Sila klik pada Gambar untuk Paparan yang Lebih Besar dan Jelas
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur Edisi Keempat, ‘obesiti’ dapat diinterpretasikan sebagai kegemukan yang disebabkan terdapatnya lemak yang berlebihan. Obesiti menimbulkan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung, dan tekanan darah tinggi. Orang yang mengalami masalah obesiti juga tidak dapat menikmati kehidupan mereka sepenuhnya kerana badan yang terlalu gemuk sudah semestinya membataskan pergerakan mereka. Mereka juga akan mengalami tekanan akibat perasaan malu dan rendah diri. Hasil kajian menunjukkan bahawa peratusan penduduk obes di negara ini adalah yang tertinggi di Asia.
Masalah obesiti sebenarnya berlaku disebabkan oleh cara hidup yang tidak sihat seperti tidak menjaga pemakanan seharian. Pengambilan makanan yang berlemak tinggi dan terlalu manis boleh membawa kepada masalah kegemukan. Cara memasak seperti menggoreng juga boleh menjadi penyumbang kepada pengumpulan lemak dalam badan. Untuk mengelakkan obesiti yang berpunca daripada masalah ini, kita hendaklah makan lebih banyak sayur, buah-buahan dan sumber protein yang lain seperti ikan. Kita juga hendaklah mengurangkan penggunaan minyak untuk menggoreng makanan dan memasak dengan cara mengukus, membakar atau merebus.
Selain itu, sikap malas dan tidak suka bersenam juga menjadi punca berlakunya masalah obesiti. Apabila kita terlalu memanjakan tubuh dengan cara tidak melakukan sebarang pergerakan senaman, lemak akan terus terkumpul dalam badan kita. Akhirnya badan kecil menjadi tembam, gempal dan gemuk. Oleh itu, kita mestilah melakukan senaman sekurang-kurangnya 3 kali seminggu selama 30 minit. Antara senaman yang boleh dilakukan oleh mereka yang malas atau sukar melakukan pergerakan adalah seperti berjalan kaki pantas, berenang atau bermain badminton. Senaman seperti ini tentu dapat mengelakkan kecederaan.
Di samping itu, peningkatan restoran makanan segera dan penjualan makanan dalam bungkusan atau tin turut menjadi satu punca obesiti. Restoran makanan segera seperti KFC, Mcdonald, Ayamku, dan Pizza Hut digemari ramai penduduk Malaysia terutamanya mereka yang bekerja kerana mereka tidak perlu lagi bersusah payah untuk memasak makanan selepas penat bekerja. Walaupun makanan yang disediakan oleh restoran makanan segera ini menyelerakan, orang ramai harus sedar bahawa pengambilan makanan ini haruslah dikurangkan kerana makanan ini tidak berkhasiat dan mengandungi kadar garam, gula dan lemak yang tinggi.
Kesimpulannya, masalah obesiti hendaklah diatasi untuk mengelakkan perkara buruk yang timbul sebagai akibatnya. Obesiti yang berpunca daripada pemakanan tidak sihat dan kurang bersenam dapat dielakkan jika kita mengubah pengambilan makanan, cara memasak dan lebih kerap bersenam. Membuang lemak dalam badan bukan perkara mudah untuk dilakukan. Usaha ini memerlukan kesabaran dan kesungguhan.
- Tutor BM Anda : Cikgu G.N.Rajan
No comments:
Post a Comment