Peperiksaan
Pertengahan Tahun 2014 - Karangan Pilihan SPM 1
CARA-CARA SESEORANG PELAJAR MENCAPAI KEJAYAAN
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
(TEMA) Setiap manusia yang hidup di muka bumi ini mengimpikan
kejayaan dalam apa-apa jua bidang yang diceburi. Kejayaan yang dicapai akan
membawa kegembiraan dan kebahagiaan dalam kehidupan kita. (ISU) Kejayaan
Nik Nur Madihah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2008 yang
berjaya memperoleh 20A walaupun beliau merupakan seorang anak tukang sapu dan
nelayan bukanlah satu perkara yang mustahil. Untuk mendapatkan kejayaan, usaha
yang gigih amat diperlukan kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang
pipih tidak datang melayang. (ARAHAN) Persoalannya, apakah cara-cara yang
sewajarnya dipraktikkan oleh seorang pelajar untuk menjadi pelajar yang berjaya
dalam pelbagai lapangan?
(ISI 1) Cara
perdana untuk menjadi pelajar yang cemerlang dalam pelajaran ialah seseorang
pelajar itu perlulah belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam bidang
akademik. (HURAIAN - MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian kerana kejayaan dalam
bidang kurikulum atau akademik merupakan satu platform yang signifikan
untuk menjejakkan kaki di menara gading dan sekali gus merealisasikan cita-cita
kita. (CONTOH – BAGAIMANA + UNGKAPAN) Oleh itu, kita perlulah mengulang kaji
pelajaran dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti jemu kerana usaha
itu tangga kejayaan. Sesungguhnya, kejayaan itu tidak akan datang
kepada manusia yang leka. (HURAIAN CONTOH – KESAN) Dengan ini, pelajar yang
cemerlang dalam bidang kurikulum akan dapat dilahirkan dan masa depannya akan
lebih cerah. (PENEGAS) Tegasnya, kejayaan
seseorang pelajar dapat dicapai melalui kesungguhannya dalam bidang kurikulum.
(ISI 2) Usaha
yang seterusnya untuk mencapai kejayaan bagi seseorang pelajar adalah dengan
melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum. (HURAIAN – MENGAPA)
Aktiviti kokurikum dapat mendedahkan pelbagai kemahiran kepada
seseorang pelajar dan membentuk disiplin para pelajar. (CONTOH – BAGAIMANA)
Sebagai contohnya, badan beruniform pengakap sering mengadakan aktiviti berkawad
dan perkhemahan untuk meningkatkan kemahiran sosial dan tahap disiplin mereka.
(HURAIAN CONTOH – KESAN + UNGKAPAN) Ekoran daripada aktiviti-aktiviti seumpama
ini, pelajar akan menjadi lebih berdisiplin dan dapat bekerjasama antara satu
sama lain bagai aur dengan tebing untuk memburu kejayaan. (PENEGAS)
Pendek kata, penglibatan aktif para pelajar dalam bidang kokurikulum dapat
menjana kejayaan mereka di samping melahirkan insan yang holistik.
(ISI 3) Jika
kita lihat dari perspektif yang berbeza, pelajar yang ingin kejayaan perlulah
sentiasa menjaga sahsiah diri dan disiplin diri. (HURAIAN – MENGAPA)
Pelajar yang bertingkah laku positif akan sentiasa memastikan dirinya
tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang negatif yang akhirnya akan menjejaskan
pelajarannya. (CONTOH – BAGAIMANA) Oleh itu, mereka akan sentiasa berpegang
teguh dengan ajaran agama dan tidak akan sekali-kali melanggar peraturan
sekolah seperti ponteng sekolah dan terlibat dalam kes buli. (HURAIAN CONTOH –
KESAN) Rentetan daripada itu, maruah pelajar tidak akan tercemar dan akan
sentiasa dihormati oleh orang lain. (UNGKAPAN MENARIK) Bukan itu sahaja,
usahanya untuk memburu kejayaan juga tidak akan menjadi angan-angan Mat
Jenin. (PENEGAS) Izharlah bahawa pelajar yang sentiasa menitikberatkan
penjagaan maruah dan disiplin diri akan beroleh kejayaan yang diimpikan.
(PENUTUP -
KESIMPULAN ISI-ISI) Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat beberapa cara
yang perlu dipraktikkan oleh seseorang pelajar yang ingin mengecapi kecemerlangan.
