Peperiksaan
Pertengahan Tahun 2013 - Karangan Pilihan SPM 1
CARA-CARA SESEORANG PELAJAR MENCAPAI
KEJAYAAN
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
(TEMA) Setiap manusia
yang hidup di muka bumi ini mengimpikan kejayaan dalam apa-apa jua bidang yang diceburi.
Kejayaan yang dicapai akan membawa kegembiraan dan kebahagiaan dalam
kehidupan kita. (ISU) Kejayaan Nik Nur Madihah dalam peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia pada tahun 2008 yang berjaya memperoleh 20A walaupun beliau
merupakan seorang anak tukang sapu dan nelayan bukanlah satu perkara yang
mustahil. Untuk mendapatkan kejayaan, usaha yang gigih amat diperlukan
kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
(ARAHAN) Persoalannya, apakah cara-cara yang sewajarnya dipraktikkan
oleh seorang pelajar untuk menjadi pelajar yang berjaya dalam pelbagai
lapangan?
(ISI 1) Cara perdana untuk menjadi pelajar yang cemerlang dalam
pelajaran ialah seseorang pelajar itu perlulah belajar bersungguh-sungguh untuk
cemerlang dalam bidang akademik. (HURAIAN - MENGAPA) Hal ini dikatakan
demikian kerana kejayaan dalam bidang kurikulum atau akademik merupakan satu
platform yang signifikan untuk menjejakkan kaki di menara gading dan
sekali gus merealisasikan cita-cita kita. (CONTOH – BAGAIMANA + UNGKAPAN)
Oleh itu, kita perlulah mengulang kaji pelajaran dengan bersungguh-sungguh
tanpa mengenal erti jemu kerana usaha itu tangga kejayaan.
Sesungguhnya, kejayaan itu tidak akan datang kepada manusia yang leka. (HURAIAN
CONTOH – KESAN) Dengan ini, pelajar yang cemerlang dalam bidang kurikulum
akan dapat dilahirkan dan masa depannya akan lebih cerah. (PENEGAS) Tegasnya, kejayaan seseorang
pelajar dapat dicapai melalui kesungguhannya dalam bidang kurikulum.
(ISI 2) Usaha yang seterusnya untuk mencapai kejayaan bagi seseorang
pelajar adalah dengan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum. (HURAIAN
– MENGAPA) Aktiviti kokurikum dapat mendedahkan pelbagai
kemahiran kepada seseorang pelajar dan membentuk disiplin para pelajar. (CONTOH
– BAGAIMANA) Sebagai contohnya, badan beruniform pengakap sering
mengadakan aktiviti berkawad dan perkhemahan untuk meningkatkan kemahiran
sosial dan tahap disiplin mereka. (HURAIAN CONTOH – KESAN + UNGKAPAN)
Ekoran daripada aktiviti-aktiviti seumpama ini, pelajar akan menjadi lebih
berdisiplin dan dapat bekerjasama antara satu sama lain bagai aur dengan
tebing untuk memburu kejayaan. (PENEGAS) Pendek kata,
penglibatan aktif para pelajar dalam bidang kokurikulum dapat menjana kejayaan
mereka di samping melahirkan insan yang holistik.
(ISI 3) Jika kita lihat dari perspektif yang berbeza, pelajar yang ingin
kejayaan perlulah sentiasa menjaga sahsiah diri dan disiplin diri. (HURAIAN
– MENGAPA) Pelajar yang bertingkah laku positif akan sentiasa
memastikan dirinya tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang negatif yang
akhirnya akan menjejaskan pelajarannya. (CONTOH – BAGAIMANA) Oleh itu,
mereka akan sentiasa berpegang teguh dengan ajaran agama dan tidak akan
sekali-kali melanggar peraturan sekolah seperti ponteng sekolah dan terlibat
dalam kes buli. (HURAIAN CONTOH – KESAN) Rentetan daripada itu, maruah
pelajar tidak akan tercemar dan akan sentiasa dihormati oleh orang lain. (UNGKAPAN
MENARIK) Bukan itu sahaja, usahanya untuk memburu kejayaan juga tidak akan
menjadi angan-angan Mat Jenin. (PENEGAS) Izharlah bahawa
pelajar yang sentiasa menitikberatkan penjagaan maruah dan disiplin diri
akan beroleh kejayaan yang diimpikan.
(PENUTUP - KESIMPULAN ISI-ISI) Sudah terang lagi bersuluh bahawa
terdapat beberapa cara yang perlu dipraktikkan oleh seseorang pelajar yang
ingin mengecapi kecemerlangan. Ingatlah kata orang tua-tua bahawa kalau
tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya kerana di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan. (CADANGAN) Oleh itu, setiap pelajar yang
menginginkan kejayaan perlulah mengatur langkah yang efektif dan pragmatik dan
tidak mengamalkan sikap bertangguh kerana bertangguh itu pencuri masa.
Ibu bapa juga perlulah sentiasa menjadi tulang belakang kepada
kejayaan anak-anak dengan memberikan sokongan dan dorongan kepada anak-anak
mereka untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. (HARAPAN) Semoga
kejayaan para pelajar di negara kita ini dapat melahirkan generasi muda
berminda kelas pertama yang cemerlang, gemilang dan terbilang untuk bersaing
dengan negara lain di pentas global.
Kredit kepada : Puan Anelyza
Peperiksaan
Pertengahan Tahun 2013 - Karangan Pilihan SPM 2
PUNCA-PUNCA MASALAH OBESITI
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
(TEMA) Obesiti dapat ditakrifkan sebagai
seseorang yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Dalam erti kata lain,
obesiti ialah badan yang tidak ideal dengan ketinggian. (ISU) Pada zaman
yang semakin pesat dengan revolusi perindustrian seperti cendawan yang
tumbuh selepas hujan, semakin banyak remaja yang menghadapi masalah
obesiti. Kebanyakan remaja pada zaman sekarang kurang menjaga bentuk atau
fizikal badan mereka. Fenomena ini terjadi kerana para remaja suka makan
makanan segera yang tinggi dengan kalori. Remaja menganggap bahawa obesiti
sebagai satu fenomena biasa. Buktinya, Institut Jantung Negara (IJN) dalam
kajiannya pada tahun 2007 melaporkan bahawa 60 peratus remaja telah menghidap
penyakit jantung pada tahun tersebut. Sepatutnya, setiap individu perlu
berpegang teguh serta mengamalkan cogan kata yang berbunyi badan sihat,
otak cerdas. (ARAHAN) Persoalannya, apakah punca-punca masalah
kegemukan dalam kalangan remaja yang semakin mewabak pada era ini?
(ISI 1) Punca masalah obesiti dalam kalangan remaja semakin merebak pada
masa ini ialah para remaja tidak mempraktikkan amalan pemakanan seimbang. (HURAIAN
– MENGAPA) Pada zaman revolusi perindustrian ini, banyak syarikat makanan
segera yang berkalori tinggi dan berlemak tinggi. Bagi ibu bapa yang bekerja,
mereka senang dan gembira dengan perkembangan perindustrian makanan segera ini
kerana mereka tidak sempat menyediakan makanan untuk anak-anak lantaran
berkejar-kejar ke tempat kerja. (CONTOH – BAGAIMANA) Jadi, anak-anak
dibekalkan dengan makanan segera seperti sosej, nuget, burger dan sebagainya.
Senario ini dapat dibuktikan apabila pensyarah dari Unit Makanan dan Kesihatan
Universiti Malaya telah membuat bancian mengenai gaya pemakanan harian bagi
remaja. Hasilnya, sebanyak 70 peratus remaja yang ibu bapanya bekerja terpaksa
mengambil makanan segera sebagai makanan harian. (UNGKAPAN MENARIK)
Jelaslah bahawa ibu bapa pada zaman ini lebih mengutamakan hal-hal lain
daripada anak sendiri ibarat anak kera di hutan disusui, anak di rumah
mati kelaparan. (PENEGAS) Tuntasnya, remaja zaman ini yang tidak
mengamalkan pemakanan seimbang telah menatijahkan obesiti dalam kalangan
mereka.
(ISI 2) Punca lain bagi masalah kegemukan dalam kalangan remaja kini
ialah mereka tidak bersukan dan beriadah. (HURAIAN – MENGAPA) Fenomena
ini terjadi kerana mereka leka dengan hiburan daripada kaca televisyen dan
corong-corong radio, lebih selesa tidur malah sikap mereka sendiri yang malas
untuk bersukan atau beriadah. Remaja yang malas juga tidak suka bersukan
mahupun bersosial dengan masyarakat luar. Remaja lebih gemar melakukan aktiviti
yang langsung tidak mendatangkan faedah. (CONTOH – BAGAIMANA) Buktinya,
kita sering melihat remaja kini lebih cenderung melepak, merokok, merayau-rayau
dan sebagainya. Mereka berpelesiran ke sana dan ke sini seperti tiada arah
tujuan. (HURAIAN CONTOH – KESAN) Sikap ini tentulah tidak mendatangkan
kesedaran kepada para remaja untuk menjaga kesihatan diri. (PENEGAS)
Pendek kata, jelaslah bahawa remaja yang kurang gemar bersukan dan beriadah
telah menyumbang kepada masalah obesiti yang melanda Malaysia pada alaf baharu
ini.
(ISI 3) Punca lain tercetusnya masalah kegemukan dalam kalangan remaja
juga adalah kerana sikap remaja itu sendiri. (HURAIAN – MENGAPA) Sikap
remaja yang tiada pendirian dan suka terpengaruh menyebabkan mereka suka
mengambil makanan ringan. Bukan itu sahaja, remaja juga tidak mempunyai ilmu
pengetahuan tentang implikasi yang bakal dihadapi oleh mereka jika terlalu
banyak mengambil makanan yang berlemak serta berkalori tinggi yang akhirnya
akan mengundang penyakit obesiti. Mereka terlalu mengikut hawa nafsu. (CONTOH
– BAGAIMANA) Apabila syarikat pengeluar makanan segera mencipta produk
baharu, mereka akan mengiklankan produk itu kepada orang awam. (HURAIAN
CONTOH – KESAN & UNGKAPAN) Cara ini telah menyebabkan remaja
terpengaruh oleh iklan-iklan yang yang indah khabar daripada rupa.
Unit Psikologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah menyatakan
bahawa remaja sekarang kurang kesedaran terhadap kesihatan diri mereka. (PENEGAS)
Ringkasnya, sikap remaja itu sendiri akan mengundang masalah obesiti.
(ISI 4) Kegemukan dalam kalangan remaja juga berpunca daripada sikap ibu
bapa yang kurang menjaga pemakanan anak-anak mereka. (HURAIAN – MENGAPA
& UNGKAPAN) Ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak bagai menatang
minyak yang penuh sehingga mengikut telunjuk mereka. Apabila anak-anak
hendak makan apa-apa pun, ibu bapa akan memberikannya walaupun makanan tersebut
tidak berkhasiat dan kurang sesuai dengan tumbesaran anak-anak mereka. (CONTOH
– BAGAIMANA) Ibu bapa akan memenuhi hasrat anak-anak yang ingin makanan
segera seperti yang terdapat di Restoren McDonald, Pizza, KFC dan lain-lain
lagi. (HURAIAN CONTOH – KESAN) Unit Kesihatan dari Hospital Universiti
Malaya telah membuat kajian mengenai ayam goreng di KFC bahawa ayam tersebut
mengandungi garam yang tinggi, lemak yang tinggi serta berkalori tinggi yang
mengundang sahaja mengundang obesiti malah turut mengundang penyakit kronik
yang lain. (PENEGAS) Konklusinya, kegemukan dalam kalangan remaja
bertitik-tolak daripada sikap ibu bapa yang kurang menjaga pemakanan anak-anak
mereka sejak kecil lagi.
Kredit kepada Puan Aneylza
Peperiksaan
Pertengahan Tahun 2013 - Karangan Pilihan SPM 3
LANGKAH MENGATASI MASALAH DISIPLIN PELAJAR
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Rata-rata
masyarakat hari ini sedang kebingungan dengan fenomena keruntuhan akhlak dan
masalah disiplin dalam kalangan pelajar.Pelbagai persoalan ditimbulkan.Apakah
pihak sekolah selaku institusi pendidikan gagal menangani masalah ini ? Bagaimanakah
pula peranan ibu bapa dan keluarga atau kesilapan ini berpunca daripada
masyarakat hari ini yang umpama 'enau dalam belukar,melepaskan pucuk
masing-masing'?
Segala
persoalan akan terjawab dengan mengkaji dan menilai kembali pengertian sebenar
konsep pendidikan,tujuan dan peranannya terhadap pembangunan insan dalam
sesebuah masyarakat dan negara. Di samping itu, institusi keluarga dan
masyarakat perlulah peka terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Tanpa
menuding jari ke arah mana-mana pihak,semua patut insaf betapa kemerosotan
disiplin ini menandakan ada kesilapan pada bahagian tertentu pendidikan secara
formal atau tidak formal.Pihak ibu bapa janganlah menyalahkan pihak sekolah dan
pihak sekolah pula tidak patut menuding jari itu adalah kesilapan ibu bapa.Setiap
insan sepatutnya bertanggungjawab dalam membendung gejala ini tanpa kompromi.
Semasa
di sekolah guru-guru perlulah melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh minat
dan keperibadian yang luhur untuk memastikan kejayaan proses pendidikan.
Guru-guru janganlah sekadar melepaskan batuk di tangga dalam proses pendidikan
ini.Pelajar-pelajar sukar menerima ilmu dan mencontohi guru yang tidak
serius,apatah lagi yang boleh dipertikaikan peribadi dan akhlaknya walaupun
dalam perkara yang dianggap remeh,seperti menghisap rokok dan tidak masuk ke
kelas untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.
Dalam konteks yang tidak formal pula ibu bapa perlulah memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak mereka.Bayangkanlah konflik jiwa anak-anak jika ibu bapa setiap hari menghantar anak-anak ke kelas fardu ain tetapi anak mengetahui ibu bapanya tidak pernah sembahyang.Selain itu ibu bapa tidak pernah menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak baik dari segi perbuatan,pakaian mahupun dari segi percakapan.Fikirlah wahai ibu bapa sekalian, anak-anak ibarat kain putih jika kita tidak mencorakkan dengan cantik begitulah keadaannya yang berlaku.
Masalah disiplin ini bukan sahaja berpunca daripada sistem pendidikan kita sahaja. Banyak sifat negatif berakar umbi daripada pendidikan dalam keluarga, terutamanya keluarga yang porak peranda dengan seribu satu masalah. Kegagalan seperti ini perlu dibedah siasat supaya barah ini tidak terus merebak dan menjadi bertambah serius.Masyarakat dan persekitaran juga memainkan peranan yang penting dalam menyumbang ke arah masalah ini.Sikap masyarakat kini yang terlalu mementingkan materialistik dan masing-masing membuat hal sendiri menjadikan penyakit ini bertambah menular.Masyarakat yang berasa itu bukan anak dia,bukan saudara dia, yang menyebabkan kita sukar untuk membendung masalah disiplin dalam kalangan pelajar.
Selain itu, faktor ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak juga menyebabkan masalah ini semakin membengkak.Ibu bapa yang terlalu menatang anaknya bagai minyak yang penuh menyebabkan guru-guru sukar untuk membentuknya.Sekiranya guru memukul anak-anak mereka, ibu bapa terus datang ke sekolah dan menyalahkan guru tanpa diusul periksa. Fenomena ini menyebabkan guru-guru takut untuk menegur atau mendisiplinkan pelajar kerana bimbang ibu bapa akan datang menyerangnya di sekolah.
Jika
berlaku keadaan yang sedemikian siapakah lagi yang patut dipersalahkan ? Barah
ini yang hanya menunggu masa sahaja perlulah dibedah siasat dengan segera
berdasarkan pertimbangan terhadap pelbagai faktor seperti keperibadian
guru,kesahihan sistem pendidikan, ibu bapa dan keprihatinan masyarakat. Penilaian
yang sahih dan saksama dengan mengenepikan unsur sentimen dan prejudis bakal
membuka ruang ke arah penyelesaian yang lebih konkrit.
Keseluruhannya,
dapatlah dikatakan bahawa masalah disiplin pelajar adalah tanggungjawab bersama. Oleh itu, semua pihak harus menghentikan pertikaian siapakah yang
bertanggungjawab.Sebaliknya mereka mesti tepuk dada tanya selera, adakah mereka
telah menunaikan kewajipan dengan sepenuh hati mengikut kehendak agama, ataupun
sekadar memenuhi tuntutan hidup semata-mata ? Fikirkanlah,semoga penyelesaian
yang baik dapat dicari agar benang yang kusut dapat diurai.
Kredit kepada Puan Hasanah
Peperiksaan
Pertengahan Tahun 2013 - Karangan Pilihan SPM 4
KEBAIKAN 1MURID 1SUKAN
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Dasar 1 Murid 1 Sukan mewajibkan
setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar
ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk
melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan
menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini selaras dengan
Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat dan
hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan untuk
Semua dan Sukan untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan untuk Semua
adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan semua
murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan
berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat
Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh
pihak sekolah. Oleh halyang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan
adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang
sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat Yang
Amat Berhormat Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Terdapat
pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi
kepentingan bersama.
Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang
menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju
dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang
bersahsiah unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan
secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai
murni dalam kalangan murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk
membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam
sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid
berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib
mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S
diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan,
Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun
murid-murid prasekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini
berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan mahu membina
dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui sukan.
Tegasnya, modal insan yang syumul dan holistik dapat dilahirkan melalui dasar
ini.
Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memupuk budaya bersukan dalam kalangan
murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat
dan cergas kerana badan sihat otak cerdas. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan
kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri semula jadi murid dalam
aktiviti fizikal. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan sedar semakin
banyak rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu
sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang
menghidap masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario
ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan menghidap
pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011,
dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak mengidap obesiti dalam
kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu,
tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada
masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas
sepanjang masa. Izharlah bahawa amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk melalui
dasar ini.
Jika kita
singkap dari perspektif yang berbeza, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya untuk
memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat
antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara lain di
dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat
majmuk selama 55 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak
harus alpa akan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang
berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu adalah melalui sukan.
Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu
aktiviti sukan. Semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa
mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan
dan bergaul sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Dengan ini mereka
akan memahami budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh,
Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan
rakyat Malaysia.
Seperkara lagi, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan keseimbangan antara
keperluan akademik dengan keperluan fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses
kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan
khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid pada zaman ini
lebih cenderung menjadi ulat buku kerana terlalu mementingkan kecemerlangan
dalam bidang akademik. Mereka beranggapan bahawa aktiviti sukan hanyalah
membuang masa mereka sahaja. Persepsi seperti itu perlu dikikis dari kamus
kehidupan mereka kerana mereka perlu memperuntukkan masa untuk melakukan
kecergasan fizikal seperti bermain bola sepak, berenang, menyertai acara
balapan dan sebagainya demi kebaikan mereka. Kata orang, otak yang sihat datang
dari badan yang cergas. Dengan memiliki badan yang sihat, murid-murid dapat
fokus pada pelajaran mereka. Mereka dapat menjana idea yang bernas dan mampu
berfikir secara kreatif dan kritis. Secara implisitnya, murid akan beroleh
kejayaan dalam bidang akademik mereka. Pendek kata, murid dapat mencapai
keseimbangan antara kejayaan akademik dengan kejayaan sukan melalui Dasar 1
Murid 1 Sukan yang diperkenalkan ini.
Pada
masa yang sama, Dasar 1 Murid 1 Sukan juga berupaya untuk mewujudkan landasan
ke arah kecemerlangan sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid
yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Murid
boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang
ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan
pihak sekolah. Pada masa ini, sukan merupakan salah satu aktiviti penting.
Ahli-ahli sukan yang berjaya akan dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung
dan dipuja serta mampu meraih pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan
sahaja mampu menyumbang kepada pendapatan negara malahan menjadi duta kecil
untuk menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Kejayaan beberapa orang
ahli sukan negara kita seperti Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan
sebagainya dalam bidang sukan seharusnya diteruskan.Sesungguhnya, usaha untuk
memartabatkan arena sukan negara ke persada antarabangsa dengan kelahiran jaguh
sukan negara yang digeruni dapat dicapai menerusi dasar ini.
Bulan
semakin terang, bayang kian jelas bahawa Dasar 1 Murid 1 Sukan banyak
membawa kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua
pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua
aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1
Murid 1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1
Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan
akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap sambalewa atau sekadar
melepaskan batuk di tangga. Namun begitu, sokongan daripada ibu bapa juga
penting untuk menjayakan dasar ini kerana bertepuk sebelah tangan takkan
berbunyi. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang
cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti dan
bukannya angan-angan Mat Jenin. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepohon
terus menghijau dan biarlah sukan di Malaysia terus maju untuk bersaing di
peringkat global agar Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
dengan negara-negara lain di persada antarabangsa.
Kredit kepada : Puan Anelyza
Peperiksaan
Pertengahan Tahun 2013 - Karangan Pilihan SPM 5
PERANAN IBU BAPA MEMUPUK MINAT MEMBACA DALAM DIRI ANAK-ANAK
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Ayat
pertama dalam kitab Al - Quran ialah Iqra, bermaksud “Bacalah Kamu”. Amalan
membaca merupakan satu amalan yang mulia. Membaca amat penting dalam membentuk
masyarakat berilmu. Setiap anggota masyarakat harus menjadikan membaca sebagai
satu amalan. Dalam hal ini, ibu bapa perlu berusaha untuk mewujudkan keluarga
berilmu dengan menyemai minat membaca dalam kalangan anak-anak.
Salah
satu usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa dalam memupuk minat membaca dalam
diri anak-anak adalah dengan membawa anak-anak ke perpustakaan. Amalan ke
perpustakaan akan menanam perasaan cinta dan sayang akan buku. Sebagai contoh,
ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam pada setiap hujung
minggu atau semasa cuti sekolah. Di sini, anak-anak boleh memilih pelbagai buku
yang digemari. Lantas, anak-anak akan gemar membaca buku seumur hidup.
Selain
itu, ibu bapa boleh mewujudkan perpustakaan mini di rumah. Perpustakaan ini
dapat dijadikan tempat menyimpan buku dan majalah. Malahan, boleh menjadi
tempat anak-anak membaca dan belajar. Perpustakaan mini di rumah mestilah
dilengkapi dengan buku-buku yang bersesuaian dapat menarik minat anak-anak
untuk membaca. Sebagai contoh, majalah, buku cerita dan surat khabar. Ruang
perpustakaan ini juga mestilah dalam keadaan selesa. Lantaran itu, ibu bapalah
memainkan peranan yang sangat penting dalam mendidik anak-anak mereka agar
gemar membaca buku ketika berada di rumah.
Di
samping itu juga, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh teladan yang baik untuk
dicontohi oleh anak-anak mereka.Tidak dapat dinafikan, contoh teladan yang baik
daripada ibu bapa mempengaruhi jiwa dan minda anak-anak. Sebagai contoh, sikap
gemar membaca surat khabar, majalah, buku dan sebagainya patutlah diamalkan
oleh ibu bapa dalam mengisi masa lapang. Lama-kelamaan, tabiat ini akan menjadi
ikutan anak-anak. Bak kata peribahasa Melayu bagaimana acuan, begitulah
kuihnya. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu menunjukkan contoh terbaik
untuk dicontohi anak-anak.
Tambahan
pula, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke pameran buku. Sehubungan dengan hal
itu, ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mengunjungi kedai buku ketika pergi
ke pusat beli-belah. Dengan mengunjungi tempat-tempat tersebut, minat mereka
untuk membaca akan dapat ditingkatkan, Di samping itu, mereka akan dapat
mempelajari cara memilih bahan-bahan bacaan yang sesuai. Bahan bacaan yang
dijual adalah berkualiti. Harganya pula adalah berpatutan. Natijahnya, ibu bapa
yang membawa anak-anak ke pameran buku atau kedai buku sebenarnya membawa
kepada mewujudkan budaya suka membaca dalam kalangan ahli keluarganya.
Seterusnya,
ibu bapa juga boleh menghadiahkan buku kepada anak-anak. Ibu bapa perlu
memberikan hadiah atau ganjaran kepada anak-anak apabila anak-anak berjaya
dalam peperiksaan dan sempena hari kelahiran. Anak-anak akan berasa gembira
kerana kejayaannya dihargai oleh keluarga mereka. Hadiah berbentuk buku lebih
sesuai untuk anak-anak. Ibu bapa boleh membelikan buku berbentuk pelajaran,
novel ataupun komik mengikut kesesuaian umur. Amalan ini sepatutnya diterapkan
sejak kecil lagi dalam kalangan anak-anak. Bersesuaian dengan peribahasa
Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Kredit kepada En.Subra
Peperiksaan
Pertengahan Tahun 2013 - Karangan Pilihan SPM 6
CARA-CARA MENYAYANGI SEKOLAH (SEKOLAH PENYAYANG)
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Sekolah
merupakan institusi yang diwujudkan untuk menyediakan pendidikan berkualiti
bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan
intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan yang disediakan
kepada anak-anak di sekolah mampu menyediakan modal insan yang berilmu
pengetahuan. Hal ini selari dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri
Mohd Najib Tun Abdul Razak yang berazam untuk menyediakan pendidikan yang
berkualiti kepada anak-anak agar mereka mampu bersaing dalam dunia globalisasi
yang semakin mencabar kini. Hasrat ini dapat direalisasikan jika murid-murid
menunjukkan rasa sayang akan sekolah masing-masing. Pada pendapat saya,
pelbagai cara boleh dilakukan oleh murid-murid untuk menyayangi sekolah.
Seseorang
murid menunjukkan rasa sayang akan sekolah jika mereka tidak merosakkan harta
benda yang disediakan. Harta benda sekolah seperti meja, kerusi, tandas,
telefon, peralatan sukan dan sebagainya perlu dijaga dengan baik. Hal ini kerana
harta benda sekolah merupakan aset negara yang perlu dikongsi secara bersama
dengan murid-murid lain selain memerlukan bajet yang tinggi untuk
menyediakannya. Jika murid-murid melakukan vandalisme, iaitu merosakkan harta
benda sekolah, kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan lain untuk membaiki
kerosakan tersebut. Hal ini sudah tentu akan merugikan kerajaan kerana
peruntukan yang disalurkan untuk sektor lain terpaksa diambil untuk membaik
pulih kerosakan tersebut. Sebagai buktinya, YB Dr. Mohd Puad Zarkashi
merangkap Timbalan Menteri Pelajaran telah memaklumkan bahawa kerajaan terpaksa
membelanjakan sejumlah RM12.5 juta pada tahun lalu untuk membaiki kerosakan
harta benda sekolah. Keadaan ini sangat mendukacitakan kerana peruntukan
tersebut sepatutnya boleh disalurkan untuk menyediakan kemudahan lain kepada
murid agar mereka dapat belajar dengan sempurna. Jadi jelas menunjukkan bahawa
menjaga harta benda sekolah dengan baik merupakan cara yang boleh ditunjukkan
oleh murid sebagai tanda menyayangi sekolah.
Selain
itu, murid-murid juga boleh menunjukkan rasa sayang akan sekolah dengan cara
mematuhi peraturan sekolah. Peraturan yang digubal oleh pihak sekolah adalah
untuk mendidik murid supaya berdisiplin dan menjadi insan yang sempurna.
Segelintir murid menganggap peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah adalah
untuk menyekat kebebasan mereka sebagai orang muda. Mereka menganggap jiwa
remaja tidak harus disekat dan mereka bebas untuk melakukan sesuatu bagi
memenuhi tuntutan remaja. Tanggapan sedemikian adalah salah kerana peraturan
yang digubal mampu membina jati diri murid yang kukuh. Peraturan yang dirangka
oleh pihak sekolah sebenarnya adalah untuk memudahkan pengurusan murid serta
mengelakkan murid terlibat dengan salah saku disiplin kerana boleh menjejaskan
proses pembelajaran di dalam kelas. Sebagai contoh, jika pelajar bergaduh
di asrama dan kes tersebut tersebar di akhbar, sudah tentu murid tersebut akan
dikenakan tindakan disiplin seperti gantung persekolahan atau buang sekolah.
Kes tersebut secara tidak langsung telah menggelapkan masa depan murid
dan pada masa yang sama telah mencemarkan nama baik sekolah. Oleh itu,
murid-murid perlu mematuhi peraturan supaya nama baik sekolah dapat dijaga
sekali gus menunjukkan rasa sayang pada sekolah.
Di
samping itu, menaikkan nama sekolah di pentas nasional dan antarabangsa juga
merupakan cara yang boleh ditunjukkan untuk menyayangi sekolah. Selain
bertanggungjawab menjaga nama baik sekolah, murid-murid juga perlu menaikkan
nama sekolah dengan kejayaan-kejayaan sama ada dalam bidang kurikulum atau
kokurikulum. Kejayaan-kejayaan yang ditempa oleh pelajar dapat menaikkan imej
sekolah pada kaca mata komuniti. Sekolah lain akan datang melawat untuk
melihat kejayaan-kejayaan yang telah dicapai. Lebih manis lagi, sekolah akan
diberikan anugerah oleh pihak kementerian atas kejayaan yang diraih. Sebagai
contoh, kejayaan Mohd Ammar Mokhtar mewakili negara ke Cape Town, Afrika
Selatan dalam pertandingan berkaitan dengan neurologi telah menaikkan nama
Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra di pentas antarabangsa.
Kejayaan Mohd Ammar itu menyebabkan Sekolah Menengah Sains Tengku
Muhammad Faris Petra telah dipilih sekolah angkat Universiti Sains Malaysia
(USM) sebagai jaringan dengan institusi pengajian tinggi. Jadi, sudah
terang lagi bersuluh bahawa pelajar boleh menunjukkan cara menyayangi sekolah
mereka dengan cara menaikkan nama sekolah.
CATATAN:
Tajuk-tajuk karangan pilihan dan karangan contoh yang diberikan di atas hanya sebagai rujukan sahaja. BUKAN SOALAN RAMALAN. Peperiksaan Pertengahan Tahun merupakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Justeru, pelajar diminta kaji semua tajuk lain yang telah dibincang dalam sidang tutorial. Yang Mahakuasa akan sentiasa bersama anda.
Dengan Iringan Doa,
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN