Sinopsis
Novel ini memaparkan pengorbanan seorang gadis remaja, bernama Azfa Hanani ( Nani ). Azfa Hanani merupakan murid tingkatan 5 Kenanga, Sekolah Menengah Seri Dian. Azfa Hanani diminta menyamar sebagai Tengku Murni oleh Tengku Mazran dan isterinya Syafinaz.Hal ini demikian kerana Tengku Murni telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.Datin Maziah yang turut terlibat dalam kemalangan itu koma .Apabila Datin Maziah sedar daripada komanya dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak perempuan tunggalnya telah di jemput Illahi.
Azfa Hanani yang hidup dalam kemiskinan di rumah Pak Madi (Pak Long) telah mengambil buku rujukan tanpa kebenaran pihak sekolah.Tujuannya adalah untuk mengulang kaji pelajarannya .Pada masa yang sama anak Pak Longnya Zuraini mengalami penyakit lumpuh. Azfa Hanani yang merasakan dirinya membebani keluaga Pak Long bertekad untuk menerima tawaran penyamaran sebagai Tengku Murni.Azfa Hanani menerima tawaran itu kerana Tengku Mazran berjanji untuk menanggung kos rawatan Zuraini.
Azfa Hanani dibawa ke banglo Datuk Tengku Makmur untuk menemui Datin Maziah. Azfa Hanani telah diberi penjelasan dan tunjuk ajar oleh Tengku Mazran dan isterinya tentang tingkah laku Tengku Murni .Penyamaran itu nampaknya berhasil kerana Datin Maziah tidak dapat mengesyaki apa-apa kekurangan yang ada dalam diri Azfa Hanani.Kemudian Azfa Hanani dihantar bersekolah di Sekolah Menengah Taman Sari. Di situ,dia mengenali rakan-rakan Tengku Murni,seperti Tengku Ellina, Suzana,Adriani,Ekran dan lain-lain.Azfa Hanani turut mengenali beberapa orang pelajar yang tidak menyukai Tengku Murni iaitu Laili,Syafikah dan Fuziana.Di banglo Datin Maziah dan di sekolah barunya pelbagai peristiwa gembira dan sedih dilalui.
Azfa Hanani telah membaca diari Tengku Murni.Melalui diari ini terbongkar rahsia cinta yang terhalang antara Tengku Murni dan Ekran.Cinta mereka terhalang disebabkan abang Tengku Murni,Tengku Muzaffar mementingkan status keluarga mereka sebagai golongan kaya dan bangsawan.Hal ini menyebabkan konflik berlaku antara Azfa Hanani dan Tengku Muzaffar.Pertengkaran mereka telah didengari oleh Datin Maziah,akibatnya penyamaran Azfa Hanani terbongkar.Datin Maziah telah menghalau Azfa Hanani .
Azfa Hanani pulang ke rumah Pak Long Madi di Kampung Merpati.Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah datang ke Kampung Merpati untuk memohon maaf dan memujuk Azfa Hanani agar kembali ke banglo mereka.Tengku Datuk Makmur menceritakan kisah yang terjadi enam belas tahun yang lalu.Menurut beliau kematian ibu bapa Azfa Hanani disebabkan kecuaiannya semasa memandu dalam keadaan mabuk.Teksi yang dinaiki oleh ibu bapa Azfa Hanani telah terjunam ke dalam gaung dan Azfa Hanani tercampak keluar.Datin Maziah yang bersimpati dengan Azfa Hanani telah menyusuinya.
Datin Maziah dan Datuk Tengku Makmur ingin menebus kesalahan mereka.Mereka memujuk agar Azfa Hanani kembali tinggal bersama-sama mereka.Akhirnya Azfa Hanani bersetuju untuk kembali tinggal di banglo itu dengan identiti sebenarnya.Dia juga mengetahui bahawa ibu bapa Ekran sebenarnya merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Mereka bukannya miskin sebagaimana yang dikatakan oleh Tengku Muzaffar.
Sinopsis Bab Demi Bab
Takut
Ketika rakan-rakannya menumpukan perhatian terhadap pembelajaran Kimia, Azfa Hanani diburu rasa takut sekiranya namanya dipanggil oleh pengetua kerana mencuri buku dari perpustakaan. Padanya, dia bukan bertujuan untuk mencuri sebaliknya hanya "meminjam" untuk mengulang kaji pelajaran kerana tidak mampu untuk membeli buku rujukan. Dia takut dibuang sekolah kerana perbuatan mencuri yang dilakukannya. Semua hal ini terjadi disebabkan kemiskinan keluarga Pak Long Madi yang memeliharanya sejak kedua-dua ibu dan bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Dia semakin takut apabila pengetua mahu menemuinya.
Siapa Mereka?
