Fokus B.M. Peperiksaan Percubaan S.P.M. 2013- Karangan Mantap 1
CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Pujangga pernah mengatakan “generasi
berwawasan pemangkin pembangunan negara”. Sememangnya kata-kata ini tidak dapat
disangkal lagi. Apakah maksud di sebalik frasa generasi berwawasan itu?
Generasi bermaksud pewaris masyarakat yang bakal memimpin negara untuk
menstabilkan politik, memantapkan ekonomi dan mencapai kejayaan sosial. Wawasan
pula dapat kita takrifkan sebagai suatu matlamat untuk mencapai cita-cita negara
pada tahun 2020. Manakala jika kita gabungkan kedua-dua perkataan tersebut,
generasi berwawasan dapat kita definisikan sebagai golongan muda masa ini yang
akan menerajui negara pada masa akan datang dengan ciri-ciri kepimpinan dan
kewibawaan yang lengkap serta mantap demi mencapai misi dan visi negara untuk
menjadi negara maju selaras dengan sasaran dalam Wawasan 2020. Dewasa ini, isu
generasi berwawasan telah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat kita
saban hari pantas meniti dari bibir ke bibir. Isu generasi berwawasan menjadi
amat penting untuk diberi perhatian dan tumpuan yang sewajarnya. Hal ini demikian
kerana, generasi berwawasan merupakan generasi pelapis pemimpin masa hadapan.
Sebenarnya,
kelompok generasi berwawasan ini mempunyai banyak kepentingannya dalam
kehidupan seharian kita. Antaranya, negara tidak akan mundur dengan adanya
generasi yang berwawasan, mereka akan dapat memimpin negara dengan lebih
kreatif dan optimis. Generasi ini akan dapat mengatasi segala masalah negara
dengan lebih bijak. Selain itu, pembangunan negara juga akan menjadi lebih
pesat. Generasi berwawasan ini dapat menjamin masa depan negara yang baik dan
meningkatkan lagi ekonomi negara. Negara juga dapat berkembang maju dan nama
negara juga dapat diperkenalkan di persada dunia. Akan tetapi,dewasa ini, jika
kita menyoroti isu-isu semasa, terdapat pelbagai halangan untuk melahirkan
generasi berwawasan. Hal ini berlaku disebabkan beberapa faktor, antaranya
generasi kini kurang kawalan dan limpahan kasih sayang daripada ibu bapa. Hal
ini demikian kerana, ramai ibu bapa yang terlalu sibuk mengejar kemewahan
sehingga sanggup mengabaikan anak sendiri. Di samping itu, pemikiran generasi
kini masih belum matang dan mereka sentiasa mahu melakukan sesuatu tindakan
secara terburu-buru sehingga sanggup menjebakkan diri dalam kancah masalah
sosial. Oleh hal yang demikian, semua pihak perlu melangkah sederap untuk
membina satu kelompok generasi muda yang berkualiti demi merealisasikan misi
nasional negara iaitu menjadi negara maju menjelang tahun 2020.
Oleh
sebab hasrat murni kerajaan perlu dicapai sebaik sahaja kaki melangkah ke tahun
2020, maka remaja sendiri perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ciri dan
sifat mahmudah untuk mencapai misi negara itu seiring dengan panduan dan tunjuk
ajar daripada golongan dewasa. Untuk itu,generasi kita perlulah berpengetahuan
luas dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam pelbagai bidang. Sebagai contoh,
mereka perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan dari pelbagai
aspek, seperti ekonomi,politik dan sosial. Hal ini penting kerana apabila
seseorang itu mempunyai ilmu pengetahuan yang mencakupi semua bidang, mereka
akan dapat membuat penilaian dan keputusan yang bijak dan rasional. Golongan
ini juga perlulah menanamkan sifat tidak jemu dalam menimba ilmu pengetahuan
,bak kata pepatah ‘hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih’. Ilmu yang
diperoleh hendaklah dipraktikkan supaya tidak menjadi sia-sia sahaja. Rentetan
itu, generasi muda juga hendaklah berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat
bersaing secara sihat antara satu sama lain. Hal ini merupakan satu amalan yang
baik kerana selain dapat meningkatkan mutu prestasi kerja individu,amalan ini
juga dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia walaupun berlainan kaum.
Selain itu, bagi merealisasikan impian negara, generasi muda sekarang perlulah
mempunyai sifat keterbukaan. Hal ini demikian kerana apabila golongan ini
mempunyai sifat sedemikian, mereka lazimnya dapat menerima teguran dan
pandangan orang lain.
Dalam
nada yang serupa, generasi yang berwawasan turut memberi kesan kepada negara
kita. Kesan yang menjadi pokok kepada persoalan di sini ialah generasi
berwawasan dapat menjamin kestabilan politik. Mereka merupakan pendukung sistem
demokrasi berperlembagaan di Malaysia dan bertanggungjawab untuk mencapai
kestabilan politik melalui pilihan raya. Direnung dari aspek yang lain,
generasi berwawasan akan menerajui tampuk kepimpinan negara untuk mencapai mercu
kejayaan. Jika kita menyingkap dari aspek ekonomi pula, generasi yang
berwawasan dapat memantapkan ekonomi negara. Mereka juga memikul tanggungjawab
dan mempunyai matlamat untuk membangunkan ekonomi negara supaya Malaysia dapat
duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.
Seterusnya, generasi berwawasan juga dapat mencapai kejayaan sosial iaitu
kesejahteraan sosial. Generasi berwawasan akan menjadi pendukung untuk mencapai
perpaduan negara atau dengan kata lain mencapai integrasi nasional. Mereka
sentiasa mengamalkan sikap bertoleransi dan bertolak ansur demi mencapai misi
dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung
yakni satu bangsa, satu bahasa dan satu negara. Kita perlu mengetahui, jika kita
tidak mempunyai generasi yang berwawasan, sudah pasti negara kita akan mundur
dan porak peranda. Pelbagai masalah akan timbul dan masyarakat juga akan
berpecah belah. Maka, kita semua perlulah bersatu hati demi mewujudkan generasi
yang mempunyai wawasan untuk dijadikan pedoman hidup.
Secara tuntasnya, generasi berwawasan
sememangnya memberikan pelbagai maslahat kepada kita. Kita boleh menjadi
generasi berwawasan jika kita sentiasa berfikiran ke hadapan. Generasi muda
terutamanya golongan remaja perlulah sentiasa bermuhasabah dan membaiki
kelemahan diri ,bak kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna. Mereka merupakan tonggak negara yang bakal menerajui pucuk pimpinan
negara pada masa hadapan. Maka adalah menjadi suatu kewajipan bagi generasi
muda untuk menyiapkan diri dengan kemahiran dan skil-skil yang kontemporari
agar Malaysia dapat terus bersaing dengan yang lain. Akhirul kalam, generasi
berwawasan sememangnya merupakan tonggak pembangunan negara, maka kita semua
perlulah berusaha untuk menjadi generasi yang berwawasan demi menyerbakkan
keharuman nama negara kita di persada antarabangsa.
Fokus B.M. Peperiksaan Percubaan S.P.M. 2013- Karangan Mantap 2
PERANAN IBU BAPA DALAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Dalam
era globalisasi tanpa limitasi ini, negara Malaysia kini sedang pesat membangun
dari sehari ke sehari. Persoalannya, apakah faktor yang mendorong pembangunan
ini? Sebenarnya, pembangunan negara sejajar dengan pembangunan modal insan
kelas pertama yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi. Modal insan ini
lahir daripada generasi muda kita yang berwawasan tinggi. Generasi yang
berwawasan memiliki sikap-sikap positif seperti dinamik, proaktif, beriltizam
dan berdaya saing. Tetapi apakah pula rahsia pembentukan generasi berwawasan
yang mendukung pembangunan modal insan di negara ini? Dalam hal ini, keluarga
memainkan peranan dan tanggungjawab yang sangat penting untuk dipikul demi
merealisasikan hasrat negara untuk melahirkan lebih ramai modal insan yang
cemerlang dalam pelbagai aspek.
Generasi
hari ini merupakan pemimpin masa hadapan. Mereka mesti menyediakan diri dengan
ciri-ciri kepimpinan dan memantapkan ilmu serta kemahiran. Di sini jugalah
keluarga khususnya ibu bapa memainkan peranan untuk memimpin tangan dan
membantu anak mereka dalam mengharungi kehidupan dengan cara yang efektif
sekali. Hal ini demikian kerana keluarga merupakan pihak yang paling dekat
dengan anak-anak. Ibu bapa seharusnya menunjukkan teladan yang baik terhadap
anak-anak kerana segala perbuatan dan tingkah laku ibu bapa pasti akan diikut
oleh anak-anak mereka. ‘Di mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi’ merupakan
peribahasa yang relevan dengan isu ini. Sudah menjadi lumrah hidup manusia,
anak-anak sememangnya akan memperhatikan dan meniru gerak tari ibu bapanya.
Jika sumbang gerak tari ibu bapanya maka sumbanglah juga gerak tari mereka.
Justeru, ibu bapa perlu bersikap optimistik tidak kira dalam apa-apa keadaan
demi memastikan anak-anak sentiasa berada di landasan yang betul dan seterusnya
melahirkan anak yang sentiasa bersikap positif.
Selain
itu, ibu bapa turut memainkan peranan untuk mewujudkan suasana yang harmoni
dalam keluarga. Hal ini demikian kerana suasana yang harmoni dapat mengelakkan
anak-anak daripada terlibat dengan gejala negatif. Apabila suasana ini dapat
diwujudkan ikatan silaturahim antara keluarga akan lebih utuh. Hal ini
seterusnya dapat menggelakkan gangguan emosi dalam kalangan anak-anak dan
seterusnya membendung anak-anak daripada tergelincir dari landasan yang benar.
Setiap hari dalam dada akhbar kita dapat melihat bahawasanya remaja kini
kebanyakannya terlibat dengan masalah sosial yang menjadi-jadi bagai cendawan
tumbuh selepas hujan. Justeru, ibu bapa dan keluarga harus membimbing dan
memantau anak-anak supaya tidak terjebak ke dalam sesawang negatif dan
menghancurkan usaha untuk membina modal insan.Peribahasa Melayu ada mengatakan,
‘kepapaan menajamkan akal manusia, kekayaan menumpulkan akal manusia’.
Peribahasa ini memberi maksud yang sangat jelas bahawa ibu bapa tidak harus
melimpahkan kemewahan terhadap anak-anak kerana kemewahan dan kekayaan akan
menyebabkan anak-anak lalai dalam menjalani kehidupan. Sebaliknya anak-anak lebih
suka berfoya-foya dan mengabaikan tanggungjawab utama mereka iaitu menuntut dan
menimba ilmu. Sememangnya, ibu bapa harus bijak menguruskan kewangan anak-anak
mereka dan mendidik mereka bagi mengelakkan mereka tergolong dalam golongan
yang lalai dan rugi.
Di
samping itu, ibu bapa harus mengikuti perkembangan pembelajaran anak-anak dan
sentiasa memberi sokongan kepada mereka. Dalam hidup ini, setiap manusia yang
memperoleh kejayaan pasti pernah menemui kegagalan pada suatu ketika dahulu.
Dalam hal ini, jika anak-anak gagal dalam sesuatu perkara misalnya peperiksaan,
ibu bapa tidak seharusnya menghukum mereka sebaliknya memberi dorongan dan
menasihati mereka. ‘Pengalaman ialah ibu segala kejayaan’ merupakan peribahasa
Jepun yang sangat sesuai dengan isu ini. Sebaik-baiknya kegagalan yang pernah
dihadapi itu dijadikan pengalaman dan sejarah yang tidak boleh diulang kembali.
Jelaslah di sini bahawa, dorongan dan sokongan ibu bapa dapat mendidik
anak-anak untuk mengawal emosi mereka dan seterusnya membentuk modal insan yang
cemerlang dari aspek emosinya.Seterusnya, didikan agama merupakan aspek yang
paling penting bagi membentuk generasi yang bersih dari segi rohani dan
jasmani.
Dalam
hal ini juga ibu bapa ialah pihak yang bertanggungjawab untuk menerapkan
nilai-nilai agama dalam diri anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana dengan
pengetahuan agama yang menebal dalam diri, anak-anak dapat membezakan perkara
yang benar dan batil. Anak-anak juga lebih terdorong untuk melakukan kebaikan
dan secara tidak langsung dapat menyuntik semangat mereka untuk berusaha dengan
gigih demi mencapai matlamat. Perkara ini juga dapat membina disiplin diri
anak-anak dan melicinkan usaha untuk menambah bilangan modal insan dalam negara
kita.
Natijahnya, ibu bapa dan keluarga
memainkan peranan yang begitu penting dalam pembentukan modal insan dalam
kalangan anak-anak mereka. Bahawasanya, gabungan nilai-nilai murni, ilmu
pengetahuan dan kemahiran serta disiplin diri yang tinggi boleh melahirkan
generasi berwawasan yang menjadi akar kepada pembangunan modal insan kelas
pertama yang cemerlang dari aspek fizikal, mental dan emosi. Dalam hal ini,
ruyung perlulah dipecahkan untuk menikmati sagunya. Oleh itu, ibu bapa tidak
boleh berputus asa berusaha untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna
dalam masyarakat, bangsa dan agama serta membatu merealisasikan satu agenda
penting negara iaitu melahirkan generasi berwawasan yang menjadi penggerak
kemajuan negara.