06 May 2012
FOKUS BM SPM : Peperiksaan Pertengahan Tahun 2012
KARANGAN MANTAP S.P.M. 1 - FOKUS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN
TAHUN 2012
Tutor
B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
PEMBUANGAN BAYI
Pembuangan
bayi biasanya melibatkan golongan remaja yang bertindak terburu-buru ketika
mengambil tindakan. Kemelut yang semakin serius ini bagaikan bangkai
gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyiru lagi apabila akhbar-akhbar
perdana negara sering memaparkan kejadian ini dalam akhbar mereka dengan begitu
meluas tanpa segan-silu. Hal ini bukan sahaja menyusahkan pelbagai pihak malah
imej negara kita akan tercalar. Jadi, sebelum mencari jalan penyelesaiannya,
kita perlulah mengenal pasti sebab musabab yang menjadi akar umbinya sebelum
kemelut ini menjadi barah kerana kalau tiada angin masakan pokok
bergoyang.
Kemelut
ini berlaku lantaran kurangnya didikan agama
dalam kalangan remaja kita. Kekurangan ini mungkin akibat kekurangan didikan
dan perhatian ibu bapa serta impak kemodenan yang melanda negara kita. Remaja
kita tidak mempunyai pegangan agama yang tebal dan mudah dipengaruhi oleh
desakan seksual mereka itu. Tanpa didikan agama yang teguh, mereka tidak dapat
membezakan sesuatu perbuatan mereka itu betul atau salah dan tidak dapat
membezakan antara hak dengan batil. Hal ini dapat dilihat apabila remaja
perempuan mudah terlibat dalam kancah perzinaan sedangkan berzina itu haram di
sisi agama. Kesannya, banyak anak luar nikah yang lahir dan akhirnya bayi yang
tidak berdosa itu dibuang demi menutup malu perbuatan remaja yang goyah
imannya. Jadi, didikan agama yang kurang mantap menyebabkan masalah ini kian
meruncinng.
Selain
itu, isu ini turut berleluasa kerana institusi
kekeluargaan itu sendiri sudah runtuh. Sudah menjadi kebiasaan kini
sesebuah keluarga itu tidak mempunyai ayah atau ibu untuk mendidik. Ketiadaan
ini menyebabkan tanggungjawab mendidik anak tidak menjadi satu keperluan yang
harus dipenuhi dengan baik. Menurut kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat
bahawa 50 peratus masalah sosial remaja berpunca daripada keluarga yang porak
peranda. Ibu atau bapa yang tunggal sering sibuk mencari tuntutan
nafkah untuk menyara kehidupan keluarganya. Lantaran itu, mereka telah
mengabaikan tanggungjawab hakiki mereka dalam mendidik dan memantau setiap
perlakuan anak mereka. Pengabaian ini akhirnya mengundang padah apabila anak
mereka terlibat dalam perbuatan yang sumbang. Sesungguhnya, keadaan inilah yang
menyebabkan masalah pembuangan bayi menjadi-jadi.
Sikap masyarakat yang terlalu suka menghukum turut menjadi penyebab pembuangan bayi ini berlaku. Kita
suka menganggap bahawa wanita yang mengandung tanpa suami ini sebagai melakukan
kesalahan tanpa menimbang keadaan yang menjurus kemelut itu berlaku. Mungkin
ada antara mereka yang mengandung disebabkan tindakan manusia yang durjana
sehingga sanggup merogol gadis yang tidak berdosa. Dalam hal ini, wajarkah
remaja itu dipersalahkan oleh perbuatan manusia yang tidak berhati perut itu?
Sememangnya kita harus bersimpati terhadap mereka tetapi keadaan menjadi lebih
rumit apabila terdapat segelintir daripada ahli masyarakat kita yang lebih suka
menunding jari kepada sesetengah remaja tanpa meneliti punca yang menjadi
permasalahan ini. Malangnya, masih terdapat pemikiran masyarakat yang kolot
lalu menyebabkan remaja tidak mempunyai tempat untuk mengadu masalah mereka
sehingga sanggup membiarkan anak mereka berada di tempat yang tidak sepatutnya
daripada dipandang jijik oleh masyarakat. Tegasnya, sikap masyarakat seumpama
ini merupakan pemangkin gejala ini.
Arus kemodenan terutama melalui media massa telah menyemarakkan masalah ini. Program dari Barat yang
mengaitkan kebebasan dalam pergaulan telah menyebabkan remaja mudah
terpengaruh. Kehidupan moden sering dikaitkan dengan hubungan seksual yang
bebas. Remaja yang baru berumur setahun jagung dan berdarah setampuk
pinang sering dikuasai oleh perasaan ingin mencuba pasti akan meniru
aksi-aksi atau adegan-adegan panas yang terdapat dalam filem Barat bagi
memuaskan nafsu mereka. Mereka tidak lagi berasa takut ketika melakukan perkara
yang terkutuk itu asalkan nafsu berahi mereka dapat dipenuhi. Lantaran itu,
masalah ini terus menerus menjadi sesuatu yang lumrah dan menjadi darah
daging dalam hidup mereka. Sebagai akibatnya, lahirlah anak luar nikah
dan masalah pembuangan bayi semakin sukar dikawal lantaran ingin menutup rasa
aib atas perbuatan ibu bapa yang masih remaja itu.
Sebelum
kudis menjadi tokak,
kemelut remaja ini haruslah diatasi segera. Kita tidak seharusnya mendopang
dagu tetapi pelbagai pendekatan yang proaktif perlulah diambil demi menangani masalah
ini kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Satu daripada langkah yang
perlu dilaksanakan ialah semua lapisan masyarakat
hendaklah diberi pendidikan keibubapaan melalui pelbagai program.
Pendidikan ini bertujuan memberikan buah fikiran mengenai perkahwinan yang sah
kepada rakyat. Melalui cara ini, orang ramai akan menjadi lebih berhati-hati
supaya tidak melakukan perbuatan sumbang. Perkara ini harus ditekankan kepada
seluruh rakyat Malaysia terutamanya para remaja. Sebagai contohnya, program pendidikan
keibubapaan perlu diadakan untuk mendidik remaja tentang perkara yang perlu
diamalkan dalam kehidupan berkeluarga. Tegasnya, orang ramai perlu diberi
kesedaran tentang kesan buruk aktiviti pembuangan bayi.
Selain
itu, pihak berkenaan hendaklah mengadakan ceramah
atau kempen pada peringkat sekolah mahupun peringkat taman-taman
perumahan. Melalui program tersebut, masyarakat dapat diberi kesedaran tentang
keburukan pergaulan bebas. Seperti yang kita ketahui, kes pembuangan bayi
berpunca daripada pergaulan bebas yang dianggap sebagai suatu perkara biasa
bagi warga urban kini. Kita seharusnya mengelakkan diri daripada unsur negatif
tersebut supaya tidak menjadi seperti sudah terhantuk baru nak tengadah.
Sebagai contohnya, kempen kesedaran ini perlu dilakukan secara besar-besaran
melalui iklan, risalah dan lain-lain. Kempen murni ini haruslah dilakukan
secara berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam.
Sesungguhnya, usaha dinamik dan secara konsisten ini diperlukan untuk
membimbing rakyat supaya sentiasa berada di landasan yang betul dalam
kehidupan.
Langkah
yang seterusnya ialah pihak kebajikan masyarakat
perlu menyediakan perkhidmatan kaunseling. Khidmat nasihat hendaklah
diberikan kepada mangsa rogol dan individu yang mengandung tanpa nikah. Hal ini
disebabkan mangsa mengalami ketidakstabilan emosi dan mungkin akan cuba
mencederakan diri sendiri. Sebagai contohnya, mangsa rogol sanggup membunuh
diri kerana tidak dapat menerima kenyataan sebenar. Penubuhan Rumah Sri Puteri
oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat memberikan perlindungan dan khidmat
nasihat kepada mereka yang telah terlanjur ini. Oleh hal yang demikian, pusat
kaunseling perlu diperbanyak di seluruh negara untuk membantu mangsa-mangsa
tersebut daripada terus melakukan perkara yang terkutuk.
Di
samping itu, pesalah yang disabitkan kesalahan
berzina atau kes rogol perlu dikenakan hukuman yang berat. Perogol
atau orang yang mencabul kehormatan wanita merupakan manusia yang tidak
berperikemanusiaan. Mereka perlu dijatuhi hukuman yang berat sebagai peringatan
kepada orang lain. Hal ini menyebabkan wanita-wanita ini kehilangan harga diri
dan terpaksa menanggung malu sepanjang hayatnya. Perkara tersebut juga akan
menconteng arang ke muka ahli keluarga mangsa. Oleh sebab itu, undang-undang
negara perlu dikuatkuasakan supaya perogol atau mereka yang berzina berasa
serik atau takut untuk melakukan perkara tersebut yang salah di sisi agama.
Sebagai contohnya, hukuman bagi kesalahan berzina dan merogol adalah seperti
penjara dan hukuman sebat. Hal ini dapat mengurangkan jenayah pembuangan bayi
yang tidak berdosa itu di negara kita.
Seterusnya, pendidikan agama dan moral harus dititikberatkan oleh ibu bapa untuk menyedarkan anak-anak tentang dosa dan balasan yang akan diterima. Ibu bapa hendaklah menitikberatkan pendidikan agama dan moral kepada anak-anak dan proses ini hendaklah diteruskan walaupun seseorang itu telah meningkat umur dewasa. Pendidikan agama dan moral amatlah penting dan perlulah disemaikan dalam sanubari rakyat. Albert Einstein pernah berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta dan ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Hal ini menunjukkan peri pentingnya didikan agama dan moral dalam kehidupan kita supaya kehidupan tidak menjadi terumbang-ambing seperti kapal tanpa nakhoda. Sebagai contohnya, anak-anak perlu diberi didikan agama sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya dengan menyuruh anak-anak tidak mengabaikan solat kerana bersolat itu dapat mencegah daripada melakukan kemungkaran. Cara ini adalah efektif untuk mewujudkan masyarakat yang bebas daripada kes pembuangan bayi.
Seterusnya, pendidikan agama dan moral harus dititikberatkan oleh ibu bapa untuk menyedarkan anak-anak tentang dosa dan balasan yang akan diterima. Ibu bapa hendaklah menitikberatkan pendidikan agama dan moral kepada anak-anak dan proses ini hendaklah diteruskan walaupun seseorang itu telah meningkat umur dewasa. Pendidikan agama dan moral amatlah penting dan perlulah disemaikan dalam sanubari rakyat. Albert Einstein pernah berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta dan ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Hal ini menunjukkan peri pentingnya didikan agama dan moral dalam kehidupan kita supaya kehidupan tidak menjadi terumbang-ambing seperti kapal tanpa nakhoda. Sebagai contohnya, anak-anak perlu diberi didikan agama sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya dengan menyuruh anak-anak tidak mengabaikan solat kerana bersolat itu dapat mencegah daripada melakukan kemungkaran. Cara ini adalah efektif untuk mewujudkan masyarakat yang bebas daripada kes pembuangan bayi.