Di dalam bilik pengetua, terdapat tetamu yang begitu asing baginya, iaitu Tengku Mazran, Syafinaz dan Syarifah Rozan. Mereka memberitahunya dia seiras Tengku Murni, seorang remaja yang meninggal dunia dalam suatu kemalangan empat bulan lalu. Tengku Mazran dan Syafinaz memberitahu bahawa dia berkunjung ke rumah Syarifah Rozan semalam dan ternampak gambarnya dalam album. Gambarnya seiras wajah adiknya, Tengku Murni. Azfa Hanani ditawarkan menjadi anak angkat keluarga kaya dan menyamar sebagai Tengku Murni kerana wajah mereka seiras.
Datin Maziah tidak dapat menerima hakikat bahawa anak gadis tunggalnya telah meninggal dunia. Dia menuduh anak-anak lelakinya telah melarikan Tengku Murni. Oleh sebab itu, mereka bercadang untuk mengambil Azfa Hanani menggantikan Tengku Murni bagi menenangkan hati Datin Maziah. Azfa Hanani agak risau untuk menerima tawaran itu walaupun dijanjikan dengan pelbagai kemewahan. Namun begitu, dia memerlukan keizinan oleh pak long dan mak longnya.
Kerana Terdesak
Tengku Mazran dan Syafinaz yang ditemani oleh Abang Norman dan Pak Haji Arshad tiba di rumah pak long untuk berbincang dengan pak long dan mak long. Pak Haji Arshad menjadi orang tengah dalam perbincangan itu. Tengku Mazran menceritakan kemalangan yang menimpa adiknya, Tengku Murni. Menurut Tengku Mazran, apabila ibunya, Datin Maziah tersedar daripada koma, yang ditanyanya ialah Tengku Murni. Puas mereka berdalih dengan mengatakan Tengku Murni mengikuti program pertukaran pelajar ke Jepun. Dia tidak mampu berterusan menipu dan tidak mahu ibunya menghadapi tekanan jiwa. Tengku Mazran meminta keizinan pak long dan mak long untuk membawa Azfa Hanani ke Kuala Lumpur. Sebagai balasan, sekiranya Azfa Hanani mahu menggantikan tempat "Tengku Murni", kos perubatan
anak pak longnya, Zuraini yang hampir lumpuh akan ditanggung. Azfa Hanani berfikir, sekiranya dia masih kekal di Sekolah Menengah Sri Dian, dia akan dibuang sekolah kerana mencuri buku di perpustakaan. Selain itu, bila-bila masa sahaja pak longnya akan memberhentikan persekolahannya kerana kesempitan hidup. Setelah memikirkan masalah dirinya dan penyakit Zuraini mampu sembuh, akhirnya dia menerima tawaran Tengku Mazran.
Seawal Kehadiran
Di Hotel Universe, Tengku Mazran dan isterinya, Syafinaz mengajar cara-cara bertutur, makan dan bergaul dengan Datin Maziah. Apabila tiba di banglo yang dimaksudkan, dia dibawa ke bilik Tengku Murni . Tengku Mazran dan Syafinaz memujuk Azfa Hanani akan sikap kasar Tengku Muzaffar yang mengungkapkan kata-kata menyakitkan hatinya. Azfa Hanani kemudian berehat di dalam bilik itu. Ketika itu, dia teringat akan kata-kata Nordin sebelum dia bertolak ke sini, bahawa bukan dia yang dituduh mencuri buku, sebaliknya melibatkan beberapa orang pelajar lelaki. Apabila Datin Maziah terjaga daripada tidur, Azfa Hanani dibawa bertemunya. Dia mengikut arahan seperti yang diajar oleh Tengku Mazran dan Syafinaz.
Sebagai Murid Baharu
Azfa Hanani dihantar belajar di Sekolah Menengah Taman Sari. Di sekolah itu, dia berkenalan dengan saudara dua pupu Tengku Murni, iaitu Tengku Ellina. Dia juga berkenalan dengan rakan-rakan Tengku Murni yang lain seperti Adriani, Ekran, selain 'musuh' Tengku Murni, iaitu Laili, Syafikah, dan Fauziana yang dipanggil,Kumpulan Budak Glamor. Tengku Ellina menyatakan kehairanannya kerana sehingga kini kad pengenalan, kad ATM dan dompet Tengku Murni belum ditemukan lagi.
Imbalan Budi
Sekembalinya Azfa Hanani dari sekolah, dia telah disambut oleh Datin Maziah. Dia makan bersama-sama dengan Datin Maziah dan Kak Finaz. Dia kekok makan menggunakan sudu dan garpu. Azfa Hanani bertanyakan tentang dompet Tengku Murni yang hilang itu kepada Kak Finaz. Kak Finaz menyatakan bahawa mungkin dompet itu telah diambil orang. Azfa Hanani bimbang rahsianya terbongkar. Kak Finaz meyakinkannya bahawa mayat yang dikebumikan itu memang mayat Tengku Murni. Di dalam bilik, Azfa Hanani menemukan diari Tengku Murni .Dia membaca diari itu untuk mengetahui peribadi Tengku Murni.
Tengku Datuk Makmur datang menemui Azfa Hanani di biliknya. Dia akan membayar RM500 sebulan kepada Azfa Hanani sebagai upah kerana menyamar sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani tidak menyangka budinya akan dibalas dengan wang ringgit. Namun dia terpaksa menerima wang itu demi membantu pak long di kampung.
Kerenah Laili
Azfa Hanani ke sekolah untuk menghadiri majlis perjumpaan pelajar tingkatan 5 bagi membincangkan projek Hari Sumbangsih. Program yang diatur meliputi pasar ria, kejohanan sukan terbuka, dan pameran. Pada tahun lalu program tersebut telah berjaya mengumpul wang sebanyak RM 16 ribu. Laili tidak berpuas hati dan mendakwa kononnya terdapat ketidakadilan dalam pengagihan slot. Dia tidak berpuas hati kerana tidak diberikan slot mengendalikan Malam
Bakat Sumbangsih. Laili turut mempertikaikan kejujuran dan keikhlasan jawatankuasa yang terlibat. Dakwaan Laili dibantah oleh Ekran dengan menjelaskan bahawa agihan slot dibuat melalui undian. Setiap ketua tingkatan mengambil bahagian dalam undian tersebut dan seharusnya soal ketidakadilan tidak sepatutnya ditimbulkan.
Tertanya-tanya
Azfa Hanani tertanya-tanya mengapa dia tidak dapat berbual panjang dengan Ekran. Lidahnya menjadi kelu ketika berhadapan dengan Ekran. Dia juga tertanya-tanya akan hal Ekran menjual burger berhampiran dengan Plaza Cahaya sedangkan gayanya tidak membayangkan kesusahan hidupnya. Di perpustakaan, Fauziana dan Syafikah menawarkan Azfa Hanani sebagai pengacara Malam Bakat Sumbangsih kerana suaranya sesuai. Azfa Hanani tahu bahawa majlis itu diuruskan oleh pelajar Tingkatan 5 Sastera II, jadi dia berangganggap bahawa dia tidak perlu masuk campur. Azfa Hanani menolak dengan baik kerana menyedari niat mereka tidak ikhlas. Penolakannya itu membuatkan mereka begitu marah. Ekran
Azfa Hanani mengikuti kelas bahasa Inggeris dan bahasa Jepun di Institut Lingua Franca. Dia pergi ke Institut untuk meminjam beberapa buah buku. Sebenarnya itu cuma ralasan untuk keluar dari rumah. Hasrat hatinya adalah untuk menemui Ekran. Ketika berada di tempat tersebut, Iskandar mahu menghantarnya pulang dengan menaiki motorsikal. Azfa Hanani menolak kerana dia tidak mengenali lelaki itu. Azfa Hanani berpeluang bertemu Ekran yang menjual burger pada hari itu.Ekran menjelaskan minatnya untuk menjadi akauntan. Meluah Rasa
Azfa Hanani meluahkan perasaannya kepada Ekran dan menjelaskan bahawa dia bukan Tengku Murni. Dia hanya seorang budak kampung yang hidup dalam serba kekurangan. Dia bukan anak manja Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah. Azfa Hanani hanya menyamar sebagai Tengku Murni untuk memenuhi janjinya kepada Abang Mazran dan Kak Finaz. Dia juga menerima tawaran mereka kerana tidak mahu keciciran dalam pelajaran. Selain itu dia ingin membalas budi pak long dan mak longnya. Abang Mazran dan Kak Finaz telah berjanji untuk menanggung segala kos rawatan Zuraini yang lumpuh.
Bukan Dirancang
Azfa Hanani tidak merancang untuk ke rumah Tengku Ellina. Tengku Ellina mengajaknya ke rumah kerana pasukan Forum Remaja Sekolah Menengah Taman Sari akan mengadakan sesi perbincangan dan latihan. Datin Maziah memberikan persetujuan agar Azfa Hanani ke rumah rakannya, Tengku Ellina. Azfa Hanani berasa bersalah kerana berbohong kepada Datin Maziah. Datin Maziah mengingatkan Azfa Hanani agar memberikan fokus terhadap SPM supaya memperoleh keputusan cemerlang seperti "abang-abangnya". Tengku Muzaffar menghantar Azfa Hanani dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi. Setibanya di rumah Tengku Ellina, rakan-rakannya telah sedia menunggu. Tengku Ellina meminta Azfa Hanani menggantikan tempatnya sebentar sebagai Pengerusi Forum Remaja, sementara dia mengendalikan mesyuarat sekretariat pameran luar untuk Hari Sumbangsih. Setelah ahli-ahli pasukan Forum Remaja melihat kepetahan dan kelancaran Azfa Hanani sebagai pengerusi, mereka memutuskan bahawa Azfa Hanani akan kekal mempengerusikan Forum Remaja. Melulu pertandingan Forum Remaja yang akan diadakan di dewan besar sekolah bakal berlangsung sebentar lagi. Azfa Hanani membuat persiapan; memakai tali leher dan menghafal skrip. Azfa Hanani mendapat khabar gerai burger Ekran telah dibakar menyebabkan dia bergegas ke bilik persatuan untuk mendapatkan penjelasan daripada Ekran. Ekran tidak ditemui sebaliknya dia bertemu dengan Laili yang tidak berpuas hati akan sikapnya menarik diri sebagai pengacara Malam Bakat Sumbangsih. Kata-kata hina yang diucapkan Laili telah menggetarkan perasaan Azfa Hanani sebelum melangkah ke pertandingan Forum Remaja.
Hadiah Bererti
Pasukan yang disertai oleh Azfa Hanani dalam pertandingan Forum Remaja telah berjaya menjadi johan dan Azfa Hanani diumumkan sebagai Pengerusi Forum Terbaik. Ramai yang memuji suara Azfa Hanani amat lunak dan sesuai menjadi pengacara televisyen. Seterusnya, Datin Maziah telah mengadakan majlis ulang tahun yang ke-17 untuk Tengku Murni. Azfa Hanani, walaupun mengambil peranan sebagai Tengku Murni, tetapi berasa terharu kerana diraikan dalam majlis yang begitu meriah. Ekran datang lewat lalu menyerahkan hadiah melalui pintu pagar rumah. Azfa Hanani meluahkan perasaan rindunya terhadap pak long sekeluarga di kampung kepada Abang Mazran. Abang Mazran berjanji akan membawa Azfa Hanani pulang bertemu dengan keluarganya di kampung. Abang Mazran juga meminjamkan telefon bimbitnya kepada Azfa Hanani agar dia dapat menghubungi kawan-kawannya di kampung.
Misteri Yang Tersimpan
Azfa Hanani memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan oleh Abang Mazran untuk menghubungi rakan-rakannya di kampung. Azfa Hanani mengimbau perbualannya dengan rakan-rakan sekampungnya, Falina dan Aini. Kak Finaz memberitahu Azfa Hanani bahawa Abang Mazran bersetuju untuk memasang talian telefon di rumah pak long. Abang Mazran juga akan membelikan Azfa Hanani telefon bimbit yang baharu. Azfa Hanani membuka hadiah yang diberikan oleh Ekran. Azfa Hanani terkejut apabila mendapati hadiah itu berupa dompet milik arwah Tengku Murni dan di dalamnya terdapat sejumlah wang, beberapa keping kad, dan sehelai kertas catatan.
Kunjungan Mengejut
Azfa Hanani menyuarakan hasratnya kepada Kak Finaz untuk menyambut kepulangan pak long dan Zuraini daripada menjalani rawatan di Indonesia. Kak Finaz berjanji untuk membawa Azfa Hanani pulang ke kampung semasa cuti semester pertama nanti. Sekembalinya daripada mengikuti kelas bahasa di Institut Lingua Franca, Azfa Hanani terkejut melihat pak long dan Zuraini berada di rumah Datin Maziah. Kerinduan Azfa Hanani terubat kerana dapat berbual-bual dengan pak long dan Zuraini. Menurut Zuraini, Tengku Datuk Makmur seakan-akan sudah mengenali keluarga mereka sebelum ini.
Hari Sumbangsih
Hari ini berlangsungnya Hari Sumbangsih di Sekolah Menengah Taman Sari. Sambutan Hari Sumbangsih pada tahun ini lebih meriah. Ekran yang menjadi pengerusi persatuan pelajar tingkatan lima sibuk mengendalikan program sempena Hari Sumbangsih. Ada khabar angin yang mengatakan bahawa Malam Bakat Sumbangsih akan dipulaukan oleh pelajar yang tidak berpuas hati. Azfa Hanani mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan Ekran di bilik persatuan. Azfa Hanani mendesak Ekran untuk berterus-terang tentang punca dia menjauhkan diri daripadanya. Akhirnya Ekran membuat pengakuan yang mengejutkan. Ekran mengakui mempunyai hubungan istimewa dengan Tengku Murni. Namun hubungan itu terpaksa diputuskan atas sebab-sebab tertentu. Pada pertemuan terakhir sebelum kemalangan itu, dompet Tengku Murni tertinggal dan dia menyimpan dompet tersebut.
Terusir
Azfa Hanani masih lagi tertanya-tanya tentang hubungan antara Ekran dengan Tengku Murni. Azfa Hanani membuat tekaan bahawa Datin Maziahlah punca hubungan Tengku Murni dengan Ekran terputus. Dengan menggunakan teori fizik, Azfa Hanani berjaya membaca rahsia yang terkandung di dalam diari Tengku Murni. Azfa Hanani lantas bersemuka dengan Tengku Muzaffar untuk mendapatkan kepastian. Tengku Muzaffarlah rupa-rupanya yang menjadi dalang yang merosakkan hubungan yang terjalin antara Tengku Murni dengan Ekran. Tengku Muzaffar memberitahu bahawa dia menghalang hubungan antara Tengku Murni dengan Ekran kerana ingin menjaga nama baik keluarga disebabkan Ekran daripada keluarga miskin. Azfa Hanani berasa terhina kerana dirinya juga daripada keluarga miskin. Azfa Hanani tidak berpuas hati kerana kini Tengku Muzaffar melarangnya berkawan dengan Ekran pula. Akhirnya berlakulah pertengkaran antara mereka dan didengari pula oleh Datin Maziah. Datin Maziah amat marah apabila mendapati Azfa Hanani selama ini menyamar sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani ditampar, kemudian dihalau keluar dari banglo itu.
Hakikat
Azfa Hanani mahu terus pulang ke kampung, tetapi Tengku Muzaffar menumpangkan Azfa Hanani di rumah Tengku Ellina. Akhirnya, Azfa Hanani dapat kembali tinggal di rumah pak longnya di Kampung Merpati. Namun, pak long dan mak longnya masih belum mengetahui bahawa Azfa Hanani sebenarnya telah diusir keluar dari rumah Datin Maziah. Sebelum ini, Abang Mazran dan Kak Finaz berjanji untuk memujuk Datin Maziah untuk menerima Azfa
Hanani kembali. Namun, Azfa Hanani telah membuat keputusan untuk terus tinggal di kampung. Azfa Hanani terkejut apabila keluarga Tengku Datuk Makmur datang mencarinya di kampung. Akhirnya terbongkar rahsia apabila Tengku Datuk Makmur menceritakan bahawa dialah yang telah melanggar teksi yang dinaiki oleh Azfa Hanani sekeluarga sehingga mengakibatkan kematian ibu dan bapa Azfa Hanani. Datin Maziah tidak sampai hati apabila melihat Azfa Hanani yang ketika itu masih bayi menangis kelaparan lalu menyusuinya. Selama 16 tahun, Tengku Datuk Makmur berusaha untuk menjejaki Azfa Hanani. Pencariannya berhasil setelah berbual-bual dengan pak long yang kebetulan berkunjung ke rumahnya sekembalinya daripada menemani anaknya, Zuraini yang mendapatkan rawatan di Indonesia.
Segala-galanya Berakhir
Azfa Hanani kembali tinggal di banglo Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah. Kali ini dia mahu dikenali dengan identiti sebenar, bukan sebagai Tengku Murni lagi. Tengku Muzaffar pula semakin mendekatkan diri dengan agama. Aktiviti Hari Sumbangsih telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM16,655.00. Syafikah dan Fuziana bersikap baik terhadap Azfa Hanani. Motosikal yang ditunggang oleh Iskandar terlibat dalam kemalangan jalan raya dan Iskandar telah terbunuh. Manakala Laili yang membonceng motosikal tersebut telah cedera parah dan kini di wad ICU.
Pasukan yang menyertai Forum Remaja telah menjadi johan peringkat negeri dan Azfa Hanani telah dinobatkankan sebagai Pengerusi Forum Terbaik. Pada suatu hari, Azfa Hanani menaiki teksi ke rumah Ekran. Ketika Azfa Hanani tiba, dia melihat Tengku Muzaffar sedang membantu Ekran menyiapkan sebuah gerai. Akhirnya Azfa Hanani mengetahui kedudukan perkara yang sebenar iaitu, Tengku Muzaffarlah yang membakar gerai burger Ekran. Sementara itu, Ekran bukanlah daripada keluarga yang susah. Ayah dan ibunya merupakan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia yang kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah di Amerika Syarikat. Adik-adik perempuannya ikut serta manakala adik lelakinya menuntut di sebuah sekolah berasrama penuh. Dia selesa tinggal dengan datuk dan neneknya.
Persoalan
i. Persoalan ketaatan kepada agama, Azfa Hanani sering berdoa dan membaca al – Quran kepada arwah ibu bapanya .
ii. Persoalan ketabahan seorang gadis remaja menghadapi kehidupan yang penuh ranjau. Azfa Hanani dibesarkan oleh Pak Long Madi yang kurang berada.Dia juga tabah menghadapi liku – liku hidup di rumah banglo milik keluarga baharunya. i
ii. Persoalan keberanian menghadapi risiko. Azfa Hanani, seorang gadis yang baru berumur 17 tahun tetap berani mengambil risiko menyamar sebagai Tengku Murni untuk membantu sepupunya.
iv. Persoalan kegigihan menimba ilmu pengetahuan. Sikap ini ditonjolkan Azfa Hanani, walaupun berasal daripada keluarga miskin dia gigih belajar dengan tujuan untuk membaiki masa depan keluarga dan hidupnya.
v. Persoalan sikap mementingkan darjat atau pangkat. Tengku Datuk Makmur dan anaknya, Tengku Muzaffar begitu ego dengan status mereka sebagai golongan elit. Mereka memandang hina terhadap Azfa Hanani. Rakan-rakan Azfa Hanani juga memandang rendah kepadanya kerana dia berasal dari kampung dan hidup miskin.
vi. Persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya, Datin Maziah terlalu menyayangi Tengku Murni / Azfa Hanani.
Plot
Secara keseluruhannya plot drama digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:
i. Permulaan Pada peringkat permulaan cerita, pembaca diperkenalkan dengan watak Azfa Hanani yang berasa takut setelah mengetahui bahawa orang yang selalu mencuri buku-buku rujukan di perpustakaan telah dikenal pasti dan akan dirangkap, Dia kemudiannya dipanggil ke bilik pengetua. Wajahnya dikatakan seiras Tengku Murni oleh Tengku Mazran dan Kak Syafinaz. Tengku Mazran meminta Azfa Hanani menyamar sebagai Tengku Murni iaitu adiknya yang terbunuh dalam suatu kemalangan jalan raya. Memikirkan masa depan persekolahannya serta peluang untuk membantu sepupunya, Zuraini mendapatkan rawatan, Azfa Hanani bersetuju menerima tawaran Tengku Mazran. ii. Perkembangan Pada peringkat perkembangan, Azfa Hanani dibawa ke Hotel Universe dan diajar cara bertutur, makan, dan bergaul dengan Datin Maziah. Di rumah Datin Maziah, Azfa Hanani berjaya memainkan peranan sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani kemudiannya dihantar ke Sekolah Menengah Taman Sari. Di sekolah barunya, Azfa Hanani telah berkenalan dengan Tengku Ellina, sepupu Tengku Murni dan rakan-rakan yang lain seperti Suzana, Adriani dan Ekran. Azfa Hanani turut terlibat dalam pertandingan Forum Remaja sekolahnya.
iii. Konflik Cerita sampai pada peringkat perumitan apabila Azfa Hanani menerima bungkusan hadiah daripada Ekran ketika majlis sambutan ulang tahun Tengku Murni yang ke-17. Azfa Hanani mencari Ekran untuk mendapatkan penjelasan tentang hubungannya dengan Tengku Murni. Ekran mengaku bahawa hubungannya dengan Tengku Murni memang istimewa tetapi tidak disenangi oleh seseorang iaitu Tengku Muzaffar.
iv. Klimaks
Klimaks cerita ini ialah apabila Azfa Hanani mengetahui bahawa abang Tengku Murni, iaitu Tengku Muzaffarlah yang menjadi penghalang hubungan Ekran dengan Tengku Murni. Pertengkaran antara Azfa Hanani dengan Tengku Muzaffar didengar oleh Datin Maziah. Rahsia penyamaran Azfa Hanani akhirnya terbongkar. Datin Maziah begitu marah kerana telah ditipu selama ini. Azfa Hanani telah ditamparnya lalu diusirnya keluar dari banglo tersebut.
v. Peleraian
Pada pengakhiran cerita, Datuk Tengku Makmur memberitahu bahawa dialah yang menyebabkan teksi yang dinaiki oleh ayah dan ibu Azfa Hanani terjunam ke dalam gaung 16 tahun yang lalu menyebabkan mereka terbunuh. Azfa Hanani kembali ke banglo Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah dengan identitinya sendiri setelah dipujuk. Pasukan Forum Remaja. Sekolah Taman Sari yang menyertai Forum Remaja telah menjadi johan peringkat negeri dan Azfa Hanani terpilih sebagai Pengerusi Forum Remaja Terbaik. Azfa Hanani juga telah mengetahui identiti sebenar Ekran dan berjaya mendapatkan kepastian daripada Ekran tentang hubungan mereka berdua.
Watak dan Perwatakan
Watak Utama Azfa Hanani
Gadis cantik dan berwajah lembut serta penyayang.
Remaja berusia 17 belas tahun yang kematian kedua-dua orang tuanya.
Dibesarkan oleh Pak Long Madi dan Mak Long Diah dalam serba kekurangan.
Lemah dalam subjek bahasa Inggeris.
Baik hati dan sanggup berkorban.
Tabah mengharungi dugaan hidup.
Mengenang budi.
Berjaya menerima anugerah Pengerusi Terbaik Forum Remaja peringkat daerah.
Sanggup menyamar sebagai Tengku Murni supaya Datin Maziah pulih daripada masalah tekanan perasaan.
Watak Sampingan
Datin Maziah
Isteri kepada Tengku Datuk Makmur.
Ibu kepada lima orang cahaya mata, iaitu Tengku Murshadad, Tengku Mizran, Tengku Mazran,Tengku Muzaffar, dan Tengku Murni.
Ibu yang penyayang, terutamanya terhadap anak perempuan tunggalnya, Tengku Murni.
Tertekan sebagai akihat kematian anak bongsunya, Tengku Murni.
Sering berasa kesunyian setelah Tengku Datuk Makmur bernikah dengan seorang gadis muda. Tengku Murni
Anak perempuan tunggal dalam keluarga Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah.
Wajahnya seiras wajah Azfa Hanani.
Anak yang taat kepada orang tuanya.
Dia begitu manja dengan ibunya.
Sikap mesranya menyebabkan dia disenangi oleh rakan-rakannya.
Pernah menjalinkan hubungan dengan Ekran, tetapi ditentang oleh abangnya, Tengku Muzaffar.
Tengku Muzaffar
Anak keempat Datuk Tengku Makmur dan Datin Maziah
Pelajar Universiti Malaya tahun akhir dalam jurusan undang – undang
Seorang yang sombong pada awalnya kerana statusnya
Penyayang kerana mengambil berat akan keselamatan Azfa Hanani Datuk Tengku Makmur
Seorang hartawan dan berketurunan bangsawan Mempunyai dua orang isteri iaitu Datin Maziah dan seorang wanita muda
Seorang yang bengis dan sombong kerana bertindak kasar terhadap Azfa Hanani Seorang yang berpegang pada janji kerana menerima semula Azfa Hanani setelah mengetahui identiti sebenarnya
Latar
Latar Tempat
Di makmal kimia. Azfa Hanani berasa bimbang setelah mendapat tahu perbuatannya mencuri buku-buku rujukan dari perpustakan telah diketahui dan dia mungkin akan dihukum atas kesalahannya itu.
Di bilik pengetua, iaitu ketika Azfa Hanani dikunjungi buat pertama kalinya oleh Tengku Mazran, Kak Finaz, dan Kak Rozan.
Di Hotel Universe. Azfa Hanani telah diberi tunjuk ajar oleh Kak Finaz tentang cara Tengku Murni makan, bercakap, dan Iain-lain lagi.
Di banglo milik Datin Maziah dan Tengku Datuk Makmur. Azfa Hanani akhirnya menetap di banglo ini.
Di Sekolah Menengah Taman Sari. Perjumpaan diadakan oleh pelajar-pelajar tingkatan lima bagi berbincang tentang projek Hari Sumbangsih.
Latar Masa
Selama beberapa bulan. Semasa Azfa Hanani menuntut di Sekolah Menengah Sri Dian dan kemudiannya meneruskan persekolahannya di Sekolah Menengah Taman Sari selepas berpindah ke rumah Datin Maziah.
Pada waktu malam. Contohnya, Azfa Hanani dengan bersungguh-sungguh membaca dan mengkaji diari Tengku Murni dalam usahanya mendapatkan jawaban siapakah yang menjadi penghalang hubungan antara Ekran dengan Tengku Murni. Pada waktu petang. Contohnya. semasa Datin Maziah mengadakan sambutan hari lahir Azfa Hanani/Tengku Murni yang ke-17. Pada waktu pagi. Contohnya, Azfa Hanani menjalani kehidupannya sebagai pelajar sekolah.
Latar Masyarakat
Masyarakat yang sanggup berkorban demi kebahagiaan keluarga angkat serta kelangsungan masa depannya. Contohnya, Azfa Hanani sanggup memenuhi tawaran Abang Mazran bagi membantu sepupunya, Zuraini yang lumpuh mendapatkan rawatan.
Masyarakat elit yang bongkak dan sombong kerana statusnya. Contohnya, Tengku Datuk Makmur yang memandang hina terhadap Azfa Hanani kerana berasal dari kampung dan miskin.
Masyarakat pelajar yang gigih menuntut ilmu. Contohnya, masyarakat pelajar di Sekolah Menengah Sri Dian tempat Azfa Hanani melanjutkan pelajarannya dalam Tingkatan Lima Kenanga.
Masyarakat yang berpegang pada janji. Contohnya, Tengku Mazran berusaha sedaya upaya membantu sepupu Azfa Hanani mendapatkan rawatan bagi menyembuhkan penyakit lumpuhnya dengan menghantar Zuraini ke Indonesia.
Masyarakat yang sanggup menyamar untuk menelamatkan seseorang daripada menghadapi tekanan jiwa. Contohnya, Azfa Hanani sanggup menyamar menjadi Tengku Murni supaya Datin Maziah kembali pulih daripada tekanan perasaan sebagai akibat kematian anak perempuan tunggalnya.
Teknik Plot / Teknik Penceritaan
1. Pemerian
Pengarang memerihalkan perasaan Azfa Hanani sewaktu mula-mula tiba di rumah Datin Maziah.Contohnya , Begitu, aku terasa seperti berjalan di awang-awangan semasa mula- mula tiba di situ. Banglo itu terlalu besar,berganda – ganda kalau mahu dibandingkan dengan teratak buruk yang pernah kuhuni.
2. Dialog
Dialog antara Azfa Hanani dengan Ekran.Contohnya, “Saya nak Tanya satu pekara lagi. Abang Mus datang ke mari ni… ada kaitan dengan gerai burger Ran yang terbakar dulu ke ?” “ Saya tak perlu beritahu,sebenarnya. Setakat saya tahu dan Nani juga tahu, cukuplah,” jawab Ekran .
Teknik Penulisan
3. Imbas Kembali Afza Hanani teringat akan pak long, mak long, dan sepupu- sepupunya di kampung.Contohnya “Masakan mama memang sedap,” Aku menokok bersahaja kerana wajah Zahidin melintas di ruang mata.Dia akan kecur liur kalau sesekali mak long menggoreng ayam.dia akan makan nasi dengan sayur sahaja dahulu agar dapat meratah ayam goreng selepas itu.
4. Suspens Ketika Syafinaz memberitahu Azfa Hanani bahawa Datin Maziah sudah sedar dan dia mengajak Azfa Hanani turun menemui Datin Maziah. Azfa Hanani berdebar- debar semasa menuruni anak tangga. Pembaca tertanya-tanya tentang apakah reaksi Datin Maziah apabila melihat Azfa Hanani buat kali pertama.
Gaya Bahasa
i. Peribahasa. Contohnya, cempedak menjadi nangka, hidung tinggi, beraja di mata, bersultan di hati, melukut di tepi gantang, rusa masuk kampong, kais pagi makan pagi kais petang makan petang, serkap jarang, panjang tangan dan ke manalah tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi . i
i. Penggunaan bahasa Inggeris. Contoh, problem, special boyfriend, We go straight to the point.
iii. Simile. Contohnya, Mereka bagaikan kembar, dia seperti juara semasa perlumbaan motosikal 500 cc dunia, tapak kakiku seperti melekat di lantai simen dan aku umpama peragawati apabila diminta bergaya seperti Murni
iv. Sinkope. Contohnya, ku, ni, tu, tak, nak.
v. Metafora. Contohnya pintu ilmu, batas kemelut
vi. Penggunaan bahasa Arab . Contohnya Insya – Allah , Alhamdulillah
Gaya Bahasa
i. Nilai pengorbanan. Contohnya, Azfa Hanani sanggup berkorban dengan menerima tawaran Tengku Mazran untuk menyamar sebagai Tengku Murni demi menjaga kebahagiaan semua pihak termasuklah keluarga Pak Longnya dan keluarga Datuk Tengku Makmur.
ii. Nilai kegigihan dan tidak mudah berputus asa. Contohnya, walaupun Azfa Hanani berasal daripada keluarga miskin, namun dia tidak menjadikan kemiskinan itu sebagai alasan untuk tidak meneruskan persekolahan. Sebaliknya, dia gigih dan tekun belajar demi masa depannya dan keluarga pak longnya.
iii. Nilai kasih sayang. Contohnya, Datin Maziah amat menyayangi Tengku Murni/Azfa Hanani. Dia begitu menyayangi anak gadisnya sehingga tidak membenarkan Azfa Hanani menaiki has ke sekolah kerana bimbang akan keselamatannya.
iv. Nilai kerajinan. Contohnya, Ekran menjalankan perniagaan burger pada waktu petang dengan tujuan mencari duit poket bagi perbelanjaan hariannya, selain mempraktikkan segala teori yang telah dipelajarinya di sekolah.
v. Nilai kesyukuran. Contohnya, Azfa Hanani bersyukur kerana sepupunya, Zuraini dapat berjalan semula selepas mendapatkan rawatan di Indonesia dengan bantuan keluarga angkatnya.
Pengajaran
i. Kita hendaklah berkorban demi kebahagiaan orang lain. Contohnya, Azfa Hanani sanggup menerima tawaran Abang Mazran dan Kak Finaz untuk menyamar sebagai Tengku Murni semata-mata kerana tidak mahu Datin Maziah terus tertekan sehingga mengganggu kesihatannya. ii
. Dalam usaha untuk mencapai kejayaan kita perlu gigih berusaha dan tidak mudah berputus asa. Contohnya, Azfa Hanani sanggup berulang alik sejauh 30 kilometer semata-mata ingin melanjutkan pelajarannya dalam aliran sains.
iii. Kita janganlah bersikap sombong atas kekayaan dan pangkat yang ada. Contohnya, Tengku Muzaffar tidak dapat menerima hubungan adiknya, Tengku Murni dengan Ekran kerana menyangka Ekran berasal daripada keluarga yang miskin. Sebaliknya, Tengku Mazran begitu sederhana sifatnya walaupun berasal daripada keluarga elit.
iv. Kita hendaklah bersedia membantu orang yang memerlukan pertolongan. Contohnya, Abang Mazran bersusah payah mendapatkan rawatan bagi Zuraini yang lumpuh, sehingga akhirnya Zuraini dapat berjalan semula.
v. Kita hendaklah sentiasa bersikap sederhana dan merendah diri. Contohnya, Azfa Hanani sentiasa bersederhana dalam segala hal walaupun keluarga angkatnya adalah golongan yang elit dan berada.
vi. Kita hendaklah sedar akan asal usul kita. Contohnya, Azfa Hanani tidak pernah melupakan asal usulnya yang datang dari kampung serta berasal daripada sebuah keluarga yang miskin. Dia tidak pernah mengambil kesempatan atas kebaikan Abang Mazran ataupun Datin Maziah.
Kredit kepada : Cikgu Zainuddin