Ingatlah kata orang tua-tua bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan
dapat sagunya kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
(CADANGAN) Oleh itu, setiap pelajar yang menginginkan kejayaan perlulah
mengatur langkah yang efektif dan pragmatik dan tidak mengamalkan sikap
bertangguh kerana bertangguh itu pencuri masa. Ibu bapa juga perlulah
sentiasa menjadi tulang belakang kepada kejayaan anak-anak dengan
memberikan sokongan dan dorongan kepada anak-anak mereka untuk berjaya dalam
bidang yang diceburi. (HARAPAN) Semoga kejayaan para pelajar di negara kita ini
dapat melahirkan generasi muda berminda kelas pertama yang cemerlang, gemilang
dan terbilang untuk bersaing dengan negara lain di pentas global.
Peperiksaan
Pertengahan Tahun 2014 - Karangan Pilihan SPM 2
PERANAN IBU BAPA MEMUPUK MINAT MEMBACA DALAM DIRI ANAK-ANAK
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Ayat pertama
dalam kitab Al - Quran ialah Iqra, bermaksud “Bacalah Kamu”. Amalan membaca
merupakan satu amalan yang mulia. Membaca amat penting dalam membentuk
masyarakat berilmu. Setiap anggota masyarakat harus menjadikan membaca sebagai
satu amalan. Dalam hal ini, ibu bapa perlu berusaha untuk mewujudkan keluarga
berilmu dengan menyemai minat membaca dalam kalangan anak-anak.
Salah satu
usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa dalam memupuk minat membaca dalam diri
anak-anak adalah dengan membawa anak-anak ke perpustakaan. Amalan ke
perpustakaan akan menanam perasaan cinta dan sayang akan buku. Sebagai contoh,
ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam pada setiap hujung
minggu atau semasa cuti sekolah. Di sini, anak-anak boleh memilih pelbagai buku
yang digemari. Lantas, anak-anak akan gemar membaca buku seumur hidup.
Selain itu, ibu
bapa boleh mewujudkan perpustakaan mini di rumah. Perpustakaan ini dapat
dijadikan tempat menyimpan buku dan majalah. Malahan, boleh menjadi tempat
anak-anak membaca dan belajar. Perpustakaan mini di rumah mestilah dilengkapi
dengan buku-buku yang bersesuaian dapat menarik minat anak-anak untuk membaca.
Sebagai contoh, majalah, buku cerita dan surat khabar. Ruang perpustakaan ini
juga mestilah dalam keadaan selesa. Lantaran itu, ibu bapalah memainkan peranan
yang sangat penting dalam mendidik anak-anak mereka agar gemar membaca buku
ketika berada di rumah.
Di samping itu
juga, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh teladan yang baik untuk dicontohi
oleh anak-anak mereka.Tidak dapat dinafikan, contoh teladan yang baik daripada
ibu bapa mempengaruhi jiwa dan minda anak-anak. Sebagai contoh, sikap gemar
membaca surat khabar, majalah, buku dan sebagainya patutlah diamalkan oleh ibu
bapa dalam mengisi masa lapang. Lama-kelamaan, tabiat ini akan menjadi ikutan
anak-anak. Bak kata peribahasa Melayu bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Oleh
itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu menunjukkan contoh terbaik untuk dicontohi
anak-anak.
Tambahan pula,
ibu bapa boleh membawa anak-anak ke pameran buku. Sehubungan dengan hal itu,
ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mengunjungi kedai buku ketika pergi ke
pusat beli-belah. Dengan mengunjungi tempat-tempat tersebut, minat mereka untuk
membaca akan dapat ditingkatkan, Di samping itu, mereka akan dapat mempelajari
cara memilih bahan-bahan bacaan yang sesuai. Bahan bacaan yang dijual adalah
berkualiti. Harganya pula adalah berpatutan. Natijahnya, ibu bapa yang membawa
anak-anak ke pameran buku atau kedai buku sebenarnya membawa kepada mewujudkan
budaya suka membaca dalam kalangan ahli keluarganya.