Kesimpulannya,
masalah pembuangan bayi ini yang diesebabkan oleh banyak faktor mempunyai
pendekatan yang tersendiri untuk diatasi jika dikaji secara telus. Pelbagai
pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk
menyelesaikan dan mengurangkan kes pembuangan bayi yang berlaku di negara kita.
Masalah tersebut akan menular dan menjadi duri dalam daging jika
tidak ditangani segera ketika negara sedang berusaha untuk mencapai wawasan
2020. Kerjasama daripada semua pihak adalah amat penting untuk membendung
masalah ini kerana ke bukit sama-sama didaki, ke lurah sama-sama dituruni.
Melalui usaha ini, hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan
terbilang dari segi lahiriah dan rohaniah dapat direalisasikan.
KARANGAN MANTAP S.P.M. 2 - FOKUS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN
TAHUN 2012
Tutor
B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
PERANAN REMAJA DALAM MEMBANGUNKAN NEGARA
Lebih
separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan, namun remaja yang
merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai
kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi
mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita.
Menurut kata mutiara sarjana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah
negara, lihatlah remajanya pada hari ini.” Presiden Soekarno pernah
mengungkap, “Berikan saya 10 orang belia waja, nescaya akan
saya gegarkan dunia.” Ternyatalah di sini bahawa remaja yang berkualiti
dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Oleh itu, setiap
remaja perlu memainkan peranan mereka dengan penuh tanggungjawab untuk
merencanakan pembangunan negara.
Peranan signifikan remaja ialah mereka perlu belajar bersungguh-sungguh
untuk mencapai kecemerlangan dari aspek akademik. Kecemerlangan akademik
merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan remaja yang
berkualiti demi kepentingan negara. Intelek merupakan faktor perdana
untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja kita
perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut
segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana,
seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya
dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai
kecemerlangan akademik dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung.
Remaja juga tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu
terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah
peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tegasnya, tanpa
remaja yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut.
Walau
bagaimanapun, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin
pembangunan negara jika remaja kita tidak memiliki kesihatan fizikal dan
mental. Remaja yang ingin membangunkan negaea perlu memiliki kekuatan fizikal
dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baharu yang penuh dengan kompetitif,
remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa
mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama
rendah dengan remaja di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal
dan mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga
kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak
terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan
maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi kerana terlajak perahu boleh
diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja kita harus sedar bahawa kesihatan
merupakan aset yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segala-galanya
tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan rakyat
sihat, negara maju. Jadi, remaja yang sihat dan mempunyai jati diri
yang mapan baru dapat melaksanakan pembangunan negara.
Selain itu, remaja juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur.
Remaja kita harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi
kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, ibu
bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja
menjadi modal insan kelas pertama yang berakhlak mulia dan berjati diri unggul.
Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus
dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya
bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang-orang tua dan kanak-kanak
yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam
pelbagai aktiviti sukarela. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan
terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja
berkepemimpinan harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan
berkasih sayang agar dapat melahirkan negara yang maju sama ada secara
luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti.
Seperkara lagi, remaja juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu
pembangunan negara yang gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana hanya
mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat
mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi
dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan
menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, remaja kita harus
dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan
aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan
yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun
demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas
tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan
remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau
keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi remaja. Pendek kata,
pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan pelapis
negara yang kreatif dan inovatif.
Akhir sekali, remaja juga dapat memainkan peranan mereka untuk membangunkan
negara dengan memiliki sikap keterbukaan. Hal ini kerana apabila golongan ini
mempunyai sifat sedemikian, mereka lazimnya dapat menerima teguran dan
pandangan orang lain. Dalam nada yang serupa, remaja seumpama ini dapat memberi
kesan kepada negara kita. Mereka dapat menjamin kestabilan politik, ekonomi dan
sosial negara. Mereka akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan
negara atau integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Mereka
sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur untuk mencapai misi dan
visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni, satu
bangsa satu bahasa dan satu negara. Maka, sifat keterbukaan remaja sudah pasti
dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negaranya
dengan penuh komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya.
KARANGAN MANTAP S.P.M. 3 - FOKUS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN
TAHUN 2012
Tutor
B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
PERANAN IBU BAPA MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG
Pada alaf baharu ini, ibu bapa diberikan peranan yang penting kepada
masyarakat dan negara. Media cetak mahupun media elektronik sering menyiarkan
obligasi yang wajib dipikul oleh ibu bapa. Dalam kalangan ibu bapa dalam masyarakat
hari ini selalu diberi perhatian oleh orang ramai terutamanya kerajaan dalam
hal yang bersangkut-paut dengan pembentukan masyarakat penyayang. Mantan
Perdana Menteri Malaysia ke-5 iaitu Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
memberitahu bahawa membentuk masyarakat penyayang amat penting sekali.
Masyarakat penyayang merupakan masyarakat yang anggotanya mengamalkan sikap
yang sayang-menyayangi, hormat-menghormati, bantu-membantu, dan nilai murni
yang lain. Masyarakat seperti ini menjadi impian negara kita untuk
merealisasikan Wawasan 2020. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah-langkah
pragmatik yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk membentuk masyarakat
penyayang.
Peranan ibu bapa yang paling signifikan ialah ibu bapa perlu memberikan kasih
sayang kepada anak-anak. Ibu bapa seyogianya membesarkan anak-anak
dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Namun
begitu, terdapat kalangan ibu bapa yang mengabaikan anak-anak mereka. Hal ini
kerana ibu bapa tersebut lebih mementingkan kemewahan hidaup dan kekayaan. Oleh
itu, ibu bapa seharusnya lebih banyak meluangkan masa dengan anak-anak mereka
pada alaf globalisasi ini. Kasih sayang ibu bapa dapat dilihat melalui
kesanggupan ibu bapa meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Pada masa itu,
ibu bapa harus berkongsi masalah anak-anak dan menjadi pendengar setia kepada
setiap luahan hati anak-anak. Contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak
mereka semasa cuti sekolah untuk mengeratkan hubungan dan mengurangan tekanan
anak-anak dalam aspek pembelajaran serta ibu bapa. Dengan ini, bibit-bibit
kasih sayang akan mekar dalam jiwa anak-anak. Jadi, impian ibu bapa atau negara
untuk membentuk masyarakat penyayang akan tercapai jua.
Selain itu, ibu bapa sewajarnya memberikan didikan agama yang sempurna kepada
anak-anak semenjak kecil lagi bak kata pepatah, melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Akan tetapi, ibu bapa kini terlalu mengagung-agungkan
kemodenan sehingga mengabaikan tanggungjawab hakiki mereka dalam
mencurahkan didikan agama kepada nanak-anak. Hal ini berlaku kerana
mereka beranggapan bahawa didikan agama tidak penting dalam arus kemajuan
teknologi satelit masa kini. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya menerapkan didikan
agama kepada anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap agama
amat mementingkan hubungan baik dengan Pencipta, sesama manusia dan alam
sekitar. Hai ini akan tercapai dengan adanya nilai kasih sayang dalam
kehidupan. Misalnya, mereka perlu menggalakkan anak-anak mengikuti kelas agama
supaya anak-anak akan menjadi insan yang penyayang. Di samping itu, mereka
seharusnya memberikan pengajaran yang baik kepada anak-anak mereka ketika
anak-anak itu masih dalam buaian lagi. Jelaslah, hasrat ibu bapa dalam
melahirkan generasi yang penyayang akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti
melalui didikan agama yang teguh.
Seperkara lagi itu, ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik
kepada anak-anak. Namun demikian, terdapat kalangan ibu bapa yang berperangai
buruk seperti menjadi pendera, perogol dan sebagainya. Oleh itu, ibu bapa perlu
menjadi entiti mithali kepada anak-anak yang masih belum keras
ubun-ubunnya sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa perlu menunjukkan
sikap yang penyayang kepada anak-anak sejak kecil lagi seperti sering membawa
anak-anak menziarahi orang tua di kampung. Lama-kelamaan generasi muda akan
mengikut tabiat yang positif ini dan masyarakat penyayang akan dilahirkan.
Ringkasnya, peranan ibu bapa amatlah besar dalam melahirkan masyarakat yang
penyayang pada alaf globalisasi ini.
Jika kita tinjau dari perspektif yang berbeza pula, ibu bapa juga harus menjaga
keharmonian rumah tangganya. Hal ini dikatakan demikian kerana kerharmonian
rumah tangga dapat mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia dan hidup dengan
penuh limpahan kasih sayang. Ikatan kasih sayang yang teguh daripada ibu bapa
sudah pasti dalam membentuk jiwa anak-anak dengan nilai kasih sayang dan sekali
gus mereka akan mencontohi sikap penyayang ibu bapa mereka kerana kepimpinan
melalui teladan. Ibu bapa seyogianya memastikan hubungan kekeluargaan sesama
ahli keluarga erat bagi melahirkan keluarga yang penyayang. Hal ini dapat
dipraktikkan dengan mengelakkan sebarang pergaduhan dan pertengkaran di hadapan
anak-anak yang masih belum keras ubun-ubunnya dan sentiasa
menghormati pasangan hidup masing-masing. Dengan adanya sikap toleransi dan
hormat-menghormati ditambah lagi dengan kasih sayang maka impian kita untuk
melahirkan masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan.
Secara deduksinya, ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam melahirkan masyarakat yang penyayang. Namun begitu, tindakan mengharapkan ibu bapa semata-mata juga tidak akan berkesan kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Setiap individu dalam kalangan masyarakat harusnya mengambil inisiatif untuk melakukan anjakan paradigma bagi merealisasikan pembentukan masyarakat penyayang dalam kalangan rakyat Malaysia. Dengan cara ini, masyarakat kita akan dipandang tinggi sebagai sebuah bangsa yang bukan sahaja maju dari aspek kebendaannya, justeru kaya dengan budaya penyayang. Secara tidak langsung juga, imej negara akan harum di persada dunia dan masyarakat Malaysia akan dianggap sebagai masyarakat kelas pertama kerana ketinggian akhlaknya bak kata pujangga, “Sesungguhnya bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh. Jika akhlaknya sudah lumpuh, mereka pun akan lenyap.”
KARANGAN MANTAP S.P.M. 4 - FOKUS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN
TAHUN 2012
Tutor
B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Peranan Ibu Bapa dalam Mendidik Anak-anak
agar Menjadi Pengguna yang Bijak
Sambutan Hari Pengguna membawa erti yang cukup mendalam bukan sahaja
kepada pengguna malahan juga kepada peniaga, pengeluar, dan kerajaan. Pelbagai
tema yang membayangkan hasrat kerajaan untuk melahirkan pengguna yang serba
bijak dan berpengetahuan diketengahkan pada setiap tahun. Walaupun pelbagai
tema yang dipilih, matlamatnya tetap sama iaitu untuk memastikan pengguna
terdidik dan bijak serta tahu akan hak mereka. Kini, masalah kenaikan harga
barangan sememangnya begitu ketara bagaikan bangkai gajah tidak dapat
ditutupi nyirunya lagi terutama di kawasan urbanisasi. Sebagai
pengguna, kita perlu memiliki sifat-sifat pengguna yang bijak untuk berupaya
mengharungi kehidupan sebegini. Maka, kita mempunyai kuasa untuk menentukan
barangan itu perlu atau sebaliknya dalam menjalani kehidupan harian itu. Oleh
itu, untuk melahirkan pengguna yang bijak, obligasi ini terletak pada pundak
ibu bapa kerana ibu bapa merupakan guru yang terbaik dan terdekat kepada
anak-anak.
Peranan ibu bapa yang paling signifikan dalam mendidik anak-anak supaya menjadi
pengguna yang bijak ialah ibu bapa perlu memupuk amalan berjimat cermat dalam
kalangan anak-anak. Anak-anak perlu diajar supaya membeli barangan yang
benar-benar perlu dan tidak membazir kerana amalan membazir itu
sebahagian daripada amalan syaitan. Aktiviti membeli-belah memang
menyeronokkan apatah lagi apabila kita mempunyai wang yang banyak yang
membolehkan kita membeli apa-apa sahaja barangan dan perkhidmatan yang disukai.
Malah, ada orang yang menjadikan aktiviti membeli-belah sebagai aktiviti wajib
pada setiap bulan sehingga sanggup melakukan pembaziran. Oleh itu, ibu bapa
perlu mengingatkan anak-anak agar berjimat cermat dalam pembelian dan perlu
mengamalkan amalan menabung untuk kepentingan masa depan. Kata orang tua-tua, beringat
sebelum kena, berjimat sebelum habis. Jelaslah bahawa amalan berjimat
cermat juga merupakan satu amalan yang mulia yang harus dipupuk oleh ibu bapa
dalam diri anak-anak.
Selain itu, ibu bapa harus memberikan teladan kepada anak-anak dengan
tidak berbelanja di kawasan-kawasan mewah dan mengamalkan sikap kesederhanaan.
Sikap ini dapat dikaitkan dengan kata slogan yang berbunyi kepimpinan
melalui teladan. Biasanya, barangan yang dijual di kawasan mewah
seperti di KLCC, Pavillion, Mid Valley dan sebagainya lebih mahal harganya bukan
kerana kualiti tetapi kerana faktor kawasan, suasana dan sewa kedai yang lebih
tinggi menyebabkan kos barang menjadi mahal. Selain itu, kebanyakan pengguna
ingin membeli di tempat yang elit ini kerana mereka mengutamakan jenama.
Impaknya, sikap terlalu mengutamakan jenamalah yang membawa pengguna berbelanja
besar. Sebenarnya, semua barang hampir serupa sahaja kualitinya tetapi harga
yang dijual berbeza-beza mengikut kawasan tertentu. Oleh itu, mengapakah kita
perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan barangan yang hampir sama kualitinya?
Tepuk dada tanyalah selera. Konsep hidup sederhana dan tidak mementingkan aspek
kebendaan membolehkan kehidupan pengguna lebih selesa dan tenang tanpa sebarang
masalah kewangan pula. Jadi, sikap ibu bapa yang tidak berbelanja di kawasan
yang mewah dan mengamalkan kesederhanaan akan diteladani oleh anak-anak untuk
menjadi pengguna yang bijak kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Seperkara lagi, ibu bapa seyogianya mengajar anak-anak supaya bijak mengurus
kewangan peribadi. Pengguna yang bijak ialah pengguna yang tahu mengurus
kewangan dengan berkesan dan seterusnya tahu mengawal perbelanjaan mereka.
Untuk itu, diri anak-anak perlu dilengkapkan dengan ilmu kewangan yang dapat
membantu anak-anak menguruskan kewangan peribadi mereka dengan baik dan
berkesan. Antara yang perlu dilakukan termasuklah merubah corak perbelanjaan
harian keluarga dan merancang perbelanjaan demi masa depan yang baik. Selain
itu, ibu bapa juga boleh membimbing anak-anak membuat perancangan yang lebih
sistematik dengan membuat catatan wang simpanan dan wang perbelanjaan.
Perancangan kewangan yang baik dan pengurusan kewangan yang sistematik akan
membantu berbelanja mengikut keperluan dan tidak membebankan. Selain itu, ibu
bapa perlu menasihati anak-anak agar sentiasa menyediakan senarai barangan
keperluan sebelum keluar untuk berbelanja bagi mengelakkan pengguna membeli
barangan yang tidak diperlukan. Dengan itu, anak-anak dapat mendisiplinkan diri
dengan mematuhi setiap perancangan yang telah ditetapkan dan sekali gus usaha
untuk melahirkan pengguna yang bijak dapat direalisasikan.
Jika kita lihat dari dimensi yang lain, ibu bapa perlu menerangkan keburukan
membeli barangan atau perkhidmatan yang menawarkan harga jualan yang lebih murah.
Hal ini kerana pengguna akan berbelanja boros semasa jualan murah diadakan.
