16 May 2014

FOKUS BM PT3: Peperiksaan Pertengahan Tahun 2014



Peperiksaan Pertengahan Tahun 2014 - Karangan Pilihan PT3 (1)
LANGKAH-LANGKAH MEMPOPULARKAN 
PERMAINAN TRADISIONAL
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Apakah definisi permainan tradisional? Sebenarnya, menurut Kamus Dewan, permainan tradisional merujuk permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat itu untuk satu tempoh yang tertentu seperti dalam kes masyarakat kita permainan gasing, wau dan dam menjadi permainan tradisional. Masyarakat kita masih lagi memainkan permainan ini tetapi semakin lama semakin dipinggirkan terutama oleh masyarakat muda di negara ini yang terlalu mengutamakan permainan moden. Peminggiran permainan tradisional ini turut diketengahkan oleh media massa yang sering menyiarkan rungutan penggiat budaya yang menganggap masyarakat belia di negara ini sudah tidak lagi memandang tinggi permainan budaya sendiri. Oleh itu, ada banyak tindakan yang boleh dilaksanakan untuk memastikan permainan ini terus wujud dalam minda masyarakat kita.



Langkah awal yang boleh dilakukan dalam menangani isu ini ialah kerajaan menyediakan lebih banyak tempat-tempat atau gelanggang untuk memudahkan rakyat memainkan permainan ini. Kewujudan gelanggang ini memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menikmati permainan ini. Kekerapan bermain permainan ini berupaya untuk mewujudkan satu kesedaran yang hakiki terhadap permainan budaya mereka ini. Oleh itu, pembinaan gelanggang yang cukup oleh pihak berwenang mampu memberi nafas baharu kepada keseinambungan permainan warisan budaya ini.

Berkaitan dengan pembinaan gelanggang, pihak kerajaan boleh memajukan permainan ini dengan turut menyediakan jurulatih yang terlatih di setiap gelanggang yang telah disediakan itu. Kewujudan jurulatih ini memastikan masyarakat menerima latihan yang tepat tentang sesuatu permainan itu dan berupaya mengajarkan ilmu itu kepada anak-anak mereka pula. Langkah ini memastikan berlakunya keseinambungan dalam memainkan permainan yang semakin dilupakan lantaran tiadanya tunjuk ajar yang tepat tentang permainan tersebut. Jelaslah, permainan warisan budaya ini akan terus dimainkan jika ada jurulatih yang bertauliah untuk mengajar masyarakat kita.

Selain itu, pihak sekolah boleh menjadikan permainan tradisional ni sebagai salah satu bentuk aktiviti kokurikulum yang disertai oleh pelajar. Tindakan ini memastikan pelajar kita terdedah dengan jenis-jenis permainan tradisiona sejak muda lagi dan memahami kepentingan mengekalkan permainan ini. Kesedaran yang dipupuk sejak awal in mampu memberi impak yang mendalam dalam jiwa seseorang pelajar sehinggalah mereka memasuki alam dewasa. Jadi, pihak sekolah wajib menjadikan permainan ini sebagai satu aktiviti sekolah yang penting untuk disertai oleh pelajar.

Malah, permainan tradisional ini boleh dikekalkan jika pihak berkuasa mengadakan promosi yang berkesan tentangnya menerusi media massa. Penayangan iklan yang bersesuaian seperti menjelaskan aspek kepentingan permainan ini boleh menimbulkan kesedaran dalam diri masyarakat. Pemahaman ini kemudiannya akan dijelmakan dalam bentuk masyarakat cuba mengekalkan dan memainkan permainan ini sekerap mungkin dalam hidup mereka. Sesungguhnya, promosi yang sesuai dan kena kepada sasaran memberi satu dimensi baharu pada permainan ini untuk terus hidup dan berkembang dalam masyarakat moden kita.
 

Konklusinya, permainan tradisional boleh dikekalkan jika semua langkah-langkah yang dijelaskan di atas itu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Masalah yang timbul ialah pihak berkuasa tidak mempunyai keinginan politik yang bersungguh-sungguh untuk menjayakan projek sebegini. Kelesuan minat pihak berkuasa dalam aspek ini bakal menyaksikan permainan tradisional ini semakin dilupakan. Peribahan 'tepuk dada tanya selera' sesuai menjadi renungan kita semua kerana jika kita masih leka mungkin permainan ini akan terus terkubur.

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2014 - Karangan Pilihan PT3 (2)
LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK 
AMALAN BERJIMAT CERMAT
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Berjimat cermat merupakan amalan yang baik dan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Sikap berjimat cermat amat digalakkan oleh kerajaan. Justeru, tidak hairanlah isu ini sering dibincangkan di surat khabar dan televisyen. Pada pendapat saya, sikap berjimat cermat dapat mengelakkan sikap boros yang boleh mendatangkan kerugian kepada diri sendiri. Beberapa cara perlu dilakukan bagi memupuk amalan berjimat cermat di kalangan rakyat.