Seterusnya, ibu
bapa juga boleh menghadiahkan buku kepada anak-anak. Ibu bapa perlu memberikan
hadiah atau ganjaran kepada anak-anak apabila anak-anak berjaya dalam
peperiksaan dan sempena hari kelahiran. Anak-anak akan berasa gembira kerana
kejayaannya dihargai oleh keluarga mereka. Hadiah berbentuk buku lebih sesuai
untuk anak-anak. Ibu bapa boleh membelikan buku berbentuk pelajaran, novel
ataupun komik mengikut kesesuaian umur. Amalan ini sepatutnya diterapkan sejak
kecil lagi dalam kalangan anak-anak. Bersesuaian dengan peribahasa Melayu,
melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Kesimpulannya,
terdapat beberapa peranan ibu bapa dalam usaha untuk memupuk minat membaca
dalam kalangan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlulah memainkan peranan sebagai
agen perubahan dalam kalangan anak-anak mereka. Kata peribahasa bagaimana acuan
begitulah kuihnya. Sekiranya ibu bapa dapat memainkan peranan dan tanggungjawab
mereka dalam menyemai budaya membaca dalam kalangan anak-anak mereka, sudah
pasti dapat kita melahirkan masyarakat yang berilmu tinggi yang dapat berdiri
sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.
Maklumlah bangsa membaca merupakan bangsa yang berjaya.
Peperiksaan
Pertengahan Tahun 2014 - Karangan Pilihan SPM 3
PERANAN IBU BAPA DALAM MELINDUNGI ANAK-ANAKNYA DARIPADA ANCAMAN DAN BAHAYA
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Keluarga
dapat didefinisikan sebagai satu kelompok individu yang terdiri daripada ibu,
bapa dan anak. Institusi kekeluargaan yang cemerlang dan bahagia perlu dipelopori
oleh ibu dan bapa dengan baik. Keluarga merupakan tempat perlindungan untuk
ahli-ahlinya berlindung daripada bahaya dan pengaruh persekitaran. Namun
begitu, mutakhir ini, kes-kes penderaan kanak-kanak dan kes buli pelajar
sekolah sering terpampang di dada-dada akhbar seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hal
ini amat membimbangkan kerana individu yang tidak bersalah menjadi mangsa
kerakusan manusia yang alpa dengan arus globalisasi. Oleh itu, keluarga
perlu memainkan peranan dalam melindungi ahli-ahlinya dan tidak boleh hanya berpeluk
tubuh sahaja.
Bapa merupakan ketua keluarga dan memikul tanggungjawab yang besar dalam memastikan keselamatan anak-anak dan isteri. Bapa berperanan dalam mengajar anak-anak dalam mempertahan diri daripada bahaya dan perlu tegas dalam mendidik anak-anak. Sesungguhnya, anak-anak perlu dididik dari kecil seperti kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Namun begitu, ketegasan bapa haruslah berpada-pada dan tidak sampai ke tahap memukul anak-anak. Bapa juga perlu memastikan keselamatan anak-anak dan isteri semasa di luar kawasan rumah. Bapa tidak boleh membiarkan anak-anak pulang ke rumah dengan berjalan kaki bagi mengelakkan kes culik. Bapa harus sentiasa melengkapkan anak-anak dengan alat pertahanan diri bak kata pujangga, sediakan payung sebelum hujan.
Ibu juga perlu memainkan peranan dalam memastikan keselamatan anak-anak dan tidak boleh hanya bersikap lepas tangan. Ibu bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak tentang ilmu agama dan ilmu fekah. Selain itu, ibu dan bapa juga harus bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi menjamin keselamatan anank-anak. Ibu bapa perlulah meluangkan masa secukupnya dengan anak-anak dan mencurahkan kasih sayang secukupnya kepada mereka. Hal ini adalah untuk memastikan anak-anak tidak menghabiskan masa mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti merokok dan melepak kerana terpengaruh dengan rakan sebaya. Kasih sayang yang mencukupi juga adalah perlu agar anak-anak tidak mencari alternatif lain bagi mendapatkan kasih sayang sehingga memudaratkan diri sendiri.
Di samping itu, ibu bapa juga perlu
sentiasa memantau aktiviti anak-anak bagi menjamin keselamatn mereka. Ibu bapa
hendaklah memastikan bahawa anak-anak mereka tidak berkawan dengan orang yang
berakhlak keji bagi mengelakkan pengaruh yang negatif. Ibu bapa perlu tegas
dalam situasi ini agar tidak menyesal di kemudian hari seperti kata pepatah, sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Selain itu,ibu bapa juga
perlu memantau keselamatan anak-anak di luar rumah agar tidak menjadi mangsa
buli di luar rumah. Pendekatan yang berhemah oleh ibu bapa juga adalah perlu
seperti ibu bapa berkongsi masalah yang dihadapi oleh anak-anak agar anak-anak
tidak tertekan dan mengelakkan anak-anak daripada melakukan perkara yang
membahayakan diri.
Selain itu,ibu bapa juga perlu
memberikan teladan yang baik kepada anak-anak kerana bagaimana acuan,
begitulah kuihnya. Oleh itu,ibu bapa perlu membesarkan anak-anak dengan
baik dan tidak bertengkar di hadapan anak-anak bagi meyakinkan anak-anak bahawa
keluarga mereka merupakan tempat perlindungan yang selamat. Bapa juga tidak
boleh memukul isteri dan anak-anak dengan sewenang-wenangnya disebabkan oleh
sikapnya yang panas baran. Sebaliknya, bapa perlulah sentiasa melindungi
ahli keluarga daripada bahaya. Ibu bapa juga tidak boleh bersikap alpa sehingga
tidak mengendahkan keselamatan anak-anak. Anak-anak merupakan insan yang lemah
dan perlu dilindungi. Justeru itu, ibu bapa tidak boleh membiarkan anak-anak
tinggal bersendirian di rumah dan perlu ditemani oleh orang dewasa apabila
mereka berada di luar kawasan rumah. Janganlah ibu bapa menyesal apabila
berlaku sesuatu yang buruk terhadap
anak-anak seperti sudah terhantuk, baru terngadah. Oleh itu,ibu bapa
haruslah prihatin terhadap keselamatan anak-anak walau di mana jua mereka
berada.
Kesimpulannya, ibu bapa memikul tanggungjawab yang sama dalam memastikan keselamatan anak-anak. Namun begitu, tanpa kerjasama yang menyeluruh, usaha untuk menjamin keselamatan mereka akan menjadi sia-sia seperti mencurahkan air ke daun keladi. Justeru itu, setiap ahli keluarga perlu bekerjasama dan mengamalkan sikap susah sama dipikul, ringan sama dijinjing bagi mewujudkan institusi kekeluargaan yang selamat. Sesunggguhnya, keluarga yang selamat dapat mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan seterusnya menjamin keamanan negara. Keselamatan seseorang individu dapat membantu dalam kestabilan fizikal dan mental Oleh itu, anak-anak perlu diberikan pendidikan yang sempurna seiring dengan keselamatan bagi melahirkan individu yang cemerlang bagi memimpin negara bak kata pujangga, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Peperiksaan
Pertengahan Tahun 2014 - Karangan Pilihan SPM 4
PERANAN IBU BAPA DALAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Dalam
era globalisasi tanpa limitasi ini, negara Malaysia kini sedang pesat membangun
dari sehari ke sehari. Persoalannya, apakah faktor yang mendorong pembangunan
ini? Sebenarnya, pembangunan negara sejajar dengan pembangunan modal insan
kelas pertama yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi. Modal insan ini
lahir daripada generasi muda kita yang berwawasan tinggi. Generasi yang
berwawasan memiliki sikap-sikap positif seperti dinamik, proaktif, beriltizam
dan berdaya saing. Tetapi apakah pula rahsia pembentukan generasi berwawasan
yang mendukung pembangunan modal insan di negara ini? Dalam hal ini, keluarga
memainkan peranan dan tanggungjawab yang sangat penting untuk dipikul demi
merealisasikan hasrat negara untuk melahirkan lebih ramai modal insan yang
cemerlang dalam pelbagai aspek.
Generasi hari ini merupakan pemimpin
masa hadapan. Mereka mesti menyediakan diri dengan ciri-ciri kepimpinan dan
memantapkan ilmu serta kemahiran. Di sini jugalah keluarga khususnya ibu bapa
memainkan peranan untuk memimpin tangan dan membantu anak mereka dalam
mengharungi kehidupan dengan cara yang efektif sekali. Hal ini demikian kerana
keluarga merupakan pihak yang paling dekat dengan anak-anak. Ibu bapa
seharusnya menunjukkan teladan yang baik terhadap anak-anak kerana segala
perbuatan dan tingkah laku ibu bapa pasti akan diikut oleh anak-anak mereka.
‘Di mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi’ merupakan peribahasa yang relevan
dengan isu ini. Sudah menjadi lumrah hidup manusia, anak-anak sememangnya akan
memperhatikan dan meniru gerak tari ibu bapanya. Jika sumbang gerak tari ibu
bapanya maka sumbanglah juga gerak tari mereka. Justeru, ibu bapa perlu
bersikap optimistik tidak kira dalam apa-apa keadaan demi memastikan anak-anak
sentiasa berada di landasan yang betul dan seterusnya melahirkan anak yang
sentiasa bersikap positif.
Selain itu, ibu bapa turut memainkan
peranan untuk mewujudkan suasana yang harmoni dalam keluarga. Hal ini demikian
kerana suasana yang harmoni dapat mengelakkan anak-anak daripada terlibat
dengan gejala negatif. Apabila suasana ini dapat diwujudkan ikatan silaturahim
antara keluarga akan lebih utuh. Hal ini seterusnya dapat menggelakkan gangguan
emosi dalam kalangan anak-anak dan seterusnya membendung anak-anak daripada
tergelincir dari landasan yang benar. Setiap hari dalam dada akhbar kita dapat
melihat bahawasanya remaja kini kebanyakannya terlibat dengan masalah sosial
yang menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Justeru, ibu bapa dan
keluarga harus membimbing dan memantau anak-anak supaya tidak terjebak ke dalam
sesawang negatif dan menghancurkan usaha untuk membina modal insan.Peribahasa
Melayu ada mengatakan, ‘kepapaan menajamkan akal manusia, kekayaan menumpulkan
akal manusia’. Peribahasa ini memberi maksud yang sangat jelas bahawa ibu bapa
tidak harus melimpahkan kemewahan terhadap anak-anak kerana kemewahan dan
kekayaan akan menyebabkan anak-anak lalai dalam menjalani kehidupan. Sebaliknya
anak-anak lebih suka berfoya-foya dan mengabaikan tanggungjawab utama mereka
iaitu menuntut dan menimba ilmu. Sememangnya, ibu bapa harus bijak menguruskan
kewangan anak-anak mereka dan mendidik mereka bagi mengelakkan mereka tergolong
dalam golongan yang lalai dan rugi.
Di
samping itu, ibu bapa harus mengikuti perkembangan pembelajaran anak-anak dan
sentiasa memberi sokongan kepada mereka. Dalam hidup ini, setiap manusia yang
memperoleh kejayaan pasti pernah menemui kegagalan pada suatu ketika dahulu.
Dalam hal ini, jika anak-anak gagal dalam sesuatu perkara misalnya peperiksaan,
ibu bapa tidak seharusnya menghukum mereka sebaliknya memberi dorongan dan
menasihati mereka. ‘Pengalaman ialah ibu segala kejayaan’ merupakan peribahasa
Jepun yang sangat sesuai dengan isu ini. Sebaik-baiknya kegagalan yang pernah
dihadapi itu dijadikan pengalaman dan sejarah yang tidak boleh diulang kembali.
Jelaslah di sini bahawa, dorongan dan sokongan ibu bapa dapat mendidik
anak-anak untuk mengawal emosi mereka dan seterusnya membentuk modal insan yang
cemerlang dari aspek emosinya.Seterusnya, didikan agama merupakan aspek yang
paling penting bagi membentuk generasi yang bersih dari segi rohani dan
jasmani.
Dalam
hal ini juga ibu bapa ialah pihak yang bertanggungjawab untuk menerapkan
nilai-nilai agama dalam diri anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana dengan
pengetahuan agama yang menebal dalam diri, anak-anak dapat membezakan perkara
yang benar dan batil. Anak-anak juga lebih terdorong untuk melakukan kebaikan
dan secara tidak langsung dapat menyuntik semangat mereka untuk berusaha dengan
gigih demi mencapai matlamat. Perkara ini juga dapat membina disiplin diri
anak-anak dan melicinkan usaha untuk menambah bilangan modal insan dalam negara
kita.
Natijahnya, ibu bapa dan keluarga memainkan
peranan yang begitu penting dalam pembentukan modal insan dalam kalangan
anak-anak mereka. Bahawasanya, gabungan nilai-nilai murni, ilmu pengetahuan dan
kemahiran serta disiplin diri yang tinggi boleh melahirkan generasi berwawasan
yang menjadi akar kepada pembangunan modal insan kelas pertama yang cemerlang
dari aspek fizikal, mental dan emosi. Dalam hal ini, ruyung perlulah dipecahkan
untuk menikmati sagunya. Oleh itu, ibu bapa tidak boleh berputus asa berusaha
untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna dalam masyarakat, bangsa
dan agama serta membatu merealisasikan satu agenda penting negara iaitu
melahirkan generasi berwawasan yang menjadi penggerak kemajuan negara.
Peperiksaan
Pertengahan Tahun 2014 - Karangan Pilihan SPM 5
PERANAN REMAJA DALAM PEMBANGUNAN NEGARA
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Lebih separuh abad kita menghela
nafas kemerdekaan, namun remaja yang merupakan bakal tunjang negara
masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti
remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras
dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara sarjana, “Jika
ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.”
Presiden Soekarno pernah mengungkap, “Berikan saya 10 orang
belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.” Ternyatalah di sini
bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan
bangsa. Oleh itu, setiap remaja perlu memainkan peranan mereka dengan penuh
tanggungjawab untuk merencanakan pembangunan negara.
Peranan signifikan
remaja ialah mereka perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai
kecemerlangan dari aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu
elemen yang maslahat untuk melahirkan remaja yang berkualiti demi
kepentingan negara. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjana
kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif
menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala
pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana,
seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya
dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai
kecemerlangan akademik dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung.
Remaja juga tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu
terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah
peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tegasnya, tanpa
remaja yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut.
Walau bagaimanapun, kecemerlangan
akademik semata-mata tidak dapat menjamin pembangunan negara jika remaja kita
tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang ingin
membangunkan negaea perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi
segala kekangan. Pada alaf baharu yang penuh dengan kompetitif, remaja
kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal
istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah
dengan remaja di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental,
remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan
persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai
angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan
lain-lain lagi kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku buruk
padahnya. Remaja kita harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset
yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna.
Hal ini sangat bertepatan dengan slogan rakyat sihat, negara maju.
Jadi, remaja yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat
melaksanakan pembangunan negara.
Selain itu, remaja juga mestilah
memiliki etika atau personaliti yang luhur. Remaja kita harus
disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, ibu bapa dan pihak sekolah
memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja menjadi modal insan kelas
pertama yang berakhlak mulia dan berjati diri unggul. Selain menitikberatkan
ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan
kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi
rumah kebajikan orang-orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk
membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela.
Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan
sosial. Dengan kata lain, remaja berkepemimpinan harus bersahsiah mulia,
berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan negara
yang maju sama ada secara luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti.
Seperkara lagi, remaja juga perlu kreatif
dan inovatif untuk memacu pembangunan negara yang gemilang.
Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif
dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan yang
terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang
gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang
manis. Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani
berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu
bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika
anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat
Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya.
Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan,
sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi
remaja. Pendek kata, pembangunan negara akan tercapai jika negara kita
mempunyai barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif.
Akhir sekali, remaja juga dapat
memainkan peranan mereka untuk membangunkan negara dengan memiliki sikap
keterbukaan. Hal ini kerana apabila golongan ini mempunyai sifat sedemikian,
mereka lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain. Dalam nada
yang serupa, remaja seumpama ini dapat memberi kesan kepada negara kita. Mereka
dapat menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Mereka akan
menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau integrasi
nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Mereka sentiasa mengamalkan
sikap toleransi dan bertolak ansur untuk mencapai misi dan visi negara iaitu
semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni, satu bangsa satu
bahasa dan satu negara. Maka, sifat keterbukaan remaja sudah pasti dapat
memudahkan mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negaranya dengan
penuh komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya.
Intihanya, semua remaja mempunyai tanggungjawab dan obligasi
masing-masing untuk menjana pembangunan negara kerana pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui
kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial.
Hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara.
Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak
mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan
tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, remaja kita perlu terjaga daripada lena
dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat
menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan
terbilang. Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di pentas
antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero
dunia.
Peperiksaan
Pertengahan Tahun 2014 - Karangan Pilihan SPM 6
KEBAIKAN 1MURID 1SUKAN
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Dasar 1 Murid 1
Sukan mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan
di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang
berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani. Dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif
dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini selaras
dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat
dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan
untuk Semua dan Sukan untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan untuk
Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan
semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan
berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat
Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh
pihak sekolah. Oleh halyang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan
adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang
sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat Yang
Amat Berhormat Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Terdapat
pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi
kepentingan bersama.
Dasar 1 Murid 1
Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari
kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan
negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan
berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung
dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan
murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan sekolah ke
arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis
sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak
mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam
sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S diwajibkan untuk Tahun 4
hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6
di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid prasekolah hingga Tahun 3
digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini
dikatakan demikian kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang
berguna kepada bangsa dan negara melalui sukan. Tegasnya, modal insan yang
syumul dan holistik dapat dilahirkan melalui dasar ini.
Selain itu,
Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid
sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan
cergas kerana badan sihat otak cerdas. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan
kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri semula jadi murid dalam
aktiviti fizikal. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan sedar semakin
banyak rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu
sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang
menghidap masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario
ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan menghidap
pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011,
dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak mengidap obesiti dalam
kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu,
tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada
masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas
sepanjang masa. Izharlah bahawa amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk melalui
dasar ini.
Jika kita
singkap dari perspektif yang berbeza, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya untuk
memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat
antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara lain di
dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat
majmuk selama 55 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak
harus alpa akan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang
berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu adalah melalui sukan.
Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu
aktiviti sukan. Semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa
mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan dan
bergaul sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Dengan ini mereka akan
memahami budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1
Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat
Malaysia.
Seperkara lagi,
Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik
dengan keperluan fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses kepada semua murid
mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang
kurang atau tidak aktif. Murid-murid pada zaman ini lebih cenderung menjadi
ulat buku kerana terlalu mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik.
Mereka beranggapan bahawa aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka sahaja.
Persepsi seperti itu perlu dikikis dari kamus kehidupan mereka kerana mereka
perlu memperuntukkan masa untuk melakukan kecergasan fizikal seperti bermain
bola sepak, berenang, menyertai acara balapan dan sebagainya demi kebaikan
mereka. Kata orang, otak yang sihat datang dari badan yang cergas. Dengan
memiliki badan yang sihat, murid-murid dapat fokus pada pelajaran mereka.
Mereka dapat menjana idea yang bernas dan mampu berfikir secara kreatif dan
kritis. Secara implisitnya, murid akan beroleh kejayaan dalam bidang akademik
mereka. Pendek kata, murid dapat mencapai keseimbangan antara kejayaan akademik
dengan kejayaan sukan melalui Dasar 1 Murid 1 Sukan yang diperkenalkan ini.
Pada masa yang
sama, Dasar 1 Murid 1 Sukan juga berupaya untuk mewujudkan landasan ke arah
kecemerlangan sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid yang
berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Murid boleh
menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan
oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak
sekolah. Pada masa ini, sukan merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli
sukan yang berjaya akan dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung dan dipuja
serta mampu meraih pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu
menyumbang kepada pendapatan negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan
imej negara di persada antarabangsa. Kejayaan beberapa orang ahli sukan negara
kita seperti Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam
bidang sukan seharusnya diteruskan.Sesungguhnya, usaha untuk memartabatkan
arena sukan negara ke persada antarabangsa dengan kelahiran jaguh sukan negara
yang digeruni dapat dicapai menerusi dasar ini.
Bulan
semakin terang, bayang kian jelas bahawa Dasar 1 Murid 1 Sukan banyak
membawa kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua
pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua
aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1
Murid 1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1
Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan
akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap sambalewa atau sekadar
melepaskan batuk di tangga. Namun begitu, sokongan daripada ibu bapa juga
penting untuk menjayakan dasar ini kerana bertepuk sebelah tangan takkan
berbunyi. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang
cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti dan
bukannya angan-angan Mat Jenin. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepohon
terus menghijau dan biarlah sukan di Malaysia terus maju untuk bersaing di
peringkat global agar Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
dengan negara-negara lain di persada antarabangsa.
YANG MAHAKUASA AKAN SENTIASA BERSAMA ANDA
CATATAN:
Tajuk-tajuk karangan pilihan dan karangan contoh yang diberikan di atas hanya sebagai rujukan. BUKAN SOALAN RAMALAN. Peperiksaan Pertengahan Tahun merupakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Justeru, pelajar diminta kaji semua tajuk lain yang telah dibincang dalam sidang tutorial. Jadikan buku "Koleksi Eksklusif Karangan Pilihan BM SPM Fokus Peperiksaan Pertengahan Tahun 2014" yang telah diedarkan dalam sidang tutorial sebagai pilihan utama anda.
YANG MAHAKUASA AKAN SENTIASA BERSAMA ANDA
Dengan Iringan Doa,
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
No comments:
Post a Comment