Misalnya, ketika musim perayaan, pelbagai potongan harga yang menarik
ditawarkan. Pengeluar barangan dan perkhidmatan sentiasa berlumba-lumba
menghasilkan pelbagai produk dan barangan dengan tawaran yang cukup
mengasyikkan pengguna. Lebih mengujakan pengguna, tentulah lambakan tawaran
daripada pelbagai barangan berjenama di pasaran. Siapakah yang tidak tergoda
apabila melihat tawaran harga barangan berjenama yang menjunam sehingga 70
peratus? Syarikat kewangan pula menawarkan pelbagai bentuk perkhidmatan kad
kredit untuk memudahkan pengguna berbelanja. Namun begitu, yang membimbangkan
adalah apabila seronok membeli-belah menyebabkan pengguna akhirnya tidak dapat
mengawal perbelanjaan bulanan, yang kemudiannya terjerumus ke dalam beban
hutang yang tidak disangka-sangka. Oleh itu, sikap ibu bapa yang tidak mudah
terpedaya oleh jualan murah dan tidak menggalakkan pembelian ketika jualan
murah merupakan antara peranan yang wajar untuk melahirkan pengguna yang bijak
dalam kalangan anak-anak.
Lebih-lebih lagi, amalan pembelian barangan tempatan perlu diamalkan oleh ibu
bapa dan diterapkan dalam diri anak-anak. Barangan buatan Malaysia ialah
barangan yang dihasilkan di dalam negara kita. Banyak kilang yang didirikan
untuk menghasilkan barangan tempatan. Barangan tempatan bukan
sahaja murah bahkan juga berkualiti. Ibu bapa sendiri perlu menggunakan
barangan buatan Malaysia di rumah, contohnya perabot, pakaian, makanan dan barangan
elektrik. Antara barang buatan Malaysia yang terkenal ialah kereta Proton Saga Proton Waja, Proton Perdana. barangan
tembikar, batik lukis dan perabot rotan. Di samping menjimatkan perbelanjaan
seseorang, amalan ini juga dapat menunjukkan sokongan kita terhadap usaha anak
watan kita sendiri bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan
batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Usaha kerajaan
mendirikan Kedai Satu Malaysia merupakan usaha yang efektif untuk menggalakkan
rakyat membeli produk tempatan. Ibu bapa perlulah membeli-belah di kedai
tersebut supaya tindakan yang sama akan dilakukan oleh anak-anak kelak. Secara
implisitnya, usaha untuk melahirkan pengguna yang bijak akan menjadi kenyataan
kelak.
KARANGAN MANTAP S.P.M. 5 - FOKUS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN
TAHUN 2012
Tutor
B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Cara-cara Melaksanakan Pembangunan yang
Lestari
"Kita
tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita
meminjamnya daripada generasi akan datang. Oleh itu, jagalah alam sekitar
supaya anak dan cucu kita dapat menikmatinya." Kata-kata Mahatma Gandhi ini sudah
cukup membuktikan bahawa alam sekitar merupakan harta paling berharga yang
perlu dijaga kepentingannya. Alam semula jadi menjadi tonggak utama negara
sebagai kawasan tadahan hujan, habitat flora fauna dan sumberkayu-kayan.
Malangnya, Hari Bumi yang disambut setiap 22 April bagaikan tiada kesan apabila
sumber-sumber alam ini masih lagi rakus diterokai untuk manusia menikmati
pembangunan. Oleh itu, kita perlu merencanakan pembangunan yang mapan atau
pembangunan lestari. Pembangunan mapan atau pembangunan lestari merupakan
gabungan antara pembangunan yang maju dengan pemuliharaan dan pemeliharaan alam
sekitar. Kita perlu menitikberatkan pembangunan yang seimbang. Sebagai rakyat yang
bertanggungjawab, kita harus melakukan anjakan paradigma untuk
mewujudkan pembangunan yang lestari dengan melakukan beberapa pendekatan yang
pragmatik.
Program kitar semula memainkan peranan yang penting dalam menyokong dasar
strategik kerajaan bagi pengurusan alam sekitar dan sumber semula jadi yang
mapan dan lestari. Secara spesifik, program ini bertujuan untuk mengurangkan intensiti
pencemaran dan sisa daripada aktiviti pembandaran dan perindustrian, di samping
memastikan alam sekitar bersih dan sihat supaya dapat memenuhi keperluan dan
aspirasi rakyat. Amalan kitar semula harus bercambah, berakar dan menghijau di
setiap pelosok tanah air. Amalan kitar semula boleh dijalankan di peringkat
nasional, kawasan, komuniti, serta individu. Oleh itu, kejayaan program kitar
semula banyak bergantung kepada kerjasama yang erat dalam kalangan semua pihak.
Semua pihak perlulah menjadikan kitar semula sebagai amalan hidup. Pelaksanaan
program kitar semula ini mesti diteruskan secara berpanjangan, bukannya
bermusim seperti hangat-hangat tahi ayam. Usaha untuk
memastikan program ini berjaya perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat,
khususnya generasi muda yang bakal mewarisi teraju kepimpinan negara kelak.
Tegasnya, program kitar semula dapat mencapai pembangunan yang lestari,
berkualiti dan seimbang.
Selain itu, orang ramai digalakkan menggunakan petrol tanpa plumbum bagi
kenderaan bermotor. Mencari alternatif selain minyak juga adalah penting bagi
tujuan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar. Dewasa ini, kajian bagi
menghasilkan minyak enjin biomass daripada tumbuh-tumbuhan sedang giat
dijalankan. Contohnya, di negara kita, ahli sains telahpun menemukan sejenis
minyak daripada kelapa sawit yang boleh mengurangkan pencemaran udara tanpa
menjejaskan kecekapan enjin. Sungguhpun penemuan ini masih terlalu baharu untuk
dipastikan sama ada praktikal ataupun tidak namun penemuan ini patut dijadikan
satu titik permulaan bagi meningkatkan usaha kita ke arah mencapai konsep
pembangunan lestari. Oleh itu, penggunaan petrol tanpa plumbum turut membantu
dalam melaksanakan pembangunan lestari.
Salah
satu langkah lain yang dapat digunakan untuk mewujudkan pembangunan lestari
ialah pihak berwajib perlu menjatuhkan hukuman terhadap individu atau
organisasi yang telah didapati bersalah memusnahkan alam sekitar semata-mata
untuk kepentingan diri sendiri. Pihak berwajib seperti Kementerian Sains,
Teknologi, dan Alam Sekitar wajar menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada
untuk menghukum pihak-pihak yang berkenaan. Hukuman yang dikenakan hendaklah
setimpal dengan kesalahan pihak terbabit mencemarkan dan memusnahkan alam
seperti mengenakan dendaan yang tinggi. Selain itu tindakan penguatkuasaan
undang-undang hendaklah dilaksanakan tanpa sikap memilih bulu dan
dilakukan secara tekal dan tidak seperti melepaskan batuk di tangga.
Individu dan organisasi yang mencemarkan alam biasanya tidak serik dengan
hukuman yang dikenakan. Mereka akan mengulangi perbuatan keji ini jika hukuman
yang dikenakan terhadap mereka tidak begitu berat. Malahan ada yang sanggup
membayar denda kerana mencemarkan alam sekitar kerana mereka tahu denda
tersebut hanya sekali sahaja. Mereka bebas melakukan kesalahan setelah
menjelaskan denda yang dikenakan. Oleh itu pihak berwajib mestilah lebih tegas
dalam mengenakan hukuman terhadap pihak yang merosakkan alam sekitar.
Di samping itu, pihak sekolah hendaklah memperkenalkan pendidikan alam sekitar
kepada murid-murid sekolah. Pendidikan alam sekitar melibatkan pelbagai aspek
yang menjurus ke arah pengekalan alam yang sejahtera. Satu kurikulum yang
khusus perlu digubal agar pendedahan yang sistematik dapat dilaksanakan.
Kurikulum ini boleh diselitkan dalam mata-mata pelajaran lain dan boleh juga
dijadikan mata pelajaran khusus. Hal ini bertujuan untuk menyemaikan kesedaran
secara lebih berkesan. Murid sekolah khususnya yang belajar di sekolah rendah
wajar didedahkan dengan pengetahuan tentang alam sekitar dengan lebih
sistematik. Jika sejak kecil mereka diberikan pendedahan sedemikian, mereka
akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar apabila mereka dewasa
nanti kerana alah bisa tegal biasa. Langkah ini akan melahirkan
generasi yang dapat menguruskan pembangunan negara yang lestari dan mapan.
Jadi, pengenalan pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah merupakan satu
langkah untuk mewujudkan pembangunan yang lestari.
Jika kita lihat dari sudut yang lain pula, aktiviti penanaman semula perlu
dilakukan. Hal ini dikatakan demikian kerana penanaman semula dapat
menggantikan pokok-pokok yang telah ditebang untuk melakukan projek pembanguan
negara. Dengan ini, keseimbangan alam sekitar dan ekologi negara tercapai.
Sesungguhnya, memang tidak dapat kita nafikan bahawa negara kita perlu
membangun untuk mencapai negara kelas pertama. Namun begitu, kita tidak boleh
bertindak mengikut nafsu tanpa memikirkan risiko yang bakal menimpa. Kita
haruslah memiliki minda yang lestari iaitu setiap pokok yang ditebang perlu
diganti kembali. Pengusaha kayu balak dan pihak pemaju tidak harus
bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing
dan mereka seharusnya berminda lestari dalam memastikan pembangunan lestari
tercapai. Ironinya, pembangunan lestari dapat dicapai melalui aktiviti
penanaman semula.
KARANGAN MANTAP S.P.M. 6 - FOKUS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN
TAHUN 2012
Tutor
B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
PUNCA REMAJA KURANG MELIBATKAN DIRI DALAM AKTIVITI KOMUNITI
Dalam menongkah
arus modenisasi dan globalisasi ini, kita kian alpa akan semangat kejiranan
yang dapat dipupuk melalui aktiviti komuniti. Lantaran itu, golongan generasi
muda kita kini iaitu golongan remaja kurang melibatkan diri dalam aktiviti
komuniti. Senario ini dapat dikaitkan dengan peribahasa yang berbunyi bagaimana
rentak gendang, begitulah tarinya. Berdasarkan peribahasa tersebut,
barangkali sangat tepat jika kita mengaturkan gerak laku ssebuah masyarakat
dengan gelombang dan perkembangan semasa masyarakat. Sikap menyalahkan remaja
yang tidak mahu berjinak-jinak dengan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong
rotong adalah umpama meludah ke langit menimpa batang hidung sendiri.
Memang benar remaja hari ini tidak berminat dengan aktiviti seumpama ini akibat
didalangi oleh pelbagai faktor yang telah dikenal pasti yang menjadi latar
kehidupan masyarakat pada masa ini.
Punca prima remaja hari ini kurang melibatkan diri dalam aktiviti komuniti
ialah sikap masyarakat setempat yang telah mempengaruhi sikap dan minda
remaja. Masyarakat hari ini terutamanya golongan dewasa yang bekerja, sibuk
dengan urusan sendiri dan tidak sedar akan sikap mereka yang mengabaikan
aktiviti komuniti. Dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh fatamorgana
ini, memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat pada hari ini terlalu obses
untuk mencari kemewahan hidup demi memenuhi tuntutan nafsu kebendaan mereka.
Senario ini menyebabkan mereka tidak bertegur sapa dengan jiran tetangga mereka
apatah lagi ingin melibatkan diri dalam aktiviti komuniti seperti bergotong
royong. Sikap mereka yang mementingkan diri sendiri ini dapat diibaratkan bagai
enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Tanpa disedari,
situasi ini turut mempengaruhi sikap dan minda remaja untuk meminggirkan amalan
kemasyarakatan dalam kehidupan mereka.
Selain itu, punca lain remaja hari ini kurang melibatkan diri dalam aktiviti komuniti ialah hubungan remaja dengan golongan dewasa yang agak renggang. Keadaan ini tercetus daripada pemikiran orang dewasa terhadap remaja yang dianggap masih belum keras ubun-ubunnya dan tidak perlu menyertai aktiviti komuniti seperti bergotong royong. Situasi ini bertambah rumit apabila terdapat golongan dewasa yang menhalang penglibatan golongan remaja dalam aktiviti komuniti seperti menyertai mesyuarat-mesyuarat yang diadakan di sesebuah taman perumahan. Luka bertambah parah apabila remaja, iaitu insan kerdil ciptaan Tuhan yang menjadi harapan negara ini mulai berasa tersisih kerana tidak berpeluang untuk bersama-sama dalam aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan. Impaknya, mereka tiada pendedahan dan bimbingan daripada orang dewasa untuk menjayakan aktiviti komuniti pada suatu hari nanti. Tegasnya, hubungan yang renggang antara orang dewasa dengan remaja menjadi pemangkin kepada kurangnya penglibatan remaja dalam aktiviti kemasyarakatan.
Jika kita lihat dari dimensi yang berbeza, remaja hari ini terpaksa menerima
tekanan tinggi dan bebanan berat daripada ibu bapa. Ibu bapa pada hari ini
terlalu menaruh harapan yang tinggi setinggi Gunung Everest agar anak mereka
berjaya dalam bidang akademik. Harapan ibu bapa yang tinggi ini menyebabkan
golongan remaja terpaksa memikul bebanan yang berat untuk menrealisasikan
harapan tersebut sehinggakan mereka tiada masa dan peluang untuk melibatkan
diri dalam aktiviti komuniti seperti bergotong royong. Kebanyakan ibu bapa pada
hari ini tidak mahu anak-anak mereka ketinggalan dalam dunia pendidikan dan
masa belajar remaja terlalu eksklusif serta tidak harus dibazirkan dengan
aktiviti komuniti. Mereka lebih rela anak remaja mereka menjadi ulat buku
dan antisosial asalkan anak mereka berjaya dalam bidang akademik. Maka, tidak
hairanlah jika kita lihat penglibatan remaja dalam aktiviti komuniti kian
merosot. Jadi, tekanan dan bebanan yang pikul oleh remaja dalam bidang akademik
mengekang mereka daripada melibatkan diri dalam aktiviti komuniti.
Seterusnya, perkembangan teknologi yang moden turut menghalang penglibatan
remaja dalam aktiviti kemasyarakatan. Dewasa ini, dunia kita menghadapi ledakan
teknologi maklumat yang kian canggih sehingga mempengaruhi sikap dan minda
remaja. Hal ini dapat kita lihat melalui kemajuan teknologi maklumat, media
massa dan hiburan yang bergerak pantas bagai belut diketil ekor.
Dengan pengaruh pemodenan teknologi dalam kalangan remaja, mereka menganggap
bahawa aktiviti kemasyarakatan sebagai tidak relevan dan tidak menarik lagi.
Mereka lebih suka bermain permainan menarik di internet dan menonton rancangan
yang menarik di kaca televisyen. Lebih mengasyikkan mereka lagi apabila
terdapat pelbagai laman sosial yang berfungsi untuk berinteraksi secara maya
dengan kawan-kawan mereka. Hal ini menyebabkan remaja tidak berminat untuk
melibatkan diri dalam aktiviti komuniti. Jelaslah bahawa pengaruh pemodenan dan
teknologi juga merupakan antara punca remaja kurang melibatkan diri dalam
aktiviti komuniti.
Umum mengetahui bahawa kesan daripada penularan budaya kuning turut menjadi
dalang remaja semakin menjauhkan diri daripada menyertai aktiviti komuniti.
Remaja kita pada hari ini lebih gemar berpelesiran di pusat beli belah, bergaul
bebas antara lelaki dengan perempuan, ketagihan hiburan, melakukan seks bebas
dan merempit. Remaja kita pada hari semakin hilang maruah sebagai akibat
daripada pengaruh budaya kuning. Kesan-kesan ini menunjukkan betapa runtuhnya
nilai-nilai murni dalam kalangan remaja hari ini. Golongan remaja lebih suka
berbual dalam kelompok mereka dan menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak
berfaedah. Hal ini kerana remaja tidak terdidik dengan kehidupan bermasyarakat
yang mementingkan sikap saling membantu dan bekerjasama bagai aur dengan
tebing. Tegasnya, remaja tidak melibatkan diri dalam aktiviti komuniti
kerana mereka obses dengan pengaruh budaya kuning.
Subscribe to:
Posts (Atom)