Amalan berjimat cermat ini boleh dipupuk melalui peranan ibu bapa. Hal ini kerana anak-anak banyak menghabiskan masa di rumah bersama ibu bapa. Ibu bapa yang mengamalkan sikap bersederhana dan berjimat cermat akan menjadi contoh terbaik kepada anak-anak. Justeru, anak-anak pastinya akan mencontohi sikap jimat cermat ibu bapa yang mereka lihat setiap hari.

Masyarakat juga boleh berperanan memupuk amalan berjimat cermat. Sesungguhnya sikap masyarakat yang berjimat cermat akan mempengaruhi sikap generasi muda dalam masyarakat tersebut. Sebagai contoh, masyarakat boleh mengamalkan sikap berjimat cermat dengan menanam sayur-sayuran di sekeliling rumah untuk dijadikan sebagai makanan harian. Pada masa yang sama, masyarakat juga perlu manasihati dan menegur sikap golongan muda yang suka membazirkan masa lapang mereka dengan aktiviti kurang berfaedah seperti melepak.

Media massa juga berperanan dalam memupuk amalan berjimat cermat. Hal ini kerana media massa seperti surat khabar dan televisyen mudah untuk mempengaruhi minda masyarakat dalam sesuatu perkara termasuklah perkara yang berkaitan sikap berjimat cermat. Media massa boleh menjalankan kempen-kempen kesedaran tentang kebaikan amalan berjimat cermat. Jika media massa dapat memainkan peranannya dengan baik, pasti masyarakat akan menjadikan sikap berjimat cermat sebagai budaya hidup.

Pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan dalam memupuk amalan berjimat cermat di kalangan rakyat. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai kuasa dan sumber kewangan untuk melaksanakan Kempen Berjimat Cermat. Contohnya pihak kerajaan boleh menganjurkan Karnival Membeli-belah sepanjang tahun, yang menawarkan potongan harga sehingga 70%. Pihak kerajaan boleh juga mengingatkan pengguna supaya bijak berbelanja dan mengutamakan barangan buatan Malaysia.

Selain itu, pihak sekolah juga boleh memainkan peranan dalam memupuk amalan berjimat cermat. Hal ini kerana pihak sekolah boleh melaksanakan pelbagai program yang dapat menerapkan sikap berjimat cermat dalam kalangan pelajar secara langsung atau secara tidak langsung. Contohnya, pihak sekolah boleh menjalankan program kitar semula yang boleh mendatangkan banyak kebaikan kepada diri pelajar dan juga alam sekitar. Pihak sekolah juga boleh menyemai sikap berjimat cermat dalam kegiatan kokurikulum yang diadakan.


Sebagai kesimpulan, terdapat banyak pihak yang boleh memainkan peranan untuk memupuk amalan berjimat cermat. Sikap berjimat cermat adalah satu amalan yang baik dan ia perlu dipupuk sejak kecil lagi. Pada pendapat saya, pihak yang melakukan pembaziran patut dikenakan tindakan yang sewajarnya. Dengan kerjasama daripada semua pihak, saya pasti amalan berjimat cermat boleh menjadi budaya hidup rakyat Malaysia. 


Peperiksaan Pertengahan Tahun 2014 - Karangan Pilihan PT3 (3)
CARA-CARA MENJAGA KEBERSIHAN
ALAM SEKITAR
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Isu-isu berkaitan dengan alam sekitar kerap menjadi bahan paparan dalam surat khabar. Hal ini kerana alam sekitar di negara kita didapati semakin tercemar. Pada pendapat saya, isu pencemaran alam sekitar ini tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menjaga kebersihan alam sekitar.


Pihak yang boleh memainkan peranan utama dalam menjaga kebersihan alam sekitar ialah setiap individu atau rakyat di negara ini. Setiap individu atau rakyat mestilah mempunyai kesedaran tentang kepentingan alam sekitar. Contohnya kita mesti bertindak untuk melaporkan kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar jika ternampak pihak tertentu mencemarkan alam sekitar. Sesungguhnya alam sekitar yang bersih dan ceria akan membolehkan rakyat hidup dalam keadaan sihat dan sejahtera.



Selain individu, pihak masyarakat juga boleh memainkan peranan penting. Masyarakat mestilah mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Antara nilai murni yang perlu diamalkan ialah nilai cintakan kebersihan sungai dan laut. Masyarakat juga mesti mengelakkan diri daripada melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencemarkan alam sekitar terutama pada musim panas.

