mewujudkan hubungan yang baik dengan masyarakat. Dengan ini, anak-anak akan dapat mengenali ahli komunitinya dengan lebih dekat lagi dan perasaan sayang akan timbul dalam sanubari mereka kerana kata orang, tak kenal maka tak cinta, sudah kenal baru jatuh cinta. Contohnya, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk menyertai gotong-royong di kawasan tempat tinggal atau solat berjemaah di surau atau di masjid. Bukan itu sahaja, keprihatinan ibu bapa tatkala jiran kita ditimpa musibah dengan menghulurkan sedikit sumbangan sama ada dari sudut fizikal, material dan sokongan sudah tentu dapat membuka mata anak-anak untuk membuat perkara yang sama apabila mereka dewasa kelak. Secara implisitnya, perasaan kasih sayang akan mekar dalam kehidupan masyarakat kita.  Sesungguhnya, hubungan silaturahim yang erat mampu melahirkan masyarakat yang penyayang.
 
          Secara deduksinya, ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam melahirkan masyarakat yang penyayang. Namun begitu, tindakan mengharapkan ibu bapa semata-mata juga tidak akan berkesan kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. S
etiap individu dalam kalangan masyarakat harusnya mengambil  inisiatif untuk melakukan anjakan paradigma bagi  merealisasikan pembentukan masyarakat  penyayang dalam kalangan rakyat Malaysia. Dengan cara ini, masyarakat kita akan dipandang tinggi sebagai sebuah bangsa yang bukan sahaja maju dari aspek kebendaannya, justeru kaya dengan budaya penyayang. Secara tidak langsung juga, imej negara akan harum di persada dunia dan masyarakat Malaysia akan dianggap sebagai masyarakat  kelas pertama kerana ketinggian akhlaknya bak kata pujangga, “Sesungguhnya bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh. Jika akhlaknya sudah lumpuh, mereka pun akan lenyap.” 

KARANGAN MANTAP S.P.M. 4 - FOKUS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN 
Peranan Ibu Bapa dalam Mendidik Anak-anak agar Menjadi Pengguna yang Bijak
 
        Sambutan Hari Pengguna membawa erti yang cukup mendalam bukan sahaja kepada pengguna malahan juga kepada peniaga, pengeluar, dan kerajaan. Pelbagai tema yang membayangkan hasrat kerajaan untuk melahirkan pengguna yang serba bijak dan berpengetahuan diketengahkan pada setiap tahun. Walaupun pelbagai tema yang dipilih, matlamatnya tetap sama iaitu untuk memastikan pengguna terdidik dan bijak serta tahu akan hak mereka. Kini, masalah kenaikan harga barangan sememangnya begitu ketara bagaikan bangkai gajah tidak dapat ditutupi nyirunya lagi terutama di kawasan urbanisasi. Sebagai pengguna, kita perlu memiliki sifat-sifat pengguna yang bijak untuk berupaya mengharungi kehidupan sebegini. Maka, kita mempunyai kuasa untuk menentukan barangan itu perlu atau sebaliknya dalam menjalani kehidupan harian itu. Oleh itu, untuk melahirkan pengguna yang bijak, obligasi ini terletak pada pundak ibu bapa kerana ibu bapa merupakan guru yang terbaik dan terdekat kepada anak-anak. 

       Peranan ibu bapa yang paling signifikan dalam mendidik anak-anak supaya menjadi pengguna yang bijak ialah ibu bapa perlu memupuk amalan berjimat cermat dalam kalangan anak-anak. Anak-anak perlu diajar supaya membeli barangan yang benar-benar perlu dan tidak membazir kerana amalan membazir itu sebahagian daripada amalan syaitan. Aktiviti membeli-belah memang menyeronokkan apatah lagi apabila kita mempunyai wang yang banyak yang membolehkan kita membeli apa-apa sahaja barangan dan perkhidmatan yang disukai. Malah, ada orang yang menjadikan aktiviti membeli-belah sebagai aktiviti wajib pada setiap bulan sehingga sanggup melakukan pembaziran. Oleh itu, ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak agar berjimat cermat dalam pembelian dan perlu mengamalkan amalan menabung untuk kepentingan masa depan. Kata orang tua-tua, beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis. Jelaslah bahawa amalan berjimat cermat juga merupakan satu amalan yang mulia yang harus dipupuk oleh ibu bapa dalam diri anak-anak. 

            Selain itu,  ibu bapa harus memberikan teladan kepada anak-anak dengan tidak berbelanja di kawasan-kawasan mewah dan mengamalkan sikap kesederhanaan. Sikap ini dapat dikaitkan dengan kata slogan yang berbunyi kepimpinan melalui teladan. Biasanya, barangan yang dijual di kawasan mewah seperti di KLCC, Pavillion, Mid Valley dan sebagainya lebih mahal harganya bukan kerana kualiti tetapi kerana faktor kawasan, suasana dan sewa kedai yang lebih tinggi menyebabkan kos barang menjadi mahal. Selain itu, kebanyakan pengguna ingin membeli di tempat yang elit ini kerana mereka mengutamakan jenama. Impaknya, sikap terlalu mengutamakan jenamalah yang membawa pengguna berbelanja besar. Sebenarnya, semua barang hampir serupa sahaja kualitinya tetapi harga yang dijual berbeza-beza mengikut kawasan tertentu. Oleh itu, mengapakah kita perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan barangan yang hampir sama kualitinya? Tepuk dada tanyalah selera. Konsep hidup sederhana dan tidak mementingkan aspek kebendaan membolehkan kehidupan pengguna lebih selesa dan tenang tanpa sebarang masalah kewangan pula. Jadi, sikap ibu bapa yang tidak berbelanja di kawasan yang mewah dan mengamalkan kesederhanaan akan diteladani oleh anak-anak untuk menjadi pengguna yang bijak kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

           Seperkara lagi, ibu bapa seyogianya mengajar anak-anak supaya bijak mengurus kewangan peribadi. Pengguna yang bijak ialah pengguna yang tahu mengurus kewangan dengan berkesan dan seterusnya tahu mengawal perbelanjaan mereka. Untuk itu, diri anak-anak perlu dilengkapkan dengan ilmu kewangan yang dapat membantu anak-anak menguruskan kewangan peribadi mereka dengan baik dan berkesan. Antara yang perlu dilakukan termasuklah merubah corak perbelanjaan harian keluarga dan merancang perbelanjaan demi masa depan yang baik. Selain itu, ibu bapa juga boleh membimbing anak-anak membuat perancangan yang lebih sistematik dengan membuat catatan wang simpanan dan wang perbelanjaan. Perancangan kewangan yang baik dan pengurusan kewangan yang sistematik akan membantu berbelanja mengikut keperluan dan tidak membebankan. Selain itu, ibu bapa perlu menasihati anak-anak agar sentiasa menyediakan senarai barangan keperluan sebelum keluar untuk berbelanja bagi mengelakkan pengguna membeli barangan yang tidak diperlukan. Dengan itu, anak-anak dapat mendisiplinkan diri dengan mematuhi setiap perancangan yang telah ditetapkan dan sekali gus usaha untuk melahirkan pengguna yang bijak dapat direalisasikan.

      Jika kita lihat dari dimensi yang lain, ibu bapa perlu menerangkan keburukan membeli barangan atau perkhidmatan yang menawarkan harga jualan yang lebih murah. Hal ini kerana pengguna akan berbelanja boros semasa jualan murah diadakan. Misalnya, ketika musim perayaan, pelbagai potongan harga yang menarik ditawarkan. Pengeluar barangan dan perkhidmatan sentiasa berlumba-lumba menghasilkan pelbagai produk dan barangan dengan tawaran yang cukup mengasyikkan pengguna. Lebih mengujakan pengguna, tentulah lambakan tawaran daripada pelbagai barangan berjenama di pasaran. Siapakah yang tidak tergoda apabila melihat tawaran harga barangan berjenama yang menjunam sehingga 70 peratus? Syarikat kewangan pula menawarkan pelbagai bentuk perkhidmatan kad kredit untuk memudahkan pengguna berbelanja. Namun begitu, yang membimbangkan adalah apabila seronok membeli-belah menyebabkan pengguna akhirnya tidak dapat mengawal perbelanjaan bulanan, yang kemudiannya terjerumus ke dalam beban hutang yang tidak disangka-sangka. Oleh itu, sikap ibu bapa yang tidak mudah terpedaya oleh jualan murah dan tidak menggalakkan pembelian ketika jualan murah merupakan antara peranan yang wajar untuk melahirkan pengguna yang bijak dalam kalangan anak-anak.

            Lebih-lebih lagi, amalan pembelian barangan tempatan perlu diamalkan oleh ibu bapa dan diterapkan dalam diri anak-anak. Barangan buatan Malaysia ialah barangan yang dihasilkan di dalam negara kita. Banyak kilang yang didirikan untuk menghasilkan barangan tempatan.  Barangan tempatan bukan sahaja murah bahkan juga berkualiti. Ibu bapa sendiri perlu menggunakan barangan buatan Malaysia di rumah, contohnya perabot, pakaian, makanan dan barangan elektrik. Antara barang buatan Malaysia yang terkenal ialah kereta Proton Saga Proton Waja, Proton Perdana. barangan tembikar, batik lukis dan perabot rotan. Di samping menjimatkan perbelanjaan seseorang, amalan ini juga dapat menunjukkan sokongan kita terhadap usaha anak watan kita sendiri bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Usaha kerajaan mendirikan Kedai Satu Malaysia merupakan usaha yang efektif untuk menggalakkan rakyat membeli produk tempatan. Ibu bapa perlulah membeli-belah di kedai tersebut supaya tindakan yang sama akan dilakukan oleh anak-anak kelak. Secara implisitnya, usaha untuk melahirkan pengguna yang bijak akan menjadi kenyataan kelak.

            Sebagai akhir kalam, ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk melahirkan pengguna yang bijak dalam dalam kalangan anak-anak. Ibu bapa mestilah menjalankan obligasi masing-masing dengan menitikberatkan amalan kepenggunaan yang bijak. Jikalau anak-anak kini berjaya menjadi pengguna yang bijak sudah tentu masa depan mereka akan lebih bersinar dan lebih cerah. Usaha ini bukan sahaja berguna kepada diri anak-anak malahan juga memberi tempias kepada negara kelak kerana mereka yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara. Diharapkan generasi pelapis negara ini akan lebih bijak merancang perbelanjaan peribadi dan negara supaya negara kita tidak terheret dalam lembah kemiskinan kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya

KARANGAN MANTAP S.P.M. 5 - FOKUS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN 
  
Cara-cara Melaksanakan Pembangunan yang Lestari

"Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada generasi akan datang. Oleh itu, jagalah alam sekitar supaya anak dan cucu kita dapat menikmatinya." Kata-kata Mahatma Gandhi ini sudah cukup membuktikan bahawa alam sekitar merupakan harta paling berharga yang perlu dijaga kepentingannya. Alam semula jadi menjadi tonggak utama negara sebagai kawasan tadahan hujan, habitat flora fauna dan sumberkayu-kayan. Malangnya, Hari Bumi yang disambut setiap 22 April bagaikan tiada kesan apabila sumber-sumber alam ini masih lagi rakus diterokai untuk manusia menikmati pembangunan. Oleh itu, kita perlu merencanakan pembangunan yang mapan atau pembangunan lestari.  Pembangunan mapan atau pembangunan lestari merupakan gabungan antara pembangunan yang maju dengan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar. Kita perlu menitikberatkan pembangunan yang seimbang. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita harus melakukan anjakan paradigma untuk mewujudkan pembangunan yang lestari dengan melakukan beberapa pendekatan yang pragmatik.

      Program kitar semula memainkan peranan yang penting dalam menyokong dasar strategik kerajaan bagi pengurusan alam sekitar dan sumber semula jadi yang mapan dan lestari. Secara spesifik, program ini bertujuan untuk mengurangkan intensiti pencemaran dan sisa daripada aktiviti pembandaran dan perindustrian, di samping memastikan alam sekitar bersih dan sihat supaya dapat memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat. Amalan kitar semula harus bercambah, berakar dan menghijau di setiap pelosok tanah air. Amalan kitar semula boleh dijalankan di peringkat nasional, kawasan, komuniti, serta individu. Oleh itu, kejayaan program kitar semula banyak bergantung kepada kerjasama yang erat dalam kalangan semua pihak. Semua pihak perlulah menjadikan kitar semula sebagai amalan hidup. Pelaksanaan program kitar semula ini mesti diteruskan secara berpanjangan, bukannya bermusim seperti hangat-hangat tahi ayam.  Usaha untuk memastikan program ini berjaya perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda yang bakal mewarisi teraju kepimpinan negara kelak. Tegasnya, program kitar semula dapat mencapai pembangunan yang lestari, berkualiti dan seimbang.

      Selain itu, orang ramai digalakkan menggunakan petrol tanpa plumbum bagi kenderaan bermotor. Mencari alternatif selain minyak juga adalah penting bagi tujuan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar. Dewasa ini, kajian bagi menghasilkan minyak enjin biomass daripada tumbuh-tumbuhan sedang giat dijalankan. Contohnya, di negara kita, ahli sains telahpun menemukan sejenis minyak daripada kelapa sawit yang boleh mengurangkan pencemaran udara tanpa menjejaskan kecekapan enjin. Sungguhpun penemuan ini masih terlalu baharu untuk dipastikan sama ada praktikal ataupun tidak namun penemuan ini patut dijadikan satu titik permulaan bagi meningkatkan usaha kita ke arah mencapai konsep pembangunan lestari. Oleh itu, penggunaan petrol tanpa plumbum turut membantu dalam melaksanakan pembangunan lestari.
 
Salah satu langkah lain yang dapat digunakan untuk mewujudkan pembangunan lestari ialah pihak berwajib perlu menjatuhkan hukuman terhadap  individu atau organisasi yang telah didapati bersalah memusnahkan alam sekitar semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Pihak berwajib seperti Kementerian Sains, Teknologi, dan Alam Sekitar wajar menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada untuk menghukum pihak-pihak yang berkenaan. Hukuman yang dikenakan hendaklah setimpal dengan kesalahan pihak terbabit mencemarkan dan memusnahkan alam seperti mengenakan dendaan yang tinggi. Selain itu tindakan penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilaksanakan tanpa sikap memilih bulu dan dilakukan secara tekal dan tidak seperti melepaskan batuk di tangga. Individu dan organisasi yang mencemarkan alam biasanya tidak serik dengan hukuman yang dikenakan. Mereka akan mengulangi perbuatan keji ini jika hukuman yang dikenakan terhadap mereka tidak begitu berat. Malahan ada yang sanggup membayar denda kerana mencemarkan alam sekitar kerana mereka tahu denda tersebut hanya sekali sahaja. Mereka bebas melakukan kesalahan setelah menjelaskan denda yang dikenakan. Oleh itu pihak berwajib mestilah lebih tegas dalam mengenakan hukuman terhadap pihak yang merosakkan alam sekitar. 

      Di samping itu, pihak sekolah hendaklah memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada murid-murid sekolah. Pendidikan alam sekitar melibatkan pelbagai aspek yang menjurus ke arah pengekalan alam yang sejahtera. Satu kurikulum yang khusus perlu digubal agar pendedahan yang sistematik dapat dilaksanakan. Kurikulum ini boleh diselitkan dalam mata-mata pelajaran lain dan boleh juga dijadikan mata pelajaran khusus. Hal ini bertujuan untuk menyemaikan kesedaran secara lebih berkesan. Murid sekolah khususnya yang belajar di sekolah rendah wajar didedahkan dengan pengetahuan tentang alam sekitar dengan lebih sistematik. Jika sejak kecil mereka diberikan pendedahan sedemikian, mereka akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar apabila mereka dewasa nanti kerana alah bisa tegal biasa. Langkah ini akan melahirkan generasi yang dapat menguruskan pembangunan negara yang lestari dan mapan. Jadi, pengenalan pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah merupakan satu langkah untuk mewujudkan pembangunan yang lestari. 

      Jika kita lihat dari sudut yang lain pula, aktiviti penanaman semula perlu dilakukan. Hal ini dikatakan demikian kerana  penanaman semula dapat menggantikan pokok-pokok yang telah ditebang untuk melakukan projek pembanguan negara. Dengan ini, keseimbangan alam sekitar dan ekologi negara tercapai. Sesungguhnya, memang tidak dapat kita nafikan bahawa negara kita perlu membangun untuk mencapai negara kelas pertama. Namun begitu, kita tidak boleh bertindak mengikut nafsu tanpa memikirkan risiko yang bakal menimpa. Kita haruslah memiliki minda yang lestari iaitu setiap pokok yang ditebang perlu diganti kembali. Pengusaha kayu balak dan pihak  pemaju tidak harus bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan mereka seharusnya berminda lestari dalam memastikan pembangunan lestari tercapai. Ironinya, pembangunan lestari dapat dicapai melalui aktiviti penanaman semula.
 
      Sebagai konklusinya, terdapat pelbagai langkah yang dikenal pasti dapat membangunkan negara dengan lestari jika dilaksanakan dengan penuh iltizam. Dalam hal ini, semua pihak perlulah bekerjasama untuk memastikan langkah-langkah yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Jika pembangunan lestari terbantut, generasi akan datang pasti menghadapi masalah alam sekitar yang lebih buruk. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak menyelesaikan masalah ini diharapkan dapat  mewujudkan pembangunan yang seimbang tanpa melakukan kemusnahan alam sekitar.  Semoga generasi cucu cicit kita dapat menikmati kemajuan dan pembangunan negara  dengan diselimuti  kehijauan alam sekitar.

KARANGAN MANTAP S.P.M. 6 - FOKUS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN 
PUNCA REMAJA KURANG MELIBATKAN DIRI DALAM AKTIVITI KOMUNITI

          Dalam menongkah arus modenisasi dan globalisasi ini, kita kian alpa akan semangat kejiranan yang dapat dipupuk melalui aktiviti komuniti. Lantaran itu, golongan generasi muda kita kini iaitu golongan remaja kurang melibatkan diri dalam aktiviti komuniti. Senario ini dapat dikaitkan dengan peribahasa yang berbunyi bagaimana rentak gendang, begitulah tarinya. Berdasarkan peribahasa tersebut, barangkali sangat tepat jika kita mengaturkan gerak laku ssebuah masyarakat dengan gelombang dan perkembangan semasa masyarakat. Sikap menyalahkan remaja yang tidak mahu berjinak-jinak dengan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong rotong adalah umpama meludah ke langit menimpa batang hidung sendiri. Memang benar remaja hari ini tidak berminat dengan aktiviti seumpama ini akibat didalangi oleh pelbagai faktor yang telah dikenal pasti yang menjadi latar kehidupan masyarakat pada masa ini.

          Punca prima remaja hari ini kurang melibatkan diri dalam aktiviti komuniti ialah sikap masyarakat setempat yang telah mempengaruhi  sikap dan minda remaja. Masyarakat hari ini terutamanya golongan dewasa yang bekerja, sibuk dengan urusan sendiri dan tidak sedar akan sikap mereka yang mengabaikan aktiviti komuniti. Dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh fatamorgana ini, memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat pada hari ini terlalu obses untuk mencari kemewahan hidup demi memenuhi tuntutan nafsu kebendaan mereka. Senario ini menyebabkan mereka tidak bertegur sapa dengan jiran tetangga mereka apatah lagi ingin melibatkan diri dalam aktiviti komuniti seperti bergotong royong. Sikap mereka yang mementingkan diri sendiri ini dapat diibaratkan bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Tanpa disedari, situasi ini turut mempengaruhi sikap dan minda remaja untuk meminggirkan amalan kemasyarakatan dalam kehidupan mereka.
  
          Selain itu, punca lain remaja hari ini kurang melibatkan diri dalam aktiviti komuniti ialah hubungan remaja dengan golongan dewasa yang agak renggang. Keadaan ini tercetus daripada pemikiran orang dewasa terhadap remaja yang dianggap masih belum keras ubun-ubunnya dan tidak perlu menyertai aktiviti komuniti seperti bergotong royong. Situasi ini bertambah rumit apabila terdapat golongan dewasa yang menhalang penglibatan golongan remaja dalam aktiviti komuniti seperti menyertai mesyuarat-mesyuarat yang diadakan di sesebuah taman perumahan. Luka bertambah parah apabila remaja, iaitu insan kerdil ciptaan Tuhan yang menjadi harapan negara ini mulai berasa tersisih kerana tidak berpeluang untuk bersama-sama dalam aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan. Impaknya, mereka tiada pendedahan dan bimbingan daripada orang dewasa untuk menjayakan aktiviti komuniti pada suatu hari nanti. Tegasnya, hubungan yang renggang antara orang dewasa dengan remaja menjadi pemangkin kepada kurangnya penglibatan remaja dalam aktiviti kemasyarakatan.

          Jika kita lihat dari dimensi yang berbeza, remaja hari ini terpaksa menerima tekanan tinggi dan bebanan berat daripada ibu bapa. Ibu bapa pada hari ini terlalu menaruh harapan yang tinggi setinggi Gunung Everest agar anak mereka berjaya dalam bidang akademik. Harapan ibu bapa yang tinggi ini menyebabkan golongan remaja terpaksa memikul bebanan yang berat untuk menrealisasikan harapan tersebut sehinggakan mereka tiada masa dan peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti komuniti seperti bergotong royong. Kebanyakan ibu bapa pada hari ini tidak mahu anak-anak mereka ketinggalan dalam dunia pendidikan dan masa belajar remaja terlalu eksklusif serta tidak harus dibazirkan dengan aktiviti komuniti. Mereka lebih rela anak remaja mereka menjadi ulat buku dan antisosial asalkan anak mereka berjaya dalam bidang akademik. Maka, tidak hairanlah jika kita lihat penglibatan remaja dalam aktiviti komuniti kian merosot. Jadi, tekanan dan bebanan yang pikul oleh remaja dalam bidang akademik mengekang mereka daripada melibatkan diri dalam aktiviti komuniti.

          Seterusnya, perkembangan teknologi yang moden turut menghalang penglibatan remaja dalam aktiviti kemasyarakatan. Dewasa ini, dunia kita menghadapi ledakan teknologi maklumat yang kian canggih sehingga mempengaruhi sikap dan minda remaja. Hal ini dapat kita lihat melalui kemajuan teknologi maklumat, media massa dan hiburan yang bergerak pantas bagai belut diketil ekor. Dengan pengaruh pemodenan teknologi dalam kalangan remaja, mereka menganggap bahawa aktiviti kemasyarakatan sebagai tidak relevan dan tidak menarik lagi. Mereka lebih suka bermain permainan menarik di internet dan menonton rancangan yang menarik di kaca televisyen. Lebih mengasyikkan mereka lagi apabila terdapat pelbagai laman sosial yang berfungsi untuk berinteraksi secara maya dengan kawan-kawan mereka. Hal ini menyebabkan remaja tidak berminat untuk melibatkan diri dalam aktiviti komuniti. Jelaslah bahawa pengaruh pemodenan dan teknologi juga merupakan antara punca remaja kurang melibatkan diri dalam aktiviti komuniti.

          Umum mengetahui bahawa kesan daripada penularan budaya kuning turut menjadi dalang remaja semakin menjauhkan diri daripada menyertai aktiviti komuniti. Remaja kita pada hari ini lebih gemar berpelesiran di pusat beli belah, bergaul bebas antara lelaki dengan perempuan, ketagihan hiburan, melakukan seks bebas dan merempit. Remaja kita pada hari semakin hilang maruah sebagai akibat daripada pengaruh budaya kuning. Kesan-kesan ini menunjukkan betapa runtuhnya nilai-nilai murni dalam kalangan remaja hari ini. Golongan remaja lebih suka berbual dalam kelompok mereka dan menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Hal ini kerana remaja tidak terdidik dengan kehidupan bermasyarakat yang mementingkan sikap saling membantu dan bekerjasama bagai aur dengan tebing. Tegasnya, remaja tidak melibatkan diri dalam aktiviti komuniti kerana mereka obses dengan pengaruh budaya kuning.

          Sebagai konklusinya, ternyatalah bahawa segala bentuk tingkah laku remaja amat berkait rapat dengan acuan kehidupan semasa mereka kerana peribahasa Melayu pernah menyebut bahawa arus di muara dibentuk oleh aur di hulu. Keengganan mereka melakukan aktiviti yang berfaedah seperti bergotong-royong berkait rapat dengan asuhan yang diterima oleh mereka dan faktor di sekeliling mereka. Kini, tibalah masanya untuk semua pihak menyedari bahawa segala yang tersasar di hujung jalan perlu balik ke pangkal jalan. Kegiatan komuniti seperti bergotong-royong hendaklah disuburkan semula dalam kalangan remaja agar mereka dapat merasai roh dan nilai insaniahnnya secara tersirat. Oleh itu, semua pihak perlu bersinergi dan memainkan peranan masing-masing untuk mengatasi kemelut ini. Semoga rakyat Malaysia bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk merealisasikan konsep gagasan Satu Malaysia dan diharapkan semangat kemasyarakatan akan terus mekar dalam sanubari setiap rakyat Malaysia.