Pihak pengusaha industri atau kilang juga boleh memainkan peranan dalam menjaga kebersihan alam sekitar. Pengusaha industri atau kilang mestilah memastikan bahan buangan tidak dibuang ke dalam sungai atau laut. Bahan-bahan buangan kilang mestilah dihantar ke tempat yang dikhaskan oleh pihak kerajaan. Selain itu, jika kilang mereka mengeluarkan asap, asap tersebut mestilah dirawat terlebih dahulu bagi menjaga kebersihan alam sekitar.

Di samping itu, pengusaha pertanian juga boleh memainkan peranan yang penting. Pengusaha pertanian tidak boleh mengambil jalan mudah dengan membakar hutan untuk membuka kawasan pertanian yang baru. Bahan kimia seperti baja dan racun serangga yang digunakan pula hendaklah sentiasa dipantau supaya tidak memasuki sungai yang boleh menyebabkan air sungai tercemar. Semua tong racun serangga juga hendaklah dibuang di tempat yang dikhaskan oleh pihak berkuasa.

Pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai sumber kewangan dan kuasa undang-undang. Pihak kerajaan boleh mengeluarkan perbelanjaan tertentu untuk membersihkan kawasan tertentu, khususnya kawasan kunjungan pelancong. Jika terdapat pihak yang sengaja mencemarkan alam sekitar, pihak kerajaan perlu mengambil tindakan undang-undang yang tegas.


Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa cara untuk menjaga kebaersihan alam sekitar. Kebersihan alam sekitar perlu dijaga setiap masa kerana alam sekitar yang bersih menggambarkan sikap rakyat Malaysia yang bertanggungjawab. Pada pendapat saya, semua pihak mesti berganding bahu untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Alam sekitar yang bersih dan ceria boleh menjadi aset kepada negara dalam memajukan sektor pelancongan. 

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2014 - Karangan Pilihan PT3 (4)
LANGKAH-LANGKAH MENGATASI
GEJALA VANDALISME
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN


Saban hari, kita sering mendengar isu remaja yang tidak pernah habis diperkatakan. Tidak kurang juga berita-berita mengenai salah laku oleh remaja yang tidak pernah lekang di dada-dada akhbar tempatan hampir pada setiap hari. Remaja sebenarnya bolehlah dianalogikan sebagai batu permata yang bakal mencorakkan masa depan negara. Namun, mereka tidak sedar akan hakikat tersebut. Mereka sering melakukan kesalahan yang melibatkan kemusnahan harta benda awam yang boleh diringkaskan dengan perkataan ‘vandalisme’. Menyedari tentang hal ini, tiadakah usaha-usaha dari pihak tertentu untuk menangani masalah ini?



Dalam konteks ini, ibu bapalah yang perlu memainkan peranan penting. Didikan agama dan nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang terdapat baik di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Selain itu, mereka harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan mengetahui latar belakang rakan-rakan bagi anak-anak mereka. Sekiranya mereka mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus dilakukan. Hal ini termasuklah dengan memberi amaran tegas kepada anak-anak mereka. Tindakan ini memang sesuai dengan kata orang-orang tua,“Sayangkan anak, tangan-tangankan”.

Di samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme ‘menjalar’ dengan berleluasa di kawasan perumahan mereka. Perbuatan seperti menconteng dinding bangunan, merosakkan telefon awam, buaian di taman permainan dan tong sampah awam wajar diambil perhatian. Masyarakat di sesebuah kawasan itu perlu mengadakan mesyuarat dengan para ibu bapa tentang gejala itu dan mengenakan tindakan seperti denda berupa bayaran kepada ibu bapa yang didapati anaknya terlibat dalam salah laku ini. Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka.

Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala vandalisme. Pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut melalui stesen televisyen dan radio tempatan untuk menangani gejala yang semakin ‘membarahi’ negara ini. Kerajaan juga perlu mengenakan bayaran kompaun yang setimpal kepada sesiapa yang didapati melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan kerosakan harta benda awam. Individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan laku musnah ini perlulah melakukan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat seperti menyapu sampah dan membersihkan tandas awam dan taman-taman permainan. Natijahnya, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berwajib.

Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini. Walaupun isu ini dilihat tidaklah terlalu teruk, tetapi ingatlah bahawa ia dapat memberi impak yang besar kepada negara. Sekiranya semua kemuahan awam kita tidak boleh digunakan atau diconteng, maka di manakah kita hendak meletakkan air muka kita. Imej negara yang bersih hanya akan tinggal kenangan sahaja. Ayuhlah kita bertindak segera untuk ‘memerangi’ gejala ini dan ingatlah , ‘jangan sudah terhantuk barulah nak terngadah’. 


Peperiksaan Pertengahan Tahun 2014 - Karangan Pilihan PT3 (5)
CIRI-CIRI
PELAJAR CEMERLANG
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN


Setiap tahun apabila keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM diumumkan sudah pasti akan muncul ribuan pelajar yang cemerlangl Setiap individu yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan adakah cemerlang dalam semua aspek? Oleh itu, penulis akan mengupas tentang apa yang benar-benar cemerlang dalam erti kata sebenarnya.



Pelajar yang cemerlang sudah tentu mempunyai sejarah pencapaian akademik yang cemerlang sama ada peperiksaan dalaman atau peperiksaan awam. Bukan itu sahaja, mereka juga merupakan pelajar yang sentiasa taat dalam menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru pada masa yang telah ditetapkan. Hal ini selaras dengan kata-kata pujangga, 'orang cerdik memberi jawapan, orang bodoh memberi alasan'. Mereka juga turut membuat persediaan sebelum guru memulakan pelajaran baru.



Selain aspek akademik, pelajar yang cemerlang juga mempunyai daya kepemimpinan. Daya kepemimpinan menjadikan mereka seorang yang dihormati oleh rakan-rakan yang lain. Sebagai contoh, pelajar yang cemerlang akademik dan mempunyai daya kepemimpinan yang tinggi akan dilantik oleh pihak sekolah sebagai ketua pelajar atau pengawas sekolah.



Seorang yang cergas dan mempunyai sahsiah diri yang berdisiplin juga merupakan aspek penting dalam diri seorang pelajar cemerlang. Penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti pertandingan bahas dan acara sukan menunjukkan mereka seorang yang cergas. Disiplin yang baik seperti menghormati guru, menepati masa dan tidak melanggar peraturan sekolah menyebabkan mereka disenangi oleh semua pihak.


Konklusinya, pelajar cemerlang yang dihasilkan pada setiap tahun perlu cemerlang dalam pelbagai aspek. Pihak sekolah dan ibu bapa perlu peka akan perkara ini agar modal insan yang kita lahirkan berminda kelas pertama seperti yang diuar-uarkan oleh bekas Perdana Menteri kita, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi.

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2014 - Karangan Pilihan PT3 (6)
SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
 


Soalan

Anda dan keluarga telah berpindah ke tempat lain. Tuliskan surat kepada kawan anda untuk menceritakan keadaan di tempat itu.



                                                                                                                    Kampung Tambunan,

                                                                                                                     93200 Kuching.

                                                                                                                      9 April 2014.



          Ke pesisiran sahabatku Nizam, yang tinggal di bandar Dungun, dengan selamatnya.



Saudara,



         Sudah lama saya tidak mendengar khabar daripada saudara. Mungkin saudara sibuk, maklumlah peperiksaan pun kian hampir. Sya berdoa agar saudara berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan itu nanti.



          Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk memberitahu saudara bahawa saya telah berpindah ke tempat baharu. Tempat baharu ini letaknya kira-kira 40 kilometer dari bandar Kuching.



          Saya terpaksa pindah kerana ayah saya pun pencen dan tidak lagi menduduki rumah kerajaan. Dengan menggunakan wang ganjaran, ayah saya membeli sebidang tanah dan mendirikan sebuah rumah di atas tanah itu.



          Terdapat lima puluh keluarga di tempat baharu ini. Pada mulanya, agak sukar untuk kami menyesuaikan diri dengan keadaan di tempat baharu itu. Tambahan pula, jirang-jiran kami terdiri daripada berbilang kaum. Namun hal itu dapat kami atasi. Rupa-rupanya mereka jiran yang baik dan mudah mesra.



          Kami bernasib baik kerana di hadapan rumah kami terdapat sebatang jalan raya. Di tepi jalan itu ayah mendirikan sebuah gerai. Kami menjual pelbagai jenis buah-buahan. Kadang-kadang saya membantu ayah saya menjual buah-buahan yang dibekalkan oleh pemborong di gerai tersebut. 



         Saya berharap agar saudara membalas surat saya. Tentu banyak berita yang dapat saudara ceritakan. Saya menantikan ketibaan warkah saudara.



         Akhir kata, sambutlah salam mesra daripada saya.

              Sahabatmu,



Khairul Amin


CATATAN:


Tajuk-tajuk karangan pilihan dan karangan contoh yang diberikan di atas hanya sebagai rujukan. BUKAN SOALAN RAMALAN. Peperiksaan Pertengahan Tahun merupakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Justeru, pelajar diminta kaji semua tajuk lain yang telah dibincang dalam sidang tutorial. Jadikan buku "Koleksi Eksklusif Karangan Pilihan BM PT3 Fokus  Peperiksaan Pertengahan Tahun 2014" yang telah diedarkan dalam sidang tutorial sebagai pilihan utama anda.


YANG MAHAKUASA AKAN SENTIASA BERSAMA ANDA


Dengan Iringan Doa,